بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Saturday, April 23, 2011

Berdoalah





MALAM dan siang silih berganti, sementara manusia terus diuji pelbagai ujian serta cabaran dalam hidup, harta benda atau keluarga. Ada yang selesai dan ada yang masih membelenggu sesetengah individu sebagai tanda ganjaran banyak sedang menanti. 


Hanya Allah yang mampu merungkaikan segala permasalahan manusia. 

Firman Allah yang bermaksud: 

“Dan jika Allah menimpakan sesuatu bencana kepadamu, maka tiada yang dapat menghilangkannya selain dia (Allah) yang maha berkuasa di atas sesuatu perkara.” (Surah al-Ana’m, ayat 17)


Setelah meyakini Allah yang akan menghilangkan segala penderitaan, maka kita dianjurkan berdoa supaya diberi kekuatan dan kesabaran menghadapinya.

Firman Allah yang bermaksud: 

“Maka berkatalah Tuhanmu, berdoalah nescaya Aku akan perkenankan doa mereka.” (Surah Ghafir, ayat 60). 


Dari Anas Bin Malik, Baginda SAW mengajar mereka yang ditimpa kesedihan membaca yang bermaksud: “Wahai Tuhan yang sentiasa hidup dan berkuasa, dengan rahmat-Mu aku memohon pertolongan.” 

Ternyata, doa adalah senjata utama dapat membantu umat Islam mendapatkan apa yang dihajati dengan izin Allah selagi ia tidak menyalahi syariat. 

Doa yang diucapkan penuh pengharapan nescaya akan dimakbulkan. 

Allah berfirman yang bermaksud: 

“Kami telah perkenankan doanya (Nabi Yunus) dengan menghilangkan kesedihannya. Demikianlah kami selamatkan orang yang beriman.” (Surah al-Anbiya’, ayat 88) 

Imam Masjidil Haram, Makkah, Syekh Usamah Abdullah Al-Khayyat, dalam khutbahnya berkata ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian untuk memastikan doa dimakbulkan dalam jangka masa singkat. 

Katanya, satu daripadanya ialah memastikan kita sentiasa menunaikan hak Allah dengan melakukan apa yang diperintahkan serta segera melaksanakan tuntutan syariat Allah dan Rasul-Nya. 

Firman Allah yang bermaksud:

“Katakanlah wahai Muhammad, jika kamu kasih kepada Allah, hendaklah kamu ikuti sunnahmu nescaya kamu akan dikasihi Allah.” (Surah al-Imran, ayat 31) 

Selain itu hendaklah melaksanakan tuntutan sekalian hambanya dengan melakukan kebaikan dan memberi bantuan yang diperlukan oleh mereka seperti firman Allah yang bermaksud: 

“Sesungguhnya kami tidak akan menghampakan mereka yang melakukan kebaikan.” (Surah al-Kahfi, ayat 30) 

Ketiga, menunaikan hak seorang kepada saudara seagama sebagai persaudaraan Islam dan seterusnya berusaha sedaya upaya untuk memudahkan segala urusan sesama manusia kerana semuanya akan memberi kemudahan kepada kita di hari kemudian. 

Sabda Rasul SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang meringankan bebanan saudaranya di dunia dan memudahkan urusan mereka, nescaya Allah akan memudahkan urusan mereka di Hari Kiamat.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) 

Ketahuilah bahawa amalan yang berkaitan dengan manusia sejagat adalah lebih diberi perhatian oleh Allah kerana urusan inilah yang akan menambah kekuatan sesuatu umat serta meneguhkan perpaduan mereka.



Oleh Ustaz Zamanuddin Jusoh 2011/04/23

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...