بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Tuesday, April 12, 2011

Allah Is Calling - Dr Maurice Bucaille

Dr Maurice Bucaille – Saintis Perancis Temui Islam Melalui Surah Yaasin.

Apabila sesuatu perkara itu sudah menjadi kehendak Allah SWT melalui Qada’ dan QadarNya, tidak ada seorang pun di dalam dunia ini yang mempu menghalang dari pada menolak jika datang kepadanya. Ia samada yang berupa nikmat atau bala yang telah ditetapkan oleh Allah SWT keatas hamba-hamba-Nya.

Adalah tidak mustahil bagi individu yang sebelum ini tergolong dalam golongan penganut Kristian atau apa-apa saja daripada agama-agama ciptaan manusia, tetapi kerana kesungguhannya mendalami kebenaran  Islam, serta  hasil penyelidikan dan kajian mengenai agama Islam, maka dia diberi taufik dan hidayah Allah untuk menerima Islam sebagai agama terakhir pencariannya.

Begitulah yang terjadi kepada Dr Maurice Bucaille, seorang saintis terkemuka dari Perancis, yang merupakan seorang penyelidik sains lewat 70-an. Beliau mencari kebenaran fakta sains, daripada manakah sumber asalnya, daripada Bible atau al-Quran? Takdir Allah menggerakkan hatinya untuk membelek al-Quran. Kebetulan surah yang dibukanya adalah surah Yaasin. Menerusi surah ini  beliau bertemu dengan hakikat ilmu sains menerusi ayat 38 hingga 40 
A038

A039

 A040

yang bermaksud:

“Dan (sebahagian daripada dalil tersebut ialah) matahari, ia kelihatan beredar ke tempat yang ditetapkan baginya, itu adalah takdir Tuhan Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui,  Dan bulan pula kami takdirkan dia beredar memalui beberapa peringkat, sehingga di akhir peredarannya kelihatan kembali pula ke peringkat awalnya-(berbentuk melengkung) seperti tandan yang kering. (Dengan ketentuan yang demikian itu) matahari tidak mudah mnegejar bulan, dan malam pula tidak dapat pula mendahului siang, kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarnya masing-masing.” (Yaa Siin [36] : 38- 40)

Laporan menyebutkan bahawa Dr Maurice Bucaille merupakan antara individu yang berpengaruh nombor tiga setelah Presiden dan Timbalan Presiden Perancis ketika itu. Beliau yang menerima gaji oleh pemerintah Perancis pada ketika itu sebanyak juta Dollar Amerika (USD) dengan beberapa kemudahan dan peralatan elektronik disediakan untuknya bagi membantu penyelidikan dalam bidang sains. Namun setelah membaca tiga ayat tersebut daripada surah Yaasin, akhirnya beliau membulatkan tekad untuk memeluk Islam kerana yakin dengan sains berpaksi dan bersumberkan kepada al-Quran.

Pengakuan dan pengisytiharannya untuk memeluk Islam telah mengejutkan banyak pihak terutama Presiden Perancis ketika itu, Valery Giscard d’Estaing yang tidak dapat menerima hakikat pengislamannya itu dan akhirnya Dr Maurice diarahkan untuk meninggalkan Perancis sebagai hukuman berat ke atasnya. Malah beliau juga tidak boleh memasuki negara Kesatuan Eropah (EU), akhirnya beliau memilih Mesir sebagai tempat tinggalnya bersama keluarga, beliau berusaha untuk memahami al-Quran dan bahasa Arab. Dalam tempoh dua tahun, beliau menguasainya dengan baik.

Siapa sebenarnya Dr Maurice Bucaille?


Beliau merupakan seorang doctor perubatan yang dilahirkan pada 19 Julai 1920, di Pont-L’Eveque, Perancis daripada keluarga yang berpegang kepada ajaran Kristian Katolik. Beliau mendapat pendidikan awal dan menengah di Sekolah Katolik di tanah tempat tumpah darahnya Pont-L’Eveque.

