بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Thursday, April 28, 2011

Batas-Batas Bergurau

AGAMA Islam menggalakkan umatnya mengeratkan silaturahim sesama manusia agar kehidupan ini penuh dengan kasih sayang, perpaduan dan harmoni. 


Kita juga digalakkan untuk menyenangkan hati sesama saudara kita. Salah satu cara untuk menyenangkan hati itu ialah dengan bergurau senda.

Adapun gurau senda itu suatu yang diharuskan dalam Islam kerana naluri dan fitrah manusia memerlukan hiburan untuk memperoleh ketenangan dan kesejahteraan. Bahkan boleh membebaskan diri daripada keresahan dan ketegangan.

Nabi Muhammad menjalankan kehidupan bersama para sahabat dan ahli kerabat baginda seperti manusia biasa. Baginda berkongsi kesedihan, kesusahan dan musibah dan baginda juga pernah bergurau senda. 

Antara senda gurauan Rasulullah ialah sebagaimana yang diceritakan oleh Al-Hasan: "Seorang perempuan tua telah datang kepada Nabi Muhammad, lalu berkata 'wahai Rasulullah, berdoalah kepada Allah SWT supaya aku dapat masuk syurga."

Maka Rasulullah bersabda: "Wahai ibu polan! Sesungguhnya orang tua tidak boleh masuk syurga."

Lalu menangislah si perempuan tua itu. Dengan segera Rasulullah bersabda: "Khabarkan kepada perempuan itu bahawa sesungguhnya dia tidak akan masuk syurga dalam keadaan dia tua." 

Lalu dibacakan firman Allah yang tafsirnya: Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa serta Kami jadikan mereka sentiasa dara, yang tetap menjadi jodohnya serta yang sebaya umurnya.

Dalam senda gurauan Rasulullah yang lain lagi ialah sebagaimana dalam sebuah hadis yang maksudnya: "Daripada Anas bin Malik, bahawa seorang lelaki meminta kenderaan Rasulullah lalu baginda bersabda: Sesungguhnya aku akan membawamu di atas anak unta betina. Lalu orang itu berkata: Apa yang dapat saya buat di atas anak unta betina? Baginda menjawab: Bukankah yang melahirkan Al-Ibbal (unta jantan tua) itu hanya unta betina iaitu ibunya dan unta jantan tua itu ialah anaknya". (riwayat Al-Imam At-Termidzi)

Daripada kisah-kisah tersebut dapat kita lihat bagaimana Rasulullah bergurau tetapi dalam perkara yang benar, bukan perkara yang dusta. 

Bahkan ia adalah disunatkan untuk menyenangkan hati orang lain. Walau bagaimanapun Islam melarang kita daripada bergurau terhadap perkara yang sia-sia kerana gurauan itu membuat orang ketawa berlebihan dan boleh menyebabkan keras hati serta melalaikan daripada mengingati Allah. 

Nabi Muhammad berpesan dalam sebuah hadis maksudnya: "Daripada Abi Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda: Janganlah kamu banyak ketawa kerana sesungguhnya banyak ketawa itu mematikan hati". (riwayat Al-Imam At-Termidzi)

Berkata Imam Al-Nawawi: "Gurauan yang ditegah itu ialah gurauan yang melampaui batas dan sering dilakukan sehingga melalaikan daripada mengingati Allah."

Sesungguhnya jika gurauan kita itu bermaksud untuk menyenangkan hati orang lain terutama mereka yang dalam kesusahan, maka Allah SWT akan memberi ganjaran kepada mereka.

Bagaimanapun, jika gurauan itu boleh membawa kemudaratan, kesusahan atau mengakibatkan perkara buruk kepada orang lain, kita akan mendapat dosa.

Oleh yang demikian, berwaspadalah dengan senda gurauan yang melampaui batas atau berlebihan. Janganlah dalam gurauan itu ada unsur-unsur menghina, mencerca, mengolok-olokkan dan menyakiti orang lain kerana ia boleh mencetuskan permusuhan dan kemarahan sehingga menyebabkan terputus silaturrahim.

Jangan juga dijadikan senda gurauan itu suatu kebiasaan atau amalan kerana kesan yang tidak baik daripada gurauan itu mungkin akan terjadi.

Firman Allah SWT yang bermaksud: 

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak daripada lelaki mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain kerana harus puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka. Dan janganlah pula sesuatu puak daripada daripada kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain kerana harus puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka, dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengah yang lain dan janganlah kamu panggil memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan adalah panggilan buruk sesudah dia beriman dan ingatlah sesiapa yang tidak bertaubat daripada perbuatan fasiknya maka merekalah orang-orang yang zalim. (al-Hujurat: 11)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...