بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Monday, April 18, 2011

Kepentingan Akhlak

Kurang amalan agama punca hidup celaru
Oleh Zainul Rijal Abu Bakar

2011/04/18
Akhlak, peribadi mulia elemen penting pembentukan sahsiah diri seorang mukmin unggul 
SERING ramai menyalahkan Islam apabila berlaku sesuatu perkara yang tidak baik. Mereka mendakwa Islam menindas dan menghalang pembangunan. Ada juga yang mengaitkan Islam dengan terorisme dan keganasan. Malah ada yang mengatakan sekiranya kita mengamalkan Islam maka kita tidak akan maju dan mengecapi kejayaan. Tanggapan sebegini sebenarnya hasil daripada mereka yang gagal melihat keindahan Islam kerana orang Islam yang tidak mengamalkan agama Islam sebagai sebuah tata kehidupan. Model atau ikon yang mereka peroleh bukanlah daripada kalangan orang Islam.

Sebagai sebuah tatacara yang mengawal kehidupan seharian, Islam menggariskan panduan yang lengkap, sistematik dan tersusun supaya kehidupan manusia tidak tersasar daripada matlamat mencari keredaan Allah serta ibadah kepada Pencipta. 

Islam amat menekankan pembangunan modal insan yang berasaskan kepada ciri-ciri pembinaan sahsiah dan keperibadian Muslim. Ini adalah kerana manusia adalah sebaik-baik ciptaan Allah dan khalifah yang diberi kelebihan dan kekuatan ilmu. 

Keunggulan peribadi manusia hendaklah disulami dengan akhlak yang mulia, ilmu pengetahuan yang berpaksikan kepada keesaan Allah dan ketakwaan kepada-Nya. Inilah sebabnya Islam mengambil berat peranan moral atau akhlak dalam pembentukan sahsiah diri. Hatta dalam soal perbezaan pendapat pun Islam telah menggariskan adab yang perlu diikuti.

Namun, apa yang menyedihkan sekarang ini, kita melihat umat Islam tidak menjadi contoh kepada orang lain. Umat Islam tidak memiliki akhlak yang mulia ataupun menjadi idola kepada orang lain. Lebih dahsyat lagi umat Islam ketinggalan dalam pelbagai bidang kerana mereka meninggalkan agama dalam kehidupan mereka. Apa saja yang dinasabkan kepada Islam dikatakan mundur, ketinggalan zaman dan tidak sesuai.

Natijahnya, semua perkara dilihat hanya dari lensa Barat saja dan mengenepikan panduan dan syariat yang telah digariskan oleh Islam. Bagi menjadi bangsa yang kuat umat Islam perlu melengkapkan diri mereka dengan keperibadian yang unggul. Ciri keperibadian yang unggul ini pernah diperincikan oleh Hassan Al Banna.

Mengikut Hassan Al Banna, manusia ada sekurang-kurangnya 10 ciri yang jitu lagi mantap. Kesemua ciri ini saling lengkap melengkapi bagi menonjolkan kecemerlangan sahsiah Islam. Antara ciri itu ialah akidah yang bersih. Ciri ini adalah amat penting kerana ia menjadi teras kepada pembangunan modal insan yang sebenar. Dengan adanya aqidah yang mantap, sudah pasti umat Islam tidak akan tergelincir dari landasan syariat Islam yang betul. Ia juga suatu piawaian ke arah penyerahan diri seperti diikrarkan di dalam solat. 

Begitu juga ibadat yang betul menjurus kepada keikhlasan dan pembentukan peribadi mulia. Ini menunjukkan ibadat itu mestilah bersumberkan nas yang betul terdiri daripada al-Quran dan sunnah serta sumber lain yang diterima oleh ulama. Ibadat dilakukan bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk tetapi manifestasi pengabdian diri kepada Maha Pencipta.

Akhlak mulia juga elemen penting pembentukan sahsiah diri. Perilaku ini harus dimiliki oleh setiap Muslim kerana akhlak mulia bukan saja akan menjaga hubungan antara makhluk tetapi juga hubungan antara makhluk dan Penciptanya. 

Di samping itu pula kekuatan jasmani tidak boleh diketepikan. Daya tahan yang kuat sehingga dapat melaksanakan tuntutan agama yang optimum amatlah diberi perhatian dalam Islam. Islam tidak pernah mengasingkan kekuatan fizikal dalam mencari keredaan Allah. Ini amat jelas dilihat kerana beberapa amalan di dalam Islam memerlukan kekuatan fizikal yang mantap seperti solat, puasa dan haji. Kekuatan jasmani juga adalah pencegahan kepada pelbagai penyakit. Kekuatan jasmani akan menjamin kecerdasan berfikir. 

Kecerdasan berfikir akan membawa kepada intelektualisme. Seorang intelek adalah aset kepada masyarakat. Oleh yang demikian seorang Muslim perlu memiliki wawasan yang luas dan kemampuan inteleknya tidak harus diragui oleh orang lain.

Tekad untuk berjuang melawan nafsu juga suatu kelebihan bagi membentuk peribadi Muslim. Kesungguhan melawan hawa nafsu ini perlu disemai di dalam diri umat Islam kerana ia akan berupaya melawan pelbagai maksiat dan kemungkaran.

Pandai menjaga waktu adalah faktor yang penting bagi manusia khususnya kepada orang Islam. Islam mengajar perancangan waktu seperti solat di awal waktu. Solat di awal waktu ini perlu diterjemahkan dalam kehidupan seharian sebagai pengurusan masa yang tepat. Setiap tindakan perlu dirancang mengikut waktu yang sesuai.

Kejituan diri mempertahankan kebenaran dan berjuang menegakkannya hanya boleh dilakukan sekiranya kita memiliki kemampuan dan kekuasaan dari segi pengetahuan, ekonomi dan sebagainya. Dengan jatidiri ini, umat Islam akan bermanfaat kepada orang lain. Ciri ini akan menghakis sikap mementingkan diri sendiri dan sentiasa prihatin kepada orang lain. Seseorang Muslim perlu berusaha menjadikan dirinya bermanfaat kepada orang lain. Jika tidak memegang jawatan tinggi, sekurang-kurangnya boleh bermanfaat kepada ahli keluarga dan juga sahabat handai. 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...