بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Friday, April 22, 2011

Harta bawa kebinasaan jika tak diurus ke jalan kebaikan

 
Firman Allah yang bermaksud: “Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi dan cari apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah serta ingatkan akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya di dunia dan di akhirat.” (Surah al-Jumuah, ayat 10)


2011/04/22
MENCARI dan memiliki harta kekayaan diizinkan agama kerana Allah Maha Berkuasa menjadikan dunia dan segala isinya dalam keadaan sedia diterokai serta dimiliki oleh manusia.

Allah Maha Kaya mencipta dan memiliki secara mutlak semua ini tidak sama sekali berhajat kepada segala khazanah yang dijadikan-Nya. Sebaliknya, manusia yang lebih berhajat kepada Allah dan segala khazanah di atas dunia ini.

Walaupun Islam menggalakkan kita berusaha mencari harta kekayaan, kita diingatkan supaya melakukan usaha yang halal dan dibenarkan syariat. Islam melarang sama sekali kita mencari harta kekayaan dengan jalan yang salah seperti terbabit perbuatan menipu, mencuri, merompak, merasuah atau salah guna kuasa.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan jangan kamu makan harta orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” (Surah al-Baqarah, ayat 188)

Mengurus dan mentadbir harta secara betul dan menepati kehendak syariat satu tanggungjawab besar. Sesungguhnya kurniaan harta kekayaan suatu anugerah dan nikmat tetapi ia juga sebahagian daripada ujian Allah.

Mereka yang miskin dan melarat akan diuji dengan kemiskinan manakala yang kaya pula akan diuji dengan kekayaan. Oleh itu, kurniaan harta kekayaan kepada kita bukan semata-mata hasil apa yang kita usahakan bahkan ia juga ujian terhadap diri kita.
Namun persoalan besar timbul di sini ialah, bagaimanakah kurniaan harta kekayaan ini dikatakan sebagai ujian Allah?

Firman Allah yang bermaksud: “Maka alangkah eloknya kalau mereka berdoa kepada Kami dengan merendahkan diri ketika mereka ditimpa azab Kami? Tetapi hati mereka keras dan syaitan pula memperelokkan pada (pandangan) mereka apa yang mereka sudah lakukan. Kemudian apabila mereka melupakan apa yang sudah diingatkan dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu segala kemewahan, sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang sudah diberikan, Kami seksa mereka secara mengejut, maka ketika itu mereka berputus asa.” (Surah al-An’am, ayat 43-44)

Perlu difahami, kesenangan dan kekayaan bagi orang yang kufur dan berbuat derhaka kepada Allah bukan kesenangan hakiki, sebaliknya umpan daripada Allah untuk mengangkat suatu kaum kepada darjat yang tinggi.

Jika mereka kufur, akhirnya mereka dibinasakan Allah dengan azabnya yang datang secara tiba-tiba. Manusia paling baik ialah mereka yang sentiasa mensyukuri nikmat harta dengan cara menggunakan harta secara bijaksana bagi tujuan kebaikan untuk kehidupan diri, keluarga dengan bersedekah atau mengeluarkan zakat.

Satu perkara lagi yang perlu diurus dan dipelihara dengan baik ialah harta intelek negara yang dihasilkan oleh cetusan kreativiti manusia terdiri daripada paten, cap dagangan, reka bentuk perindustrian dan hak cipta.

Seorang ulama al-Shaykh Ali al-Khafif mendefinisikan harta intelek sebagai sesuatu yang disandarkan kepada barang tidak ketara (ma'nawiyyah); yang tidak dapat dikesan dengan pancaindera, tetapi dapat dikesan dengan akal dan fikiran seperti idea dan ciptaan.”

Justeru, harta intelek perlu dilindungi dan diberi hak yang eksklusif kepada miliknya untuk mengguna, membuat serta menjual hasil harta inteleknya. Ingat menceroboh atau mencuri hasil karya atau membeli barangan cetak rompak ibarat membeli barangan dicuri.

Penjenayah harta intelek menyalin hak harta intelek itu tanpa kebenaran dan menjualnya tanpa kebenaran pemilik sebenar. Wajarkah kita mengambil kesempatan mengaut keuntungan daripada hasil usaha dan titik peluh orang lain tanpa izin untuk kepentingan kita?

Bersempena Sambutan Hari Harta Intelek Negara pada 26 April ini, mimbar menyeru bersama menilai kembali harta kita miliki sebaik mungkin, dari mana sumbernya, adakah ia benar-benar halal dan mendatangkan kebaikan kepada kehidupan kita di dunia.

Sumber khutbah JAKIM 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...