بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Thursday, April 14, 2011

Fahima rela syahid untuk Palestin

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

PIHAK Keselamatan Israel, The Shin Bet menyifatkan beliau sebagai pengganas rakyat Israel pertama yang bertindak ganas kepada kaumnya sendiri.

Beliau yang dimaksudkan adalah seorang wanita, Tali Fahima, 35, yang kisah perjuangannya bukan sesuatu yang baru terutama di kalangan mereka yang prihatin terhadap isu-isu Palestin.
Bagaimana seorang wanita seperti Fahima mampu memberi ancaman besar kepada Israel dan dilabelkan sedemikian rupa?

Sepatutnya Fahima yang merupakan anggota tentera Israel wanita ini sewajibnya taat dan setia hanya pada Israel. Namun yang berlaku adalah sebaliknya. Beliau dituduh pengkhianat kerana membantu pihak musuh.
Lebih mengejutkan dunia apabila pada Isnin 7 Jun tahun lalu, Fahima akhirnya memeluk Islam dan sanggup menukar kewarganegaraan menjadi rakyat Palestin.

Kini Fahima, bangsa Yahudi dari Maghribi yang dilahirkan di bandar kecil Fallujah menjadi sasaran dan serangan rejim Zionis sebagaimana rakyat Palestin yang lain.

Bercakap mengenai soal ancaman yang tentunya bermakna sasaran untuk dibunuh oleh rejim Zionis itu, Fahima benar-benar seorang wanita yang luar biasa.

Ini kerana beliau mampu bersifat lapang dada, jauh sekali untuk berpaling tadah.

"Alhamdulillah, Allah telah menggariskan suratan takdir sebwgini untuk saya. Jika saya memang ditakdirkan akhirnya mati dibunuh oleh pihak Israel saya berharap Allah mentakdirkan saya mati syahid, maka saya akan mengucapkan Alhamdulillah, perkara ini (mati syahid) ini adalah lebih jauh lebih baik daripada apa pun di dunia ini," katanya.

Kini beliau dikatakan menetap di sebuah perkampungan Arab Palestin di Ara'ra dan bertugas sebagai guru yang mengajar bahasa Ibrani (Hebrew) di sebuah sekolah dan lebih banyak menghabiskan masa untuk belajar Bahasa Arab dan al-Quran.

Jika diimbas, pada tahun 2003 sebagai anggota tentera Israel, Fahima merupakan antara sekumpulan tentera rejim Zionis yang telah dimaklumkan mengenai senarai nama-nama pejuang Palestin yang menjadi sasaran dihukum mati.

Menduduki senarai teratas adalah pejuang terkenal, Komander Kataib Syuhada Brigade Al Aqsa (Sayap Tentera Fatah), Zakaria Zubaide yang dianggap pejuang Palestin yang paling dikehendaki namun sangat licik kerana beliau gagal dibunuh dalam tiga kali cubaan membunuhnya oleh tentera Israel sebelum ini.
Ini menyebabkan Fahima sendiri menaruh minat untuk berhadapan dengan Zakaria.

Lalu pada tahun 2003 Fahima bertindak di luar dugaan apabila berjaya menemui Zakaria malah bermalam (di rumah jiran perempuan Zakaria bernama Raj'ah) di sebuah kem pelarian di Jenin secara rahsia.
Akibatnya, beliau ditahan oleh agen perisik Israel dan dituduh membocor serta mendedahkan rahsia kepada Zakaria bahawa pejuang itu tersenarai untuk diserang dan dibunuh dalam satu operasi oleh pihak Israel.
Pada 9 Ogos 2004 atas tuduhan itu, Fahima didapati bersalah kerana membantu musuh Israel dan dipenjara tiga tahun iaitu dari tahun 2005 sehingga 2007.

Tentu sahaja tiada layanan istimewa buat Fahima sepanjang dipenjara. Malah keadaan beliau sama sebagaimana tahanan Palestin yang lain yang teruk diseksa, sama ada secara fizikal dan mental.
Pelbagai pihak termasuk Barat yang pro-Palestin melancarkan kempen bagi menyelamatkan Fahima dan menceritakan kekejaman Israel yang sanggup menyeksa bangsanya sendiri..

Namun yang menguatkan beliau sepanjang menanggung pelbagai seksaan dalam penjara adalah kepercayaan utuh terhadap Islam walaupun ketika itu belum rasmi lagi Fahima memeluk Islam.

Kekejaman yang beliau lalui dan pengalaman melihat penderitaan rakyat Palestin di kem pelarian di Jenin menyedarkan wanita hebat ini bahawa fahaman Zionisme yang selama ini menjadi anutannya adalah songsang dan tidak berperikemanusiaan 

Utusan Malaysia 14/04/2011

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...