بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Thursday, April 14, 2011

Mus’ab bin Umair : Pemuda Dakwah

Mus'ab bin Umair adalah sahabat Rasulullah yang sangat terkenal dan menjadi teladan kepada umat Islam sepanjang zaman. 


Sebelum memeluk Islam lagi Mus'ab terkenal sebagai orang yang berperawakan lemah lembut, suka berpakaian kemas, mahal dan indah. Malah dia selalu berlawan dengan kawan-kawannya untuk berpakaian sedemikian. Keadaan dirinya yang mewah dan rupanya yang kacak menyebabkan Musab menjadi kegilaan gadis di Makkah. Mereka sentiasa berangan-angan untuk menjadi isterinya.

Mus'ab sebenarnya adalah anak yang paling disayangi ibunya berbanding adik beradiknya yang lain. Apa sahaja permintaannya tidak pernah ditolak. Oleh itu tidaklah menghairankan apabila ibunya begitu marah selepas mendapat tahu Mus'ab telah menganut Islam.

Ibu dan ayahnya telah mengurung dan menyeksa Mus'ab selama beberapa hari dengan harapan dia akan meninggalkan Islam. Bagaimanapun tindakan itu tidak sedikit pun melemahkan keyakinannya. Pujukan dan ancaman ibunya tidak berkesan. Mereka sudah habis ikhtiar lalu membebaskannya buat sementara.

Tindakan ibunya tidak sedikit pun menimbulkan rasa takut pada Mus'ab, sebaliknya dia tidak jemu-jemu memujuk ibunya memeluk Islam kerana kasih pada ibunya. Musab membuat pelbagai ikhtiar tetapi semua tindakannya hanya menambahkan lagi kemarahan dan kebencian ibunya.

Pada suatu hari Mus'ab melihat ibunya dalam keadaan pucat lesi. Dia pun bertanyakan sebabnya. Kata ibunya, dia telah berniat di hadapan berhala bahawa dia tidak akan makan dan minum sehingga Mus'ab meninggalkan Islamnya.

Cuba bayangkan bagaimana jika anda berada di tempat Mus'ab ketika itu, berhadapan dengan ibu yang hanya hampir tinggal nyawa ikan? Apakah jawapan anda? Tergamakkah anda membiarkannya terlantar begitu? Atau apakah ada jawapan lain yang lebih menggembirakan? Dengarlah jawapan Mus'ab kepada ibunya: Andaikata ibu mempunyai seratus nyawa sekalipun, dan nyawa ibu keluar satu demi satu, nescaya saya tetap tidak akan meninggalkan Islam sama sekali.

Apa lagi lemahlah si ibu mendengar jawapan si anak. Dengan jawapan tersebut juga, Mus'ab dihalau daripada rumah ibunya. Tinggallah Mus'ab bersama-sama Rasulullah dan sahabat-sahabat yang sangat daif ketika itu.

Untuk meneruskan kehidupannya, Mus'ab berusaha sendiri bekerja mencari nafkah dengan menjual kayu api. Apabila sampai berita ini kepada ibunya, dia merasa amat marah dan malu kerana kebangsawanannya telah dicemari oleh sikap Mus'ab. Adik-beradik Mus'ab juga sering menemui dan memujuknya supaya kembali menyembah berhala. Tetapi Mus'ab tetap mempertahankan keimanannya.

Sewaktu ancaman dan seksaan kaum Quraisy ke atas kaum Muslim menjadi-jadi, Rasulullah telah mengarahkan supaya sebahagian sahabat berhijrah ke Habysah. Mus'ab turut bersama-sama rombongan tersebut. Sekembalinya dari Habsyah, keadaan beliau semakin berubah. Kurus kering dan berpakaian compang-camping. Keadaan itu menimbulkan rasa sedih di dalam hati Rasulullah. Kata-kata Rasulullah mengenai Mus'ab sering disebut-sebut oleh sahabat:

Segala puji bagi bagi Allah yang telah menukar dunia dengan penduduknya. Sesungguhnya dahulu saya melihat Mus'ab seorang pemuda yang hidup mewah di tengah-tengah ayah bondanya yang kaya raya. Kemudian dia meninggalkan itu semua kerana cinta kepada Allah dan Rasul-Nya.

Apabila ibu Mus'ab mendapat tahu mengenai kepulangannya, dia memujuk anaknya supaya kembali kepada berhala. Dia mengutuskan adik Mus'ab yang bernama al-Rum untuk memujuknya. Namun Mus'ab tetap dengan pendiriannya. Bagaimanapun tanpa pengetahuan ibunya, al-Rum juga sudah memeluk Islam tetapi dia merahsiakannya. Sewaktu berlaku peperangan Uhud, Mus'ab ditugaskan memegang panji-panji Islam. Peringkat kedua peperangan telah menyebabkan kekalahan di pihak tentera Muslimin. Tetapi Mus'ab tetap tidak berganjak dari tempatnya dan menyeru: Muhammad adalah Rasul, dan sebelumnya telah banyak diutuskan rasul.

