بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Tuesday, April 26, 2011

Syafaat Nabi bagi Ibnu Taymiyyah

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

JIKA pada minggu lepas kita telah menghujahkan tentang keharusan memohon syafaat daripada Nabi Muhammad SAW di dunia, ketika Baginda SAW masih hidup, kita juga menegaskan bahawa boleh memohon syafaat daripada Nabi Muhammad SAW setelah Baginda SAW wafat.

Hal ini bersesuaian dengan prinsip Ahli Sunnah wal Jamaah, bahawa para Nabi AS tetap hidup di alam barzakh. Nabi Muhammad SAW sudah pasti adalah Nabi yang paling sempurna dan besar mendapat kurniaan tersebut. Baginda SAW mendengar perkataan umatnya, dan kepadanya diperlihatkan perbuatan mereka.

Baginda SAW juga memohonkan keampunan kepada Allah bagi dosa-dosa mereka dan memuji Allah (atas amalan baik umatnya). Selawat dan salam yang diucapkan oleh umatnya juga sampai kepadanya, meskipun mereka berada di penghujung dunia yang paling jauh, sebagaimana yang diisyaratkan dalam hadis-hadis sohih yang diakui oleh sejumlah penghafaz dan ahli hadis.

Jika kita memohon syafaat daripada Rasulullah SAW, sudah pasti Rasulullah SAW akan berdoa memohon kepada Allah SWT seperti yang dilakukannya ketika masih hidup. Hamba Allah yang memintanya, akan menerima syafaat itu pada tempat dan waktu yang telah ditentukan setelah diizinkan oleh Allah SWT sebagaimana dapat masuk syurga orang yang diberi khabar gembira dengannya di dunia.

Dia mengecapinya pada waktunya selepas Allah memberikan keizinan-Nya masuk syurga. Jadi, perkara ini (masuk syurga bagi mereka yang telah dijanjikan) dan syafaat, adalah sama. Inilah perkara yang dipercayai dan diyakini oleh hati kami.

Ibnu Taimiyyah mengharuskan memohon syafaat daripada Nabi SAW semasa di dunia. Di dalam bukunya, al-Fatawa, Ibnu Taymiyyah memberikan suatu penjelasan yang sangat bagus bagi ayat-ayat yang mengisyaratkan ketiadaan syafaat, ketiadaan manfaatnya dan larangan daripada memohonnya. Sedangkan, ayat-ayat itulah digunakan oleh sebahagian umat Islam untuk melarang daripada memohon syafaat daripada Nabi Muhammad SAW semasa di dunia.

Daripada perkataan Ibnu Taymiyyah tentang makna ayat-ayat tersebut dapat disimpulkan bahawa penggunaan ayat-ayat tersebut sebagai dalil untuk melarang permohonan syafaat di dunia sebagaimana yang mereka yakini itu tidak kena pada tempatnya dan terpesong daripada maksud asalnya.

Ibnu Taymiyyah berkata: "Orang-orang yang mengingkari syafaat berhujah dengan ayat-ayat berikut: Dan peliharalah diri kamu dari (huru-hara) hari Kiamat (yang padanya) seseorang tidak dapat mengganti atau melepaskan orang lain sedikit pun, dan tidak akan diterima daripadanya sebarang tebusan, dan tidak akan memberi manfaat kepadanya sebarang syafaat; dan orang-orang salah itu tidak akan ditolong (daripada azab sengsara). (al-Baqarah: 123)

(Pada saat itu) orang-orang yang zalim tidak akan mendapat seorang sahabat pun yang boleh membelanya, dan tidak akan mendapat pemberi syafaat yang diterima pertolongannya. (al-Mukmin: 18)

Maka tidak akan berguna kepada mereka sebarang syafaat pertolongan (kalaulah ditakdirkan ada) sesiapa yang boleh memberikan syafaat itu. (al-Muddathir: 48)

Ahli Sunnah, bahawa maksud ayat-ayat di atas ialah dua perkara berikut: Pertama, bahawa syafaat itu memang tidak bermanfaat bagi orang-orang yang mensyirikkan Allah, sebagaimana firman Allah dalam menyifatkan mereka: (Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata), "…dan kami sentiasa mendustakan Hari Pembalasan, sehinggalah kami didatangi oleh perkara yang tetap diyakini (mati)." Maka tidak akan berguna kepada mereka sebarang syafaat pertolongan (kalau ditakdirkan ada) sesiapa yang boleh memberikan syafaat itu. (al-Muddathhir: 47-48).

Oleh kerana kekafiran mereka, maka ternafi bagi mereka faedah syafaat daripada sesiapapun yang diizinkan memberikan syafaat.

Kedua, yang dimaksudkan oleh ayat-ayat tersebut ternafinya syafaat yang ditetapkan oleh pelaku syirik, dan orang-orang seperti mereka; seperti ahli bidaah, baik daripada golongan Ahli Kitab, ataupun kaum Muslimin yang beranggapan bahawa makhluk mempunyai kedudukan di sisi Allah untuk memberi syafaat tanpa izin Allah SWT.

Orang-orang musyrik menjadikan selain Allah sebagai pemberi syafaat seperti malaikat, para nabi, dan orang-orang soleh. Mereka melukis dan membentuk bermacam-macam rupa dan bentuk patung. Setelah itu, mereka meminta syafaat daripadanya, sambil berkata, "Mereka adalah kekasih Allah."

Kita katakan: Inilah perkataan Ibnu Taymiyyah, mengikut sebagaimana lafaznya. Daripada perkataannya ini, menjelaskan dengan sejelas-jelasnya hakikat ayat-ayat ini yang digunakan oleh orang-orang yang mengingkari syafaat, sebagai hujah atau dalil untuk mengingkari adanya permohonan syafaat kepada Nabi Muhammad SAW di dunia, atau pun orang-orang yang berpendapat bahawa ia adalah perbuatan syirik dan sesat.

Sumber : Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...