Dr Abdul Basit Bin Haji Abdul Rahman,
|
16 Ogs 2012
|
Eid al-Fitri atau Hari Raya Fitrah adalah
hari yang disyariatkan umat Islam menyambutnya sebagai hari bergembira dan
bersyukur di atas nikmat yang Allah SWT anugerahkan kepada hamba-Nya yang
berjaya melakukan ibadat pada bulan Ramadan.
Oleh itu untuk mendapatkan kesempurnaan sambutan ini, hendaklah mengikut
panduan sunnah Rasulullah SAW menyambut Hari Raya, antaranya ialah;
1. Mandi sebelum keluar menunaikan solat Hari Raya.
Imam Malik meriwayatkan: “Sesungguhnya Abdullah bin Umar akan mandi pada pagi
hari Raya al-Fitri sebelum beliau keluar ke tempat solat hari raya.”
Al-Imam al-Nawawi menyebut para ulama‟ telah bersepakat atas sunatnya
mandi untuk solat hari raya.
2. Makan sebelum keluar untuk menunaikan solat hari raya ‘Eid al-Fitri dan
untuk ‘Eid al-Adha makan selepas solat.
Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari daripada Anas
bin Malik katanya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW tidak keluar pada pagi hari
Raya al-Fitri, sehinggalah Baginda makan terlebih dahulu beberapa biji tamar
dan baginda memakannya dalam jumlah yang ganjil.” [HR Al-Bukhari: 953].
Sekiranya tidak ada tamar, makanlah sesuatu yang harus dimakan. Al-Imam Ibnu
Hajar al-Asqalani mengulas hadis ini dengan berkata: “Ini kerana untuk
mengelakkan (anggapan) adanya tambahan dalam berpuasa, ia juga (petunjuk)
bersegera mentaati arahan Allah SWT (untuk tidak berpuasa pada hari tersebut).”
[Fath al-Bari: 2/446].
3. Bertakbir pada hari Raya
Takbir hari raya adalah termasuk sunnah yang agung berdasarkan firman Allah
SWT: Maksudnya: “Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu
bertakbir mengagungkan Allah atas petunjuknya yang diberikan kepada kamu,
supaya kamu bersyukur.” [Al-Baqarah: 185].
Daripada al-Walid bin Muslim katanya: “Aku bertanya kepada al-Auza’ie dan Malik
bin Anas tentang menzahirkan takbir pada dua hari raya. Kata mereka berdua:
“Ya, adalah Abdullah bin Umar menzahirkan takbir pada hari raya al-Fitri
sehinggalah Imam keluar (untuk menunaikan solat raya).”
Waktu bertakbir bagi Hari Raya al-Fitri ialah bermula pada malam raya iaitu
setelah tenggelamnya matahari pada hari akhir Ramadan sehingga masuknya imam ke
tempat solat untuk solat hari raya.
4. Takbir Hari Raya
Di dalam Musannaf Ibnu Abi Syaibah dengan sanad yang sahih daripada Ibnu Mas‟ud
ra. yang bertakbir pada hari Tasyrik.
Kata ulama, “Ada keluasan dalam lafaz takbir ini, mana-mana lafaz boleh dibaca
dan amalkan.” Diangkat suara dalam melafazkan takbir bagi lelaki dan tidak bagi
perempuan. Ia dilakukan di merata tempat; di masjid, di rumah dan di
pasar-pasar.
5. Ucapan Tahniah Pada Hari Raya
Termasuk dalam adab berhari raya ialah menyampaikan ucap tahniah sesama muslim
dengan sebarang ucapan yang baik
6. Berpakaian baru/cantik di hari raya
Daripada Jabir katanya: “Nabi SAW mempunyai sehelai jubah yang baginda akan
memakainya untuk dua hari raya dan hari Jumaat.” [Sahih Ibnu Khuzaimah: 1765].
