Melaksanakan perintah Allah SWT adalah kewajipan yang membawa ganjaran syurga. - Gambar hiasan |
DI antara keistimewaan Nabi Muhammad SAW
yang mendapat perhatian dan pengkajian di kalangan ahli ilmu ialah tentang
kemampuan baginda menjamin tanah syurga. Keistimewaan ini telah disebut oleh al
Hafiz al Suyuti, al Qustallani dan al Zurqani dalam syarahnya bagi kitab al
Mawahib al Ladunniyyah. Perkara sedemikian pernah diisyaratkan oleh Rasulullah
SAW melalui sabdanya: "Aku hanyalah pembahagi dan Allahlah
Pengurnia."
Jika pepatah syurga di bawah telapak kaki
ibu itu benar, mengapa tidak benar kenyataan yang menegaskan bahawa syurga itu
di bawah titah Nabi Muhammad SAW? Bahkan di bawah telapak kaki baginda? Walau
bagaimanapun, maknanya adalah sama dan diketahui sesiapapun, meskipun bagi
orang yang mempunyai serendah-rendah ilmu.
Ia merupakan ungkapan majazi (kiasan)
yang bermaksud, untuk sampai ke syurga, mesti melalui jalan melakukan kebaikan
dan berkhidmat kepada kedua ibu bapa, terutama kepada ibu. Jika ia dinisbahkan
kepada nabi SAW, bererti untuk memasuki syurga disyaratkan supaya mentaati,
mengasihi dan menyokong baginda.
Jaminan
Makna menjamin tanah syurga ialah Nabi SAW
menjadi penjamin masuknya sebahagian para sahabat ke dalam syurga. Jaminan ini
telah diperoleh oleh orang-orang yang menyaksikan Perjanjian 'Aqabah.
Ubadah ibnu Somit r.a. meriwayatkan dengan
katanya: "Saya termasuk di antara orang yang menghadiri Perjanjian 'Aqabah
yang pertama. Dalam perjanjian tersebut, kami membai'ah Rasulullah SAW untuk
tidak menyekutukan Allah dengan sesuatupun, tidak mencuri, tidak berzina, tidak
akan membunuh anak-anak kami, tidak akan melakukan pendustaan besar yang kami
ada-adakan di antara kami dan tidak akan menderhakai Nabi SAW."
Baginda SAW bersabda: "Jika kalian
menyempurnakan bai'ah ini, maka bagi kalian syurga. Tetapi jika kalian
mengingkari sesuatu daripada itu, maka urusan kalian diserahkan kepada Allah,
jika Dia menghendaki Dia akan menyeksa kalian dan jika Dia berkenan, Dia akan
mengampuni kalian."
Dalam sahih Muslim disebutkan dengan jelas
bahawa bai'ah tersebut disertakan dengan jaminan masuk syurga. 'Ubadah ibn
Somit RA berkata: "Saya termasuk di antara pemimpin yang membai'ah
Rasulullah SAW."
'Ubadah berkata lagi: "Kami membai'ah
Rasulullah SAW untuk tidak lagi menyekutukan Allah dengan sesuatupun, tidak
mencuri, tidak berzina, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah,
kecuali dengan jalan yang hak, tidak merampas dan tidak menderhaka. Kami
dijanjikan syurga jika kami melakukan perkara-perkara tersebut."
Dalam satu riwayat disebutkan bahawa Nabi
SAW bersabda: "Sesiapa menyempurnakan bai'ahnya, maka baginya balasan
syurga."
Menurut riwayat Qatadah r.a., mereka yang
berbai'ah itu berkata: "Wahai Rasulullah! Apa hak kami jika kami memenuhi
bai'ah itu?" Baginda menjawab: "Syurga."
Menurut riwayat Ibnu Mas'ud r.a., bahawa
Nabi SAW bersabda: "Apabila kamu telah melaksanakan (bai'ah) itu, maka
bagi kamu hak Allah dan aku untuk memasukkan kamu ke dalam syurga."
Diriwayatkan daripada Abdullah ibnu 'Abbas
r.a. berkata Rasulullah SAW bersabda: "Disediakan bagi para nabi mimbar
khusus daripada cahaya, mereka semua duduk di atasnya. Yang tinggal (kosong)
cuma mimbar saya. Iaitu saya tidak duduk di atasnya, tetapi saya berdiri di
hadapan Tuhan dalam keadaan bimbang jika saya diutuskan ke syurga, sedangkan
umat saya masih tercicir. Maka saya berkata "Wahai Tuhan! Umat saya, umat
saya!" Allah berfirman: "Wahai Muhammad! Apakah yang engkau ingin Aku
lakukan terhadap umatmu?" Saya pun menjawab: "Wahai Tuhan saya!
Percepatkanlah hisab mereka." Lalu mereka pun dipanggil, kemudian dihisab.
Di antara mereka, ada yang masuk ke dalam syurga dengan rahmat-Nya dan ada yang
masuk ke dalam syurga dengan berkat syafaat.
Maka saya terus memberi syafaat sehinggalah
saya memberikan tiket masuk ke syurga untuk beberapa orang yang telah dihalau
masuk ke dalam neraka. Sehinggakan Malik malaikat penjaga neraka berkata:
"Wahai Muhammad! Engkau tidak sekali-kali meninggalkan pada umatmu suatu
peluang bencana (azab) pun untuk kemurkaan Tuhanmu."
utusanARKIB : 07/08/2012
No comments:
Post a Comment