Semasa perang dunia kedua, beliau menyambung pelajarannya di Fakulti Perubatan di University of Paris. Dr Maurice Bucaille menghabiskan pengajiannya dalam bidang perubatan dalam tahun 1945 dengan meraih kejayaan yang cemerlang. Beliau memulakan kerjaya awalnya sebagai pegawai pembedahan di salah sebuah hospital di kota Paris.

Pada masa yang sama, beliau mendalami kitab-kitab suci agama Yahudi dan Kristian kuno. Pada awal 1950-an beliau ke Mesir untuk mendalami agama kuno Firaun sebagai kesinambungan dari sebuah Institut yang ditubuhkan di kota Paris pada 1923.

Dr Maurice Bucaille juga pernah mengkaji ilmu-ilmu yang berkaitan dengan pertejemahan al-Quran dan beliau berguru dengan seorang Orientalis berbangsa Perancis, Gaston Blaster yang akhir membuka sebuah Institut untuk mendalami al-Quran dikalangan rakyat Perancis.

Minat mendalam beliau tentang al-Quran telah menjadikan beliau sebagai seorang yang suka mengkaji mengenainya. Pada tahun 1969, beliau mendaftarkan diri sebagai seorang pelajar bahasa Arab yang dikendalikan oleh Institut Bahasa di bawah pentadbiran Universiti Sorborne secara sistematik. Dalam tempoh tiga tahun, beliau berjaya menjadi graduan bahasa Arab yang mantap dalam segenap cabang mengenainya.

Selepas itu beliau mencadangkan kepada Presiden Mesir ketika itu, Anwar Saddat untuk menghimpunkan beberapa bahan sejarah yang berkaitan Firaun dan Nabi Musa as yang sejarah mereka berdua teramat masyhur di negara mesir. Sepatutnya dihimpunkan sebagai bahan sejarah yang perlu diajar kepada generasi selepas itu.

Kepakaran beliau dalam bidang perubatan dan kemampuan berbahasa Arab, beliau telah dilantik oleh Al-marhum Raja Faisal dari Arab Saudi untuk menjadi doktor peribadi dan keluarga. Beliau berkhidamat kepada keluarga di Raja itu sehingga berlaku penggulingan kuasa yang menyebabkan Raja Faisal ditembak mati oleh anak saudaranya pada 20 Mac 1975.

Usaha beliau dalam bidang akademik tidak terhenti walaupun tidak lagi berkhidmat sebagai doktor peribadi. Beliau mengorak langkah dalam bidang penyelidikan dan kajian dan telah menghasilkan sebuah buku yang bertajuk “Bible, Quran dan Sains Moden” dan beberapa buku tentang penilaian semula kepada ajaran agama-agama yang disifatkan sebagai perkara baru yang tidak pernah berlaku sebelum itu.


Bagi memastikan kesinambungan ilmu, beliau tetap bersama-sama dengan bahan ilmiah. Beliau menghabiskan sisa-sisa hidupnya pada tahun 80-an dengan ilmu. Beliau amat terpengaruh dengan kehidupan para ilmuan Mesir dalam melakukan kajiannya mengenai Islam hingga beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 18 Februari 1998.

Sumber : Buku Allah Is Calling

Di bawah ini disalin daripada Utusan Malaysia


PADA pertengahan tahun 1975, Perancis yang ketika itu di bawah pemerintahan Presiden Francisco Mitterand menawarkan kerajaan Mesir bantuan untuk meneliti, mempelajari dan menganalisis mumia Firaun, Ramsess II yang sangat terkenal.

Firaun yang dikatakan hidup di zaman Nabi Musa yang akhirnya mati tenggelam dalam Laut Merah ketika mengejar Musa dan para pengikut baginda yang melarikan diri daripada kekejamannya.

Mesir menyambut baik tawaran itu dan membenarkan mumia itu diterbangkan ke Paris. Malah ketika sampai di sana kedatangan mumia itu disambut dengan pesta dan keramaian.

Ini termasuklah apabila Mitterand dan para pemimpin Perancis yang lain tunduk hormat ketika mumia itu dibawa lalu di hadapan mereka.

