Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar
2012/04/03
CIRI-CIRI unggul yang berjaya direalisasikan Rasulullah SAW ialah membina sebuah masyarakat saling membantu antara satu sama lain. Golongan kaya tidak pernah bersikap mengutamakan kepentingan peribadi, sebaliknya sentiasa bersedia seikhlas hati meringankan golongan miskin.
Keutuhan hidup penuh harmoni dan berpaksikan kasih sayang sejati antara ummah nyata begitu dihayati sepenuhnya. Namun, nilai sosial yang dibina Rasulullah SAW itu mulai luntur sebaliknya, apa yang timbul adalah sikap pentingkan diri dan rakus tanpa mengira nasib orang lain. Contohnya, baru-baru ini kita dikejutkan paparan berita tragis menimpa seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun dikatakan terpaksa ‘menjual’ maruahnya demi menyara keluarga yang hidup dalam kemiskinan lantaran ayahnya sudah tidak mampu mencari nafkah akibat ditimpa penyakit.
Apa yang penting untuk diteliti bukanlah kesalahan akibat berbuat dosa yang dilakukan pelajar perempuan itu. Walaupun dia berbuat demikian dengan tujuan murni untuk membantu keluarga, namun kaedah dan caranya tetap haram dan menyalahi kehendak agama.
Justeru, penting untuk kita halusi bagaimana sebagai ahli masyarakat, kita mampu membantu golongan miskin supaya kejadian seumpama ini tidak berlaku lagi. Ini yang perlu kita insafi dan bukannya menyalahkan pelajar terbabit semata-mata.
Dalam usaha mengurangkan kejadian seperti itu, kita hendaklah sentiasa prihatin terhadap jiran tetangga. Inilah teras utama dalam kehidupan bermasyarakat, lalu Islam menggariskan tatacara yang murni bagaimana membentuk situasi harmoni.
Apabila amalan hidup berjiran yang saling mengambil berat antara sesama ummah, maka tidak akan berbangkit adanya pihak yang terpinggir sehingga terpaksa mencari jalan serong untuk menyara kehidupan. Oleh itu, jaringan hidup dalam masyarakat atau berjiran mesti diperkasakan.
Allah bersabda yang bermaksud: “Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, jiran tetangga yang dekat dan jauh, teman sejawatan, ibnus sabil (orang yang dalam perjalanan yang bukan tujuan maksiat yang kehabisan bekal) dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong dan membanggakan diri.” (Surah An-Nisa’, ayat 36)
Jika kita beramal dengan perintah Allah ini sudah tentu sukar untuk wujudnya manusia tertinggal dari segi keperluan hidup kerana sikap murah hati dan suka berbuat kebajikan akan menumbuhkan landskap sosial terpuji.
Ingatlah pesanan Rasulullah SAW yang bermaksud: “Bukan mukmin yang sebenar, orang yang kenyang perutnya sedangkan jiran sebelahnya dalam kelaparan.” (Hadis riwayat Bukhari dan at-Tabrani)
Ulama menggariskan banyak hak perlu ditunaikan seseorang mukmin dengan sempurna antaranya menghulurkan bantuan apabila diperlukan. Kita boleh bayangkan bagaimana hasilnya jika semua masyarakat saling peka dan bersikap mengambil berat antara satu sama lain.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barang siapa meringankan seseorang Muslim daripada salah satu kesedihan dunianya, Allah akan meringankan salah satu kesedihannya di akhirat nanti. Barang siapa memudahkan jalan bagi orang yang kesulitan, Allah akan memudahkan jalan baginya di dunia dan akhirat. Barang siapa menutup rahsia seorang Muslim, Allah akan menutup celanya di dunia dan akhirat. Dan Allah tetap menolong seseorang selagi dia masih menolong saudaranya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Peringatan Rasulullah SAW ini satu motivasi kepada kita supaya tidak mementingkan diri sendiri dan sentiasa bersedia membantu orang lain mengikut kadar yang kita mampu.
Sesungguhnya membina masyarakat ideal tanpa adanya insan hidup melarat dan merempat perlu tindakan bersepadu. Pihak berwajib di peringkat kampung wajar turun padang secara aktif untuk memantau dan meninjau keperluan anggota masyarakat.
Jangan dibiarkan adanya yang tersisih dan berdepan kesulitan meneruskan kehidupan sebaliknya tanggungjawab sosial ini wajib dipikul secara bersama.
Sesungguhnya apabila tercetusnya kejadian memalukan imej ummah seperti dilaporkan baru-baru ini, kita seharusnya turut berasa malu dan tidak menyalahkan pelaku itu saja. Kita perlu membentuk masyarakat penyayang dan saling membantu untuk membendung gejala seperti ini dari terus muncul.
No comments:
Post a Comment