TERDAPAT dua kegembiraan yang jelas bagi
umat Islam yang berpuasa di bulan Ramadan. Kegembiraan ini tidak dapat
dirasakan oleh mereka yang tidak berpuasa. Ia adalah suatu kenikmatan yang dianugerahkan
oleh Allah SWT kepada hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh.
Mencari kegembiraan dalam kehidupan adalah
sesuatu yang sukar ditemui. Kegembiraan bagi orang yang berpuasa akan dinikmati
oleh semua orang sama ada mereka itu golongan kaya atau miskin. Nikmat
kegembiraan ini sama dirasakan oleh hati dan perasaan.
Bagi menjelaskan kegembiraan ini, daripada
Abi Hurairah dan Abi Sa'id sesungguhnya Allah berfirman: Sesungguhnya
puasa bagi-Ku dan Aku yang membalasnya dan sesungguhnya bagi orang berpuasa
akan mendapat dua kegembiraan apabila ia berbuka nescaya kegembiraan dan
apabila bertemu Allah nescaya ia gembira. Demi jiwa Muhammad di tangan-Nya bau
mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kesturi. (riwayat
Imam Ahmad, Muslim dan al Nasai).
Hadis qudsi ini menggambarkan kemuliaan
orang yang berpuasa semata-mata kerana Allah SWT yang sudah pasti mendapat
pembalasan daripada-Nya. Kegembiraan apabila seseorang itu berbuka puasa dapat
dibayangkan betapa nikmatnya setelah sehari suntuk berlapar dan dahaga, waktu
berbuka dapat menikmati hidangan dan makanan yang disediakan.
Orang yang berpuasa juga akan merasa
gembira sewaktu berbuka. Ini disebabkan waktu itulah mereka dapat berkumpul
bersama keluarga dan makan bersama-sama semasa berbuka. Pelbagai juadah yang
disediakan mengikut kemampuan dapat dinikmati setelah sehari suntuk berpuasa.
Seterusnya orang yang berpuasa genap
sebulan Ramadan akan mendapat kegembiraan berhari raya iaitu Hari Raya
Aidilfitri. Pada hari raya mereka dapat menikmati pelbagai juadah dan makanan
kuih muih yang disediakan.
Mereka juga dapat mengeratkan hubungan
silaturahim di kalangan keluarga, sanak saudara dan jiran tetangga pada hari
raya. Kegembiraan ini adalah manifestasi daripada berbuka puasa yang konsepnya lebih
besar dan luas.
Ibnu Jauzi menyatakan, hari raya mempunyai
persamaan dengan hari akhirat. Ketika mereka telah terbangun daripada tidur
panjang mereka dan berduyun-duyun menuju perayaan, seperti orang-orang yang
telah mati keluar dari kuburnya masing-masing menuju tempat mereka berkumpul. Ada
di antara mereka yang mengenakan perhiasan dan menaiki kenderaan serba mewah.
Ada juga yang kelasnya menengah dan ada pula kelas rendah untuk menemui Allah
SWT.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: Mereka
itulah orang-orang yang didekatkan (kepada Allah). (al Waaqi'ah: 11)
Kegembiraan seterusnya adalah orang yang
berpuasa dengan penuh keimanan dan takwa akan dapat bertemu dengan Allah SWT
pada hari akhirat nanti. Kegembiraan ini telah dijanjikan oleh Allah SWT sebagai
balasan atas amalan puasanya.
Oleh AMINUDIN MANSOR
utusanARKIB : 02/08/2012
No comments:
Post a Comment