Pendedahan nilai agama dalam tugas serlah integriti pekerja Muslim
2011/04/29
KECEMERLANGAN organisasi terletak pada aset utamanya iaitu modal insan, semestinya berilmu, memiliki kemahiran bersesuaian dan berfikiran strategik supaya sentiasa relevan dengan peredaran masa dan persekitaran.
Perkhidmatan melangkaui jangkaan pelanggan adalah petanda positif. Pekerja mesti memiliki kemahiran bersesuaian bagi menghadapi cabaran semasa dan tenaga kerja relevan adalah cabaran terbesar dihadapi perkhidmatan masa kini.
Prestasi pekerja di negara ini amat membanggakan dan menuju sasaran ke-10 terbaik di dunia, namun penambahbaikan dari masa ke semasa amat perlu bagi memperbaiki kelemahan untuk mengekalkan kecemerlangan. Sebagai pekerja Muslim, kita mesti menerapkan nilai Islam dalam pekerjaan seperti jujur, amanah, taat, tekun, dedikasi dan bijak. Kita juga mesti mempunyai tekad serta keazaman bagi menghadapi masa depan dengan lebih baik bermula dari hari ini.
Islam sentiasa mendorong, memotivasi dan menganjurkan umatnya berusaha serta berikhtiar penuh ketekunan bagi mencapai kesejahteraan dan kegemilangan dalam kehidupan seharian.
Ingatlah, perubahan menuju hasanah (kebaikan) bermula dari dalam diri setiap individu. Pekerja kurang berkemahiran perlu mempertingkatkan keupayaan mereka. Jika tidak, mungkin ada antara mereka ini tidak lagi diperlukan dalam perkhidmatan.
Sebagai pekerja, kita juga mesti berusaha memberi sumbangan kepada kemajuan negara dan kesejahteraan masyarakat. Kita mestilah memainkan peranan dalam mencapai kesejahteraan bukan beban yang menyusahkan orang lain.
Tingkatkan kemahiran, tambahkan pengetahuan, hanya dengan cara ini kita mampu melaksanakan tugas sebenar sebagai khalifah di muka bumi. Allah menetapkan dalam sunnah kehidupan kejayaan itu hasil daripada kerja tekun dan dedikasi. Inilah jihad dituntut Islam.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesungguhnya Allah sangat suka (bahkan cinta) jika seseorang daripada kamu, melakukan kerja, maka dia bekerja dengan tekun.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)
Umumnya, manusia berperibadi cemerlang berjaya menyempurnakan tugasnya berdasarkan kekayaan ilmu pengetahuan, penghayatan, pengamalan ilmu serta melaksanakan tugas mencapai atau melepasi ukuran cemerlang.
Mereka juga digambarkan melalui tingkah laku berhemah, berbudi pekerti mulia dan menerima tanggungjawab sebagai amanah seperti firman Allah bermaksud:
“Katakanlah: Mahukah kami khabarkan kepada kamu akan orang yang rugi amal perbuatannya? Orang yang sia-sia usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul pada apa yang mereka lakukan. Merekalah orang yang ingkar akan ayat Tuhan mereka dan pertemuan dengan-Nya; maka gugurlah amal mereka; maka Kami tidak akan memberi timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari Kiamat kelak.” (Surah al-Kahfi, ayat 103-105)
Berdasarkan maksud ayat ini dapat difahami ‘mereka yang rugi’ itu termasuklah yang tidak amanah. Sifat amanah adalah pakaian khalifah Allah. Sebagai khalifah kita bertanggungjawab mengurus alam dan segala isinya supaya keberkatannya dapat dinikmati.
Justeru, bagi memakmurkannya, kualiti pengurusan dalam pelbagai aspek kehidupan sangat diperlukan. Kualiti itu adalah tuntutan bekerja secara profesional melalui perancangan strategik dari sudut masa, wang dan tenaga yang semuanya berteraskan nilai amanah serta integriti. Rasulullah SAW adalah contoh pekerja dan pengurus unggul berkeperibadian tinggi yang sentiasa melakukan perubahan untuk maju.
Sebagai individu yang menjadi warga kepada organisasi, kita tidak dapat lari daripada menerima kesan perubahan ini. Jika kita tidak cepat bertindak menyesuaikan diri dengan perubahan, dikhuatiri kita tidak mampu menyampaikan perkhidmatan seperti dituntut masyarakat luar.
Marilah kita muhasabah diri, sejauh manakah kedudukan kita dalam dunia pekerjaan ini? Adakah kita sudah membawa perubahan kepada diri, keluarga, organisasi, negara dan kepentingan agama?
Kita sebagai pekerja hendaklah bersyukur dan meneruskan usaha ke arah perkhidmatan cemerlang, bekerja dalam konteks amal soleh dan nilai murni bagi memastikan perubahan positif terus dicapai.
Bersempena Hari Pekerja 2011 bertemakan ‘Pekerja Merealisasikan Transformasi Negara, marilah bersama menanam tekad dan azam menghayati tujuan bekerja menurut Islam. Tingkatkan usaha ke arah yang terbaik.
Sentiasa memperbaiki prestasi kerja, berusaha melaksanakan pelbagai tugas, mempunyai sifat positif terhadap diri dan pandangan pihak lain, bersedia menerima teguran, saling menghormati, bertolak ansur dan akhirnya peka kepada kehendak pelanggan serta perubahan persekitaran. Mudah-mudahan dengan cara ini kerja kita diberkati dan diredai Allah.
Firman Allah bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad), beramallah kamu akan segala yang diperintahkan, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui perkara ghaib dan nyata. Kemudian Dia memberitahu kepada kamu apa yang kamu kerjakan.” (Surah at-Taubah, ayat 105)
Khutbah JAKIM
No comments:
Post a Comment