06:25:23 AM Nik
Mustapha Nik Hassan
Ramadan masa sesuai didik rohani, susun
hidup berdaya maju
Al-Quran menyediakan prinsip arahan supaya manusia memandu kehidupan untuk
dirinya dan bermasyarakat. Menepati semangat itu, usaha menimba ilmu dari
al-Quran untuk dijadikan panduan dalam semua aspek kehidupan patut
dilipatgandakan.
Umat Islam perlu berkeyakinan usaha mereka
tidak memadai dengan membaca al-Quran pada Ramadan ini. Bahkan umat Islam
dituntut meningkat budaya membaca, menyelidik dan menghasilkan formula menyusun
kehidupan menepati arahan al-Quran supaya berdaya maju dan progresif.
Kesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku
adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang
daripada perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan”
Justeru, usaha ke arah matlamat itu perlu
dilipat ganda khususnya pada Ramadan. Pendekatan al-Quran menyusun kehidupan
manusia sama ada di peringkat individu dan masyarakat sangat bersesuaian dengan
fitrah kemanusiaan mencapai kemuliaan hidup di dunia seterusnya di akhirat.
Dalam konteks itu salah satu aspek perlu diberi perhatian oleh umat Islam ialah
kemantapan amalan kerohanian semoga dapat mendampingi Penciptanya melalui
ibadat puasa.
Manusia dicipta Allah mengandungi roh, jasad dan akal. Kesemua keperluan untuk
memaju komponen manusia ini perlu dipenuhi tanpa pengecualian dan dimajukan secara
sepadu.
Allah mengingati manusia dalam firman:
“Dan jiwa/roh serta penyempurnaannya (ciptaannya) maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya, sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa/roh itu, dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya.” (Surah asy-Syams, ayat 7-10)
Roh manusia dicipta Allah untuk membeza perkara benar dengan yang batil.
Justeru, kejayaan manusia akan dicapai apabila rohnya sentiasa berada dalam
keadaan suci. Untuk mengenali perkara baik, puasa antara ibadat yang mampu
mendidik roh manusia ke arah pencapaian itu.
Konsep meningkat kekuatan kerohanian manusia gagal difahami masyarakat sekular.
Keruntuhan moral dan hilang pedoman hidup masyarakat sekular dewasa kini
disebabkan putusnya hubungan manusia dengan Allah SWT.
Ibadat puasa melatih manusia menguasai dan membimbing nafsu kehaiwanannya
semoga tunduk kepada sifat kemalaikatan yang terdapat dalam diri manusia. Islam
berkeyakinan bahawa kejayaan membangun diri manusia, masyarakat dan negara
bergantung rapat ketinggian akhlak individu.
Akhlak tinggi manusia dalam semua aspek termasuk aktiviti ekonomi dan
sebagainya akan terjamin jika sifat semula jadi pada tiap diri manusia iaitu
sifat kemalaikatan dapat membimbing sifat kebinatangan.
Contohnya, usaha memaju ekonomi masyarakat perlu dicapai melalui kemantapan
penghayatan akhlak. Bahkan kemantapan kerohanian manusia akan mengurangkan
ketidakadilan ekonomi berlaku. Roh yang suci akan mendokong usaha keadilan
dalam aktiviti ekonomi bermasyarakat.
Dalam menyusun sistem ekonomi, Islam menganjur semoga prinsip keadilan dapat
diamalkan. Daripada pendekatan itu lahirlah prinsip al’adl wal ihsan.
Allah SWT berfirman:
“Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang daripada perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan.” (Surah an-Nahl, ayat 90)
Aspek ekonomi disebut dalam istilah positif dalam al-Quran tetapi berbeza
dengan pendekatan ideologi sistem ‘materialisme’ (kebendaan). Bagi Islam, usaha
memajukan ekonomi adalah untuk meningkat kualiti kehidupan manusia, dimensi
penting memartabatkan ummah.
Budaya rakus kepada harta bukan pendekatan yang mampu membina daya juang
berkekalan, bahkan ia menimbul kehancuran kepada diri dan masyarakat.
Berasaskan budaya rakus akan lahirlah pegangan hedonisme iaitu memuas nafsu.
Semangat ibadat puasa turut menganjur kepada penghayatan semangat keadilan
dalam kehidupan bermasyarakat, di mana segala bentuk manipulasi dan penindasan
dalam kegiatan serta penyusunan ekonomi ditegah.
Semangat ini mengarah kepada penghayatan prinsip al adl wal ihsan dalam
penyusunan ekonomi bermasyarakat dan bernegara. Ibadat puasa mampu membina
individu melalui sikap adil, muafakat dan persaudaraan, ciri asas kepada
kestabilan dan peningkatan prestasi ekonomi masyarakat.
Penulis Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
No comments:
Post a Comment