Mumia itu kemudiannya diletakkan di ruang khas di Pusat Arkeologi Perancis. Di situ ia bakal diperiksa sekali gus membongkar rahsianya oleh para pakar, doktor bedah dan autopsi Perancis yang dipimpin oleh doktor yang sangat terkenal, Prof. Dr. Maurice Bucaille.

Bucaille seorang pakar bedah kenamaan Perancis yang dilahirkan di Pont-L’Eveque pada 19 Julai 1920. Memulakan kerjaya di bidang perubatan am dan pada tahun 1945 beliau diiktiraf sebagai pakar di bidang gastroentorologi.

Ramai kerabat diraja dan keluarga pemimpin dunia menggunakan khidmat Dr. Bucaille, termasuk Raja Faisal Arab Saudi dan pemimpin Mesir, Anwar Sadat.

Lalu kesempatan beliau untuk membedah dan menyiasat mumia Firaun, mengerah seluruh tenaga dan mindanya untuk menguak misteri di sebalik penyebab kematian raja Mesir kuno itu.

Ternyata, hasilnya sangat mengejutkan. Dr. Bucaille menemukan sisa-sisa garam yang masih melekat pada jasad mumia tersebut sebagai bukti terbesar bahawa Firaun itu mati akibat tenggelam di dalam laut. Iaitu jasadnya segera dikeluarkan dari laut, ‘dirawat’ segera dan dijadikan mumia supaya jasad itu kekal awet.

Namun penemuan itu menimbulkan persoalan yang sangat besar kepada Dr. Bucaille. Bagaimana jasad tersebut masih dalam keadaan sangat baik berbanding jasad-jasad yang lazimnya tenggelam dan dikeluarkan daripada laut?

Lalu beliau menyiapkan sebuah laporan akhir yang diyakininya sebagai penemuan baru, iaitu proses menyelamatkan mayat Firaun dari laut dan kaedah pengawetannya.

Laporan tersebut diterbitkan dengan tajuk; Mumia Firaun: Sebuah Penelitian Perubatan Moden (judul asalnya; Les Momies Des Pharaons Et La Midecine). Ekoran penerbitan laporan itu, Dr Bucaille dianugerah penghargaan tertinggi kerajaan iaitu Le Prix Diane Potier-Boes (Penghargaan Dalam Sejarah) oleh Academie Frantaise dan anugerah Prix General daripada Academie Nationale De Medicine, Perancis.

Namun seorang rakan sempat membisikkan kepada Dr. Bucaille bahawa penemuan ini sebenarnya bukan sesuatu yang baru.

“Jangan tergesa-gesa kerana sesungguhnya umat Islam telah berbicara mengenai peristiwa Firaun yang mati lemas dan mayatnya dipelihara sehingga hari ini!”

Namun kata-kata itu ditentang keras oleh Dr. Bucaille kerana beliau menganggap sangat mustahil. Baginya membongkar sesebuah misteri yang lama tidak mungkin dapat diketahui kecuali dengan perkembangan teknologi moden, peralatan dan makmal canggih yang mutakhir dan tepat.

Kisah Firaun dalam al-Quran
Hakikatnya Dr. Bucaille menjadi serba salah dan bingung apabila diberitahu bahawa al-Quran yang diyakini dan dipercayai oleh umat Islam telahpun meriwayatkan kisah tenggelamnya Firaun dan kemudian mayatnya diselamatkan.

Beliau semakin tertanya-tanya, bagaimana perkara seperti itu dapat diterima oleh akal kerana mumia itu baru sahaja ditemui sekitar tahun 1898. Sedangkan al-Quran telah ada di tangan umat Islam sejak ribuan tahun sebelumnya.

Sambil mata tidak lepas memandang mumia Firauan yang terbujur di hadapannya, Dr. Bucaille terus tertanya-tanya bagaimana al-Quran dapat membicarakan kisah Firaun yang jasadnya diselamatkan dari hancur sejak ribuan tahun lalu.

