BULAN Ramadhan
baru sahaja berlalu, saat ini kita telah memasuki hari ke lapan bulan Syawal. Pastinya ramai yang sangat merindukan keseronokan beribadat yang dilaluinya sepanjang
di bulan Ramadhan.
Saya ingin mengucapkan
selamat Hari Raya 'idulfitri kepada seluruh kaum Muslimin dan Muslimat di mana jua berada. Semoga Allah menerima semua amal ibadah yang kita lakukan sepanjang bulan
suci Ramadhan. Kita juga memohon agar Allah mempertemukan kita semula dengan Ramadhan pada tahun-tahun hadapan.
Syawal adalah bulan untuk kita
bergembira, namun hendaklah kita sedari bahawa bulan Syawal sebenarnya
merupakan bulan kesinambungan ibadah-ibadah yang kita lakukan pada bulan Ramadhan.
Beribadah dalam bulan Syawal membuktikan
bahawa tarbiyah pada bulan Ramadhan benar-benar berkesan di dalam diri kita. Benih-benih
keimanan yang kita taburkan sepanjang bulan Ramadhan seharusnya tumbuh dan
mengeluarkan buahnya pada bulan Syawal ini.
Para ulama mengatakan bahawa beribadah pada bulan Syawal merupakan petanda ibadah Ramadhan kita diterima oleh Allah SWT.
Imam Ibn Rajab al-Hanbali menulis dalam
kitab Lataif al-Ma'arif : "Apabila seseorang selesai daripada satu
amalan ibadah, maka tanda ibadah itu diterima oleh Allah adalah ia
menyambungnya dengan ibadah yang baru. Dan tanda ibadah itu tertolak adalah ia
menyambung ibadah itu dengan amalan maksiat."
Justeru, beberapa amalan ibadah sangat
dianjurkan untuk kita laksanakan pada bulan ini. Semuanya merupakan kelanjutan
amalan kita di bulan Ramadhan.
Pertama : Puasa sunat enam hari.
Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang berpuasa dalam bulan Ramadhan, kemudian dia melanjutkannya dengan puasa enam hari dalam bulan Syawal, maka seolah-olahnya
dia telah berpuasa setahun penuh.(Hadis Riwayat Muslim)
Ini kerana setiap amalan ibadah akan
dibalas dengan 10 kali ganda. Tiga puluh hari kita berpuasa, pahalanya seperti
300 hari. Jika ibadah ini diikuti dengan enam hari berpuasa setelahnya, maka
seakan-akan kita telah berpuasa 360 hari. Dan itulah bilangan hari-hari dalam
satu tahun.
Puasa Syawal ini boleh dilakukan bila-bila
masa sahaja selagi kita masih berada dalam bulan Syawal. Asalkan sahaja kita tidak
melakukannya pada Hari Raya 'idulfitri itu sendiri. Puasa ini boleh dilakukan
berturut-turut, boleh juga terpisah-pisah. Semuanya terpulang kepada kemampuan
kita.
Antara fungsi puasa sunat ini adalah
menutupi kekurangan yang mungkin terdapat dalam puasa Ramadhan kita seperti
mengumpat atau berdusta tanpa disedari. Puasa enam dalam bulan Syawal dapat
menutupi kekurangan-kekurangan tersebut sehingga ibadah Ramadhan kita menjadi
sempurna di sisi Allah SWT.
Kedua : Meneruskan amalan Membaca al-Quran.
Imam Al-Tirmidzi meriwayatkan daripada Ibnu
Abbas: seseorang bertanya kepada Nabi Saw: "Wahai Rasulullah, amalan
apakah yang paling dicintai oleh Allah?"
Baginda menjawab: "Orang yang segera
berangkat setelah tiba iaitu orang yang membaca al-Quran daripada awal hingga ke
akhir. Apabila tiba di akhirnya, dia memulai bacaan kembali daripada awalnya."
Al-Quran bukan sahaja untuk dibaca dalam bulan
Ramadhan, malah al-Quran mesti dibaca dalam bulan-bulan yang lain.
Semoga kita termasuk dalam golongan orang-orang yang istiqamah beribadah hingga kita bertemu kembali bulan Ramadhan pada tahun hadapan.
No comments:
Post a Comment