بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Monday, August 27, 2012

Ganjaran suka membantu sesama Muslim



Daripada Abu Musa al-Asy’ariy RA katanya, “Apabila Nabi SAW didatangi kepadanya oleh orang yang memerlukan pertolongan, Baginda menghadap kepada sahabat-sahabatnya yang sedang duduk bersamanya lalu bersabda: Bantulah dia nescaya kamu akan mendapat pahala, dan Allah akan menyempurnakan atas lidah nabinya yang disukai (dalam riwayat lain apa yang di kehendakinya).” 
(Riwayat Bukhari dan Muslim) 



Orang Islam mestilah memberi sokongan kepada orang Islam lain dalam perkara kebajikan kerana Allah SWT menjanjikan pahala yang besar kepada orang Islam yang suka menolong orang dalam kesusahan. Umat Islam juga perlu yakin, segala permintaan (doa) Nabi SAW diterima oleh Allah SWT. Oleh itu, memberi sokongan pada perkara kebajikan adalah digalakkan dan akan mendapat ganjaran daripada Allah SWT sama ada dengan sokongan hajat orang itu diterima atau sebaliknya. 


Begitu juga kewajipan umat Islam menolong saudaranya yang dizalimi kerana kita hendaklah menahan dan mencegah saudara seagama daripada melakukan ke zaliman. Menghalang saudara melakukan kezaliman ber erti kita telah menyelamatkan daripada dosa dan azab. 


Islam ialah agama yang menentang kezaliman dalam apa bentuk sekalipun sama ada berpunca daripada orang Islam atau bukan Islam. 


Daripada Anas katanya, Rasulullah SAW bersabda: Tolonglah saudara kamu yang zalim atau yang dizalimi. Berkata seorang lelaki: Wahai Rasulullah, aku akan menolongnya jika ia dizalimi, bagaimana pula aku akan menolongnya jika dia seorang yang zalim? Jawab baginda: Engkau boleh menahannya daripada melakukan kezaliman, maka yang demikian bererti engkau menolongnya.” (Riwayat Bukhari) 
Koleksi hadis Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...