بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Saturday, April 9, 2011

Sabar, reda berdepan musibah serlah keperibadian Muslim




MENJADI hakikat tiada sesiapapun di dunia ini suka berhadapan dengan musibah. Sebagai manusia beriman, segala kecelakaan yang berlaku perlu dihadapi dengan sabar dan perlu menganggapnya sebagai ujian.

Ujian diberikan Allah SWT ini datang dalam pelbagai cara. Misalnya, kejadian tsunami di Jepun, gempa bumi di New Zealand, peperangan di negara Arab dan juga banjir yang melanda beberapa negeri baru-baru ini..

Musibah kehilangan ahli keluarga tersayang, kemusnahan harta benda, kemiskinan berpanjangan, menghidap penyakit kronik, kemalangan, kerugian dalam perniagaan dan sebagainya adalah cukup pedih untuk dihadapi.
Jika hati seseorang itu goyah dan tidak rasional, musibah ini tidak akan dianggap sebagai cubaan dan petunjuk yang dianugerahkan Allah SWT sebagai sumber meneguhkan keimanan dan kekuatan diri.

Kehidupan pada masa sukar sebegini dianggap tidak bermakna. Jiwa tidak tenteram dan perasaan menjadi kusut apabila kesenangan dan kebahagiaan yang dinikmati sebelum ini hilang sekelip mata.

Ada antara kita menganggap Tuhan tidak adil kerana menurunkan musibah demi musibah, umpama ‘sudah jatuh ditimpa tangga’. Hasutan syaitan akan menyemarakkan lagi rasa putus asa, sedih dan marah.

Sebenarnya jika sifat sabar dipupuk sebaiknya dalam diri, seseorang itu akan terus diberi petunjuk oleh Allah SWT dalam menghadapi cabaran kehidupan di dunia yang fana ini.

Firman Allah SWT bermaksud:

“Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah maka dialah beroleh petunjuk, dan sesiapa disesatkan oleh Allah, maka merekalah orang yang rugi (Surah al-A’raf ayat 178).

Bagi orang bersabar, dia akan reda dan tabah menerima segala ketentuan Allah SWT. Bahkan sifat tawakal atau berserah dan bersyukur akan tumbuh subur di dalam sanubari di samping percaya sesuatu yang berlaku mempunyai hikmah di sebaliknya.

Insan seperti ini sedar Allah SWT menunjukkan contoh kesabaran rasul bergelar ‘ulul azmi’ yang menerima pelbagai cabaran hebat dalam menyebarkan dakwah Islamiah pada zaman mereka.

Sifat sabar dapat membentuk keperibadian seseorang supaya sentiasa tenang. Ketenangan ini akan memandu dirinya bermuhasabah diri apakah ada salah dan silap yang pernah dilakukan dan bagaimana untuk memperbaikinya.

Orang yang sabar dan tabah menghadapi ketentuan Tuhan dari perspektif adalah orang yang terpelihara kehidupannya di dunia dan di akhirat dan mendapat ganjaran pahala berlipat kali ganda. Ini selaras dengan firman Allah SWT bermaksud:

“...sesungguhnya orang yang sabar saja akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.” (Surah al-Zumar, ayat 10).

Sebagai masyarakat prihatin terhadap satu sama lain, adalah wajar kita membantu orang yang dilanda kesusahan. Bukannya menjauhkan diri daripada mereka ini yang masih tercari-cari pedoman menghadapi saat sukar dalam hidup.

Sokongan masyarakat dari segi psikologi dan fisiologi sangat terkesan dalam membentuk sifat kesabaran dan ketakwaan dalam diri mereka yang dilanda musibah.

Semoga orang yang sentiasa bersabar menghadapi ujian akan dikuatkan keimanannya dan diberikan ganjaran sebaiknya seperti firman Allah SWT bermaksud:

“Wahai orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan kuatkan kesabaran serta kuatkan pertahanan dan bertakwalah kepada Allah semoga kamu beroleh kejayaan.” (Surah ali-Imran ayat 200).

Oleh Khairunneezam Mohd Noor
2011/04/09
Penulis berkhidmat di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...