بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Tuesday, April 26, 2011

Ulama, cendekiawan Islam kuat membaca, cinta ilmu pengetahuan

Oleh Mohd Shukri Hanapi

2011/04/26
AHLI falsafah Inggeris, Lord Bacon, berkata membaca menjadikan seseorang itu berisi. Membaca ialah aktiviti yang boleh membangunkan intelektual, memben-tuk pemikiran kreatif dan dinamis serta melahirkan masyarakat progresif dan berdaya saing.

Dalam keinginan kita menjadi negara maju menjelang 2020, pemikiran bernas dan matang diperoleh hasil pembacaan penting ke arah pembangunan yang pesat. Masyarakat maju dapat menguasai pelbagai bidang ilmu terdiri daripada masyarakat yang suka membaca.

Contohnya, masyarakat Jepun walaupun sibuk dengan urusan harian, masih sempat membaca walaupun di mana mereka berada. Mereka terlalu cintakan amalan membaca. Justeru, fikiran mereka turut dimatangkan melalui proses pembacaan.
Dalam penghayatan sejarah Islam, pernah dilaporkan sikap orang Arab ketika berbicara mengenai buku. Mereka menganggap amalan membaca seumpama sedang berbicara mengenai seorang yang amat setia dan jujur atau seorang pemimpin yang membimbingnya ke jalan kebenaran.

Selain itu, ada juga ulama menganggap membaca seumpama sedang bercakap-cakap dengan sekumpulan ulama dan orang pintar. Ulama Islam, al-Jahiz, yang mempunyai komitmen tinggi terhadap ilmu dan pembacaan, mati akibat tertindih oleh buku yang disimpan di sekelilingnya.

Berdasarkan kisah ulama zaman silam ini, mereka menjadikan buku teman. Jelaslah ulama dan cendekiawan Islam menunjukkan komitmen tinggi terhadap amalan membaca dan kecintaan pada ilmu pengetahuan.

Masyarakat membaca dan berlumba-lumba menguasai ilmu adalah masyarakat yang dapat menyesuaikan dirinya dengan tujuan asal ia diciptakan Allah.
Sebenarnya, minat dan tabiat membaca boleh dipupuk dalam masyarakat. Namun, untuk mewujudkan sebuah negara mempunyai rakyat yang menjadikan membaca sebagai amalan dalam hidup mereka bukanlah suatu perkara mudah.

Ia membabitkan kesedaran mendalam rakyat sendiri. Walau apa pun cara dilaksanakan, kerajaan mahu menyedarkan rakyat kepentingan membaca tetapi jika rakyat tidak mengendahkannya, segala usaha kerajaan bagaikan mencurah air ke daun keladi.

Antara cara paling baik untuk memupuk budaya membaca ialah melalui usaha melatih dan membimbing kanak-kanak minat membaca. Golongan inilah yang bakal menerajui pemerintahan dan pentadbiran negara pada masa akan datang.

Melalui amalan suka membaca yang dimulakan sejak kanak-kanak lagi, tentulah banyak ilmu pengetahuan bakal diperoleh. Sehubungan itu, ibu bapa, guru, ulama, penulis, pustakawan dan media massa seharusnya memberi komitmen dan menggembleng tenaga dalam usaha ini.

Hanya komitmen yang bersungguh-sungguh dan padu dapat menyemarakkan budaya budaya membaca dalam masyarakat.

Ayat pertama surah al-Alaq diwahyukan Allah kepada Nabi Muhammad SAW dimulai dengan perintah ‘membaca’. Dengan melaksanakan pe
rintah ini membolehkan umat manusia mencapai kedudukan kemanusiaannya pada tahap yang sempurna.

Setiap Muslim seharusnya menyahut dan melaksanakan perintah ini. Umat Islam tidak mungkin dapat mencapai kemajuan di dunia dan akhirat, jika mengabaikannya. Kita juga seharusnya melihat kembali zaman kegemilangan tamadun Islam yang diwarnai sikap cintakan ilmu pengetahuan. 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...