Bersama Ustaz Zahazan
2012/04/01
Futur berlebihan dalam beragama boleh menjadikan umat Islam gagal mengawal diri
Soalan:
SAYA mempunyai seorang abang yang dulunya sangat rajin beribadat. Beliau melakukan qiamullail hampir setiap hari, membaca al-Quran dan tidak terlepas solat berjemaah di masjid. Tasbih sentiasa di tangan dan mulutnya tidak henti-henti bertasbih. Tetapi sejak kebelakangan ini dia malas berjemaah di masjid dan kadang-kadang terlepas Subuh. Membaca al-Quran jauh sekali. Dia asyik menghadap internet di rumah. Suruh sembahyang bukan main susah. Mengapa abang saya tiba-tiba menjadi malas?
ADIK PRIHATIN,
Tanjung Malim.
Jawapan:
KEPADA saudara yang bertanya, orang yang menjadi malas atau semangat yang kendur sesudah rajin bekerja dalam bahasa Arab disebut ‘futur’. Secara istilahnya, futur ialah penyakit yang boleh menimpa seseorang yang berjuang di jalan Allah.
Futur yang paling ringan menyebabkan seseorang menjadi malas atau semangatnya mengendur daripada melakukan kegiatan. Futur yang berat sehingga boleh menyebabkan seseorang terhenti selepas ia terus menerus rajin beribadah.
Antara faktor penyebab futur ialah berlebihan dalam beragama. Maksudnya, berlebihan dalam beribadah tanpa menyediakan waktu rehat yang cukup untuk tubuhnya. Keadaan ini boleh mendatangkan keletihan dan malas. Akhirnya, orang itu akan berhenti atau meninggalkan kewajipan beribadah.
Bahkan, kadang kala boleh menyebabkan seseorang itu mengambil jalan lain (iaitu maksiat), selepas dulunya ia menempuh jalan ketaatan.
Justeru, seseorang yang berubah pada awalnya rajin beribadah menjadi lalai beribadah kerana manusia memiliki kemampuan yang terbatas dan jika ia bekerja melebihi batas kemampuannya, maka dia akan terkena penyakit futur, lalu menjadi malas.
Kemungkinan inilah antara hikmahnya Islam melarang umatnya berlebihan dalam beragama. Dalam sebuah hadis riwayat Ahmad, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Jauhilah dirimu daripada sikap berlebihan dalam beragama (beribadah) kerana sesungguhnya orang sebelum kamu binasa akibat berlebih-lebihan dalam agama.”
Begitu juga dalam hadis riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda: “Telah binasa orang berlebih-lebihan.”
Dalam sebuah hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Anas ra, beliau berkata bahawa tiga orang mendatangi rumah isteri Nabi SAW. Mereka menanyakan ibadah Nabi SAW yang tidak diketahui umum. Setelah diberitahu, mereka seakan-akan meremehkannya.
Mereka berkata: “Siapalah kami dibandingkan Nabi SAW yang diampuni dosanya yang lalu dan akan datang!” Salah seorang dari mereka berkata: “Saya akan selalu solat di waktu malam.” Yang lainnya berkata: “Saya akan puasa setiap hari dan tidak meninggalkannya sehari pun.” Orang yang ketiga berkata: “Saya akan menjauhi wanita. Saya tidak akan berkahwin untuk selamanya.” Kemudian datanglah Nabi SAW dan berkata: “Kamukah yang mengatakan begini-begini? Demi Allah, saya orang yang lebih takut dan lebih bertakwa kepada Allah daripada kamu semua. Tetapi saya berpuasa dan berbuka, saya solat dan tidur, dan saya menikahi wanita. Sesiapa yang benci kepada sunnahku, maka dia tidak termasuk golonganku.”
Dapat dilihat di sini, bukan saja dalam beribadah, dalam perkara mubah (harus) seperti makan minum pun kita dilarang berlebih-lebihan kerana sekiranya kita berlebih-lebihan, akan membuat badan menjadi gemuk dan mudah dikuasai nafsu.
Seterusnya, orang berkenaan akan berasa berat dan malas untuk beribadah atau akan berhenti terus daripada melakukan ibadah. Allah SWT berfirman dalam surah al-A’raf ayat 31 yang bermaksud: “Wahai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah setiap kali memasuki masjid. Makan dan minumlah, tetapi jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebihan.”
No comments:
Post a Comment