Ketika itu, seorang tentera berkuda Quraisy, Ibn Qamiah menyerbu ke arah Mus'ab dan melibas tangan kanannya yang memegang panji-panji Islam. Mus'ab menyambut panji-panji itu dan memegang dengan tangan kirinya sambil mengulang-ulang laungan tadi. Laungan itu menyebabkan Ibn Qamiah bertambah marah dan menetak tangan kirinya pula. Mus'ab terus menyambut dan memeluk panji-panji itu dengan kedua-dua lengannya yang kudung. Akhirnya Ibn Qamiah menikamnya dengan tombak. Maka gugurlah Mus'ab sebagai syuhada' Uhud.

Abu al-Rum, Amir ibn Rabiah dan Suwaibit ibn Sad telah berusaha mendapatkan panji-panji tersebut daripada jatuh ke bumi. Abu Rum telah berjaya merebutnya dan menyaksikan sendiri syahidnya Mus'ab. Abu Rum tidak dapat lagi menahan kesedihan melihat kesyahidan abangnya. Tangisannya memenuhi sekitar bukit Uhud. Ketika hendak dikafankan, tidak ada kain yang mencukupi untuk menutup mayat Mus'ab. Keadaan itu menyebabkan Rasulullah tidak dapat menahan kesedihan hingga bercucuran air matanya. Keadaannya digambarkan dengan kata-kata yang sangat masyhur: Apabila ditarik ke atas, bahagian kakinya terbuka. Apabila ditarik ke bawah, kepalanya terbuka. Akhirnya, kain itu digunakan untuk menutup bahagian kepalanya dan kakinya ditutup dengan daun-daun kayu.

Demikian kisah kekuatan peribadi seorang hamba Allah dalam mempertahankan kebenaran dan kesucian Islam. Beliau jugalah merupakan pemuda dakwah yang pertama mengetuk setiap pintu rumah di Madinah sebelum berlakunya hijrah. Kisahnya mempamerkan usaha dan pengorbanannya yang tinggi untuk menegakkan kebenaran. Semua itu adalah hasil proses tarbiyah yang dilaksanakan oleh Rasulullah.

Mus'ab telah menjadi saksi kepada kita akan ketegasan mempertahankan aqidah yang tidak berbelah bagi terhadap Islam sekalipun teruji antara kasih sayang kepada ibunya dengan keimanan. Mus'ab lebih mengutamakan kehidupan Islam yang serba sederhana dan kekurangan berbanding darjat dan kehidupan yang mewah. Dia telah menghabiskan umurnya untuk Islam, meninggalkan kehebatan dunia, berhijrah zahir dan batin untuk mengambil kehebatan ukhrawi yang sejati sebagai bekalan kehidupan dalam perjuangan yang tidak pernah padam. 


************************

Meninggalkan kemewahan dunia demi menggapai Syurga. Itulah yang dilakukan oleh Mus’ab bin Umair ketika masuk Islam. Dia pemuda kota Mekah yang didambakan para ibu agar menjadi menantunya. Di samping tampan, perilakunya juga baik, murah senyum dan sopan, idaman dan pujaan para wanita. Hal itu dapat difahami karena Mus’ab anak orang berada. Kedua Orang tuanya kaya-raya. Dia juga sangat dimanja. Apa pun yang dia minta, selalu dituruti kedua orang tuanya. Ketika pancaran cahaya Islam mulai menyebar di bumi Mekah, orang-orang sebuk membicarakan hal itu. 

Maka, berita tentang Muhammad saw pun terdengar juga di telinga Mus’ab. Dia menjadi begitu penasaran, tertarik mengetahui lebih jauh tentang Nabi terakhir itu, serta ajaran yang dibawanya dan sedang disebarluaskannya.

Suatu hari terdengar berita bahawa Muhammad SAW sedang berceramah di bukit Safa, di hadapan puluhan manusia. Dan Mus’ab pun menuju ke sana.

“Wahai keluarga Ghalib, keluarga Fihr dan keluarga Quraisy yang lain,” sabda Nabi saw, 

“kalau kukatakan di balik lembah ini ada segerombolan musuh hendak menyerang kalian, apakah kalian percaya?”

“Tentu, Muhammad. Sebab engkau belum pernah berbohong pada kami!” jawab mereka serentak.

“Ketahuilah, bahwa aku adalah Nabi terakhir yang diutus Allah untuk kalian umat manusia.”

Serentak yang mendengar jadi ribut. Paling marah Abu Jahal. “Celaka kau, Muhammad!” kutuknya sengit.

Berbeza dengan Mus’ab. Ia tidak demikian. Mendengar berita itu, hatinya tersentuh. Saat itu juga batinnya bertarung. Bingung. Hendak mempertahankan keyakinannya selama ini yang diwarisi daripada nenek moyangnya yakni menyembah berhala, atau menyembah Allah Yang Esa sebagaimana ajaran Muhammad saw. Mus’ab gundah.

