بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Saturday, April 2, 2011

Tafsir Ayat: Persepsi berbeza penerima kematian bagi umat beriman, kufur

Tafsir Ayat: Persepsi berbeza penerima kematian bagi umat beriman, kufur
Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

2011/04/02
FIRMAN Allah SWT yang bermaksud:

“Dan (tiap-tiap) makhluk yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, iaitu ketetapan (ajal) yang tertentu masanya (yang telah ditetapkan oleh Allah). Dan (dengan yang demikian) sesiapa yang mengehendaki balasan dunia, kami berikan bahagiannya daripada balasan dunia itu dan sesiapa yang mengehendaki balasan akhirat, kami berikan bahagiannya daripada balasan akhirat itu dan Kami pula akan beri balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur. (Surah Ali Imran, ayat 145)

Setiap makhluk yang bernyawa pasti akan menemui kematian. Demikianlah sunnatullah yang telah ditetapkan oleh Allah Taala yang menghiasi pentas kehidupan dunia ini. Namun, ada hikmat yang tersembunyi di sebalik proses kehidupan dan kematian yang mewarnai hidup ini. Allah menegaskan bahawa setiap makhluk yang menghuni bumi Allah ini akan binasa bila tiba masanya nanti termasuklah nabi dan rasul yang terpilih dan juga malaikat sendiri seperti Jibril, Mikail dan Malaikat Maut melainkan Allah saja yang kekal hidup sampai bila-bila. Apa yang jelas daripada wujudnya kematian dan kehidupan yang bersilih ganti dalam perjalanan hidup ini ialah betapa dunia yang didiami ini sebenarnya bersifat sementara dan begitulah juga kehidupan manusia di dunia ini juga bersifat sementara. Oleh sebab itu, Islam datang menjelaskan kepada umatnya mengenai hakikat penciptaan dan kejadian manusia ialah berdasarkan kepada soalan: Dari manakah kita datang? Untuk apa kita datang? Ke mana pula kita akan pergi? Jawapan ini ialah daripada Allah kita datang, untuk Allah kita hidup dan kepada Allah jualah kita akan kembali. Oleh yang demikian, persepsi seorang Muslim amat jelas mengenai matlamat sebenar kehidupan dan kematian yang mewarnai pentas kehidupan ini.

Profesor Hamka menyatakan bahawa ayat ini bertindak sebagai perangsang motivasi buat meneguhkan hati orang yang beriman dalam menghadapi cabaran kehidupan sehariannya, sama ada membina dan memajukan agamanya, mahu pun dalam menangkis serangan musuh-musuhnya. Setiap insan tidak usah ragu dan takut menghadapi kematian kerana kematian itu adalah suratan yang sudah pun tertulis di Luh Mahfuz.

Menurut Raghib al-Asfahani, kematian itu dengan maksud berpisahnya roh dari badan, sekali gus adalah sebab yang membawa manusia menuju kenikmatan abadi. Kematian adalah perpindahan dari satu negeri ke negeri yang lain, seperti dinukilkan oleh Abdul Karim al-Khatib bahawa sesungguhnya kalian diciptakan untuk hidup abadi, tetapi kalian harus berpindah dari satu negeri ke negeri (yang lain) sehingga kalian menetap di satu tempat.

Perlu diinsafi bahawa jemputan maut akan datang pada bila-bila masa tanpa mengambil kira masa sihat atau masa sakit, masa senang atau masa susah, masa muda atau masa tua, lelaki atau perempuan, masa kaya atau masa miskin dan masa lapang atau masa sibuk. Malah maut juga tidak akan terlewat atau cepat daripada ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah di Luh Mahfuz. Maut menjadi satu rahsia yang hanya diketahui oleh Allah.

Ada sebahagian besar umat Islam yang berasa gerun dan takut apabila disebut perkataan mati. Tidak kurang pula terdapat orang yang tidak berasa apa-apa, malah berasa biasa saja biarpun bila berdepan dengan kematian rakannya dan sebagainya. Sebahagian yang tidak beriman kepada hari akhirat menganggap bahawa apa yang berlaku tidak lain hanya dimuntahkan oleh rahim dan kemudian ditelan oleh bumi seperti kepercayaan golongan Dahriyyin yang dirakamkan Allah dalam surah al-Jathiyah, ayat 24 yang bermaksud:

“Dan mereka berkata: Tiadalah hidup yang lain selain daripada hidup kita di dunia ini. Kita mati dan kita hidup (silih berganti) dan tiadalah yang membinasakan kita melainkan peredaran masa. Padahal mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai hal itu. Mereka hanyalah menurut sangkaan semata-mata". 

Manakala bagi orang beriman dan meyakini hari akhirat, mereka percaya bahawa kematian yang bakal ditempuhi nanti bukanlah noktah penghujung yang terakhir. Sebaliknya, perjalanan hidup mereka masih jauh, iaitu mereka akan berada di alam barzakh terlebih dulu sebelum berpindah ke alam akhirat yang kekal abadi. Orang yang beriman sebenarnya tidak sabar-sabar lagi untuk menghuni alam syurga yang penuh kenikmatan seperti termaktub firman Allah dalam surah al-Zumar, ayat 74 yang bermaksud:

“Dan mereka mengucapkan: Segala puji-pujian bagi Allah yang telah memenuhi janji-Nya kepada kami dan telah menjadikan kami mewarisi bumi syurga ini dengan sebebas-bebasnya, kami boleh mengambil tempat dari syurga ini di mana saja kami sukai. Maka pemberian yang sedemikian ialah yang sebaik-baik balasan bagi orang yang beramal.” 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...