ARKIB : 01/08/2012
Sebahagian ahli Jemaah Masjid Al -Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan bertadarus al-Quran bagi meraikan kedatangan bulan Ramadan. |
Oleh ASMA HANIM MAHMOOD
TADARUS al-Quran di bulan Ramadan tidak
boleh ditafsir sebagai aktiviti 'perlumbaan' mengkhatam al-Quran 30 juzuk
semata-mata, sebaliknya bertujuan mengajak masyarakat Islam menghayati proses
'ajar dan belajar' al-Quran bersama rakan atau dalam kumpulan.
Imam Tua Masjid Al-Sultan Ismail Petra,
Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan,Sabri Abdullah berkata, amalan tadarus
dimulakan Nabi Muhammad bersama malaikat Jibril di mana baginda khatam sekali
membaca al-Quran dengan Jibril pada setiap Ramadan kecuali pada tahun
kematiannya di mana baginda telah khatam dua kali.
Sabri berkata, tadarus adalah peluang
terbaik di mana pembaca al-Quran dapat saling menegur kesalahan masing-masing
dan bukan sekadar membaca untuk khatam.
"Tadarus pada asalnya adalah program
Nabi Muhammad belajar al-Quran bersama Jibril setiap kali tibanya bulan
Ramadan.
"Malaikat Jibril akan membaca ayat-ayat
al-Quran kepada Nabi Muhammad yang kemudiannya akan memperdengarkan bacaan
baginda kepada Jibril pula.
"Proses ini dicontohi oleh para
sahabat nabi yang saling membetulkan bacaan masing-masing sehingga khatam
al-Quran," katanya ketika ditemui di Kubang Kerian, Kota Bharu baru-baru
ini.
Jelasnya, umat Islam boleh mengikuti
program tadarus yang dianjurkan di masjid-masjid ataupun membuat kumpulan
sendiri dan memilih seorang guru al-Quran yang boleh menegur bacaan mereka.
Katanya, ahli dalam kumpulan boleh membaca
al-Quran secara bergilir-gilir dengan pemantauan guru dan rakan-rakan lain yang
lebih berkeupayaan.
Tegasnya lagi, membaca al-Quran secara
berkumpulan adalah perkara yang sangat digalakkan dan ada hadis menyatakan
bahawa mana-mana orang yang berkumpul untuk membaca al-Quran maka Allah akan
datangkan kepada mereka 'sakinah'.
Kalangan ulama mentafsirkan maksud sakinah
ini kepada dua perkara, iaitu pertamanya mereka akan mendapat ketenangan dan
maksud kedua adalah para malaikat akan datang berduyun-duyun menyertai kumpulan
yang sedang membaca al-Quran," katanya.
Klinik al-Quran
Dalam masa sama, beliau berkata, khatam
al-Quran pada bulan Ramadan dituntut kerana ulama menyebut bahawa hak al-Quran
adalah untuk ia dikhatam sekurang-kurangnya
dua kali setahun oleh pembacanya dan salah satunya dilakukan pada bulan
Ramadan.
Jelasnya, selain program tadarus, masjid
itu juga mengadakan klinik al-Quran pada pukul 10 pagi setiap hari kecuali hari
minggu dan bengkel al-Quran dengan Imam Muda masjid, Abdul Bari Abdullah pula
diadakan pada hari Jumaat.
Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa
Wanita masjid tersebut, Nik Salma Hassan, 65, berkata, pihaknya memanggil
seorang guru al-Quran, Mek Yah Che Muhamad, 56, bagi mengendalikan program
tadarus bagi jemaah wanita di masjid itu dari pukul 7.30 pagi hingga 9 pagi
setiap hari.
Katanya, mereka membaca antara satu hingga
satu setengah juzuk al-Quran setiap hari bergantung kepada kemampuan ahli
tadarus dengan sasaran agar dapat khatam di hujung Ramadan.
No comments:
Post a Comment