“Apakah masuk akal di hadapanku ini adalah Firaun yang cuba menangkap Musa (Nabi)? Apakah masuk akal Muhammad (Nabi) mengetahui hal sejarah ini? Pada hal kejadian Musa dikejar Firaun telah berlaku sebelum al-Quran diturunkan,” bicara hatinya sendirian.

Lalu beliau mendapatkan kitab Injil yang di dalamnya hanya membicarakan Firaun yang tenggelam di tengah laut saat mengejar Nabi Musa tetapi tidak diceritakan mengenai mayat Firaun.

Sementara dalam Kitab Perjanjian Lama (Injil Lama) pula yang diceritakan dalam kitab itu hanyalah: “Air (laut) pun kembali seperti sebuah lautan yang berombak dan beralun, menenggelamkan kereta-kereta (chariot) kuda, pasukan berkuda dan seluruh bala tentera Firaun tanpa ada seorang pun yang berjaya menyelamatkan diri. Tetapi anak-anak Israel dapat menyelamatkan diri atas daratan kering di tengah-tengah laut itu”. (Exodus 14:28 dan Psalm 136:15)

Dr. Bucaille sangat terkejut kerana tidak ada disebut langsung mengenai apa yang terjadi seterusnya kepada mayat Firaun selepas tenggelam itu.

Ini menjadikan beliau semakin kebingungan.

Apabila mumia dikembalikan semula ke Mesir, Dr. Bucaille terus mendapatkan kepastian mengenai mumia itu. Lalu beliau memutuskan untuk bertemu dengan para ilmuwan Islam mengenai sejarah Nabi Musa, kekejaman Firaun sehinggalah Bani Israel meninggalkan Mesir dan dikejar Firaun dengan seluruh bala tentera di belakang mereka.

Maka salah seorang mereka terus bangun dan membaca ayat al-Quran berhubung sejarah tersebut untuk Dr. Bucaille mendengarkannya sendiri:

A092

“Maka pada hari ini Kami selamatkan badan kamu supaya kamu dapat menjadi pelajaran bagi orang-orang yang datang sesudah kamu dan sesungguhnya kebanyakan manusia lengah dari tanda-tanda kekuasaan Kami. ((Yunus [10] : 92)).”
Apabila mendengar ayat ini, hati Dr. Bucaille benar-benar tersentuh. Beliau akhirnya mengakui kebenaran ayat itu kerana ia dapat diterima akal dan memberikan satu inspirasi serta dorongan kepada sains untuk maju meneroka lebih jauh lagi.

Lalu dengan hati yang begitu bergetaran dalam menahan sebak dan keharuan, beliau pun bangun dan dengan suara yang lantang berkata: “Sesungguhnya aku masuk Islam dan beriman dengan al-Quran ini.”

Tidak sekadar beliau mengakui kebenaran dan memeluk Islam tetapi beliau kemudiannya pulang ke Perancis dengan menggali seluruh isi al-Quran.

Akhirnya beliau berjaya menerbitkan buku yang sangat mengejutkan seluruh dunia dan sehingga kini telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa pada tahun 1976, iaitu The Bible, the Qur’an, and Science : The Holy Scriptures Examined in the Light of Modern Knowledge.

Melalui buku ini, Dr. Bucaille yang kemudiannya dikenali sebagai Dr. Yahya Maurice Bucaille berjaya membuktikan bahawa al-Quran adalah selari dengan fakta-fakta sains sementara kitab Injil adalah sebaliknya.
“Sains dan Islam umpama saudara kembar yang tidak boleh berpisah. Ini kerana dalam Injil terdapat pelbagai kesilapan dari aspek saintifik tetapi tiada sedikitpun kesilapan seperti itu ada dalam al-Quran.

“Al-Quran yang di dalamnya diceritakan segala penjelasan mengenai fenomena alam semula jadi yang sangat bertepatan dengan sains moden,” katanya.

Beliau memberikan kesimpulan bahawa tidak syak lagi al-Quran benar-benar kalam Allah.


Dr Maurice Bucaille (why i'm muslim) - You Tube

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...