Pada lain kesempatan, Mus’ab menemui Muhammad saw di rumah seorang penduduk Mekah bernama Arqam. Ia mengutarakan kegelisahan hatinya, sekaligus bertanya banyak hal tentang Islam. Nabi pun menjelaskannya dengan terperinci, halus dan tepat. Mus’ab terpesona. Gundah gulana jadi hilang. Perasaannya tenang. Pada akhir pertemuan, Mus’ab mengucapkan dua kalimat syahadat sebagai tanda masuk Islam.

Ketika ibunya tahu tentang hal itu, ibunya marah besar. Mus’ab dihukum, dimasukkan dalam penjara rumahnya. Ibunya berjanji tidak akan membebaskan Mus’ab sebelum Mus’ab kembali pada ajaran nenek moyangnya iaitu menyembah berhala, dan keluar daripada agama yang baru saja dipeluknya.

Namun, Mus’ab tetap sabar dan teguh mempertahankan keyakinannya terhadap Islam.

Hingga suatu ketika, tersiar berita bahawa umat Islam Mekah hendak berhijrah menuju Habasyah bagi menyelamatkan akidah. Maka, kerana cahaya Islam telah menancap dan merasuk dalam relung hati Mus’ab, pemuda itu pun berencana ikut mereka. Mus’ab terrpaksa mengelabui ibunya demi tercapainya tujuan satu ini. Dia berhasil lolos daripada penjara rumahnya, kemudian ikut hijrah bersama umat Islam lainnya menuju Habasyah.

Beberapa bulan kemudian umat Islam pulang kembali ke Mekah. Orang-orang Mekah terkejut melihat keadaan Mus’ab.

“Pemuda itu, yang dahulu sering berpakaian bagus, kemas dan rapi, kini keadaannya tak ubahnya seperti gelandangan. Pakaiannya compang-camping, banyak jahitan dan tampalan di mana-mana”.

Umat Islam pun banyak yang meneteskan air mata mengetahui keadaan Mus’ab ini. Mereka haru, sekaligus kagum. Mus’ab, dia rela melepaskan kemewahan dunia demi menjaga dan membela agama. Namun hati mereka juga sedikit bahagia kerana Mus’ab masih selalu tersenyum seperti dulu. Seolah-olah tak merasa menderita dengan keadaannya yang demikian.

Tepatnya 7 Syawal tahun ke-3 Hijriah, perang Uhud meletus. Mus’ab berada di garisan terdepan barisan umat Islam. Saat itu umat Islam boleh dikatakan kalah perang. Umat Islam menderita banyak kerugian. Tentara Islam porak-poranda. Semua, disebabkan kerana regu pemanah tidak mengindahkan arahan Nabi saw agar tetap bertahan di tempat mereka meski bagaimana pun keadaannya.

Keadaan Nabi saw sendiri sangat berisiko. Nabi terdesak lawan dan mulai terluka. Melihat hal itu, Mus’ab menuju ke arahnya. Mus’ab melindungi nabi dari kepungan musuh. Bendera Islam yang pada awalnya dipegang Nabi saw kini pindah ke tangan Mus’ab. Pemuda itu berjuang ganda; melindungi Nabi saw sekaligus menjaga bendera Islam, Mus'ab gigih bertarung membasmi para musuh Islam. Banyak korban berjatuhan di hujung pedangnya.

Suatu ketika, Mus’ab lengah. Saat itulah seorang pasukan kafir mengayunkan pedang tepat sasaran. Tangan kanan Mus’ab terbebas. Tangan itu putus, bendera itu ia pindah ke tangan kirinya. Namun belum sempurna tangan itu memegang tongkat bendera, lagi-lagi sebilah pedang berayun ke arahnya. Lengan kiri Mus’ab terputus lain jatuh di tanah dengan bermandi darah.

Kini bendera Islam dipegang Mus’ab rnenggunakan dagunya. Bendera itu dapat “tegak beberapa, saat, sebelum akhirnya sebilah tombak menancap tepat di ulu hati Mus’ab. Mus’ab tak mampu bertahan. Akhirnya dia pun rebah ke tanah bersama bendera Islam yang dipertahankannya.

Setelah perang Uhud selesai, Nabi saw berdiri sedih di hadapan jenazah Mus’ab. Mus’ab yang berjasa besar pada Nabi saw dan umat Islam lainnya telah tiada. Nabi saw juga haru, sebab, ketika jenazah itu hendak dikafani, tak ada kain yang cukup menutupinya. Jenazah itu akhirnya hanya ditutup dengan kain burdah berukuran kecil. Jika kepala jenazah Mus’ab ditutupi, kedua kakinya kelihatan. Jika ganti kedua kakinya yang ditutupi, kepalanya jadi kelihatan. Maka Nabi saw pun bersabda, “Tutupkan kain itu di bahagian kepalanya, sedang kedua kakinya tutupi dengan “rumput dzikir.”

“Ketika di Mekah dulu, tak seorang pun kulihat pakaiannya lebih indah dan rambutnya lebih rapi daripada kamu (Mus’ab). Tapi, pada akhir hayatmu ini, rambutmu kusut masai, dan hanya ditutupi selembar kain burdah,” lanjut Nabi saw.

Mus’ab bin Umair, ia rela meninggalkan kemewahan dunia demi mempertahankan keyakinannya.





No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...