Memakai pakaian cantik pada hari raya ini adalah untuk kaum lelaki. Adapun
untuk kaum wanita mereka boleh mengenakan pakaian yang biasa (di sebelah
luar/atasnya) seperti sabda Nabi SAW: Maksudnya: “Jangan kamu tegah hamba
perempuan Allah daripada masjid Allah, tetapi hendaklah kaum wanita keluar
dalam keadaan meninggalkan wangian” [HR: Ahmad dan Abu Daud “Sahih”].
Keluar dengan berpakaian biasa di luar dan tidak bertabarruj berhias dan
mengenakan wangian yang boleh dihidu baunya oleh lelaki ajnabi. Sekiranya
wanita berkumpul dalam kelompok mereka sahaja tidak mengapa untuk berpakaian
cantik.
7. Keluar ke tempat solat melalui jalan lain dan balik melalui jalan yang lain.
Daripada Jabir bin Abdillah ra katanya: Maksudnya: “Adalah Nabi SAW, pada hari
raya baginda membezakan jalan (pergi dan balik dari solat hari raya).”
[Al-Bukhari: 986]
Dikatakan terdapat beberapa hikmah dalam perbuatan ini;
i. Semoga dua jalan yang berbeza tersebut menjadi saksi di hadapan Allah pada
hari kiamat nanti. Hal ini kerana bumi akan membicarakan pada hari kiamat apa
yang dilakukan di atasnya daripada perkara-perkara yang baik dan jahat.
ii Untuk menzahirkan syiar-syiar Islam.
iii. Untuk menzahirkan zikir kepada Allah SWT.
iv. Untuk mengambil tahu keperluan orang-orang yang memerlukan sebarang bantuan
atau untuk menziarahi sanak saudara dan menghubungkan silaturrahim.
8. Solat Hari Raya. Para ulama berbeza pendapat tentang hukum solat hari raya.
Sebahagian mengatakan hukumnya sunat muakkad/ fardhu kifayah dan fardhu ain
(wajib), berdosa bagi sesiapa yang meninggalkannya. Inilah pendapat Mazhab Imam
Abu Hanifah, pendapat ini dipilih juga oleh beberapa orang ulama semasa.
Cara-caranya (kaifiyat) Solat Hari Raya.
a- Solat hari raya tidak perlu dilaungkan azan dan iqamah. Ditunaikan sebanyak
dua rakaat. Rakaat pertama ada tujuh kali takbir dan rakaat kedua ada lima kali
takbir. Hukum bilangan takbir ini adalah sunat bukan wajib. Jika takbir ini
tertambah atau terkurang, solat hari raya tetap sah. Sunnah mengangkat tangan
ketika takbir-takbir ini kerana thabit daripada para sahabat Nabi SAW.
b-Imam membaca pada rakaat yang pertama surah al-A‟la dan pada
rakaat kedua membaca al-Ghasyiah berdasarkan hadis riwayat Muslim, atau membaca
surah Qaf pada rakaat pertama dan membaca surah al-Qamar pada rakaat kedua,
juga berdasarkan hadis riwayat Muslim. Kedua-dua bacaan ini sahih dari Nabi
SAW.
c- Dilakukan solat raya terlebih dahulu diikuti khutbah. Ini berdasarkan hadis
Ibnu Abbas katanya:
“Aku menyaksikan Rasulullah SAW menunaikan solat hari raya sebelum khutbah,
kemudian baginda berkhutbah.”
d- Menyegerakan solat hari raya dan tidak memanjangkannya. Disunatkan
menyegerakan solat hari raya selepas terbitnya matahari (selepas waktu
larangan). Ibnu Hajar al-Asqalani telah menukilkan di dalam Fath al-Bari:
“Telah sepakat para fuqaha‟ bahawa solat hari raya tidak dilaksanakan sebelum atau ketika
terbit matahari, sebaliknya ia dilakukan ketika disunatkan solat sunat.”
9. Keluar dengan berjalan kaki ke tempat solat hari raya. Ibnu Majah
meriwayatkan daripada Ibnu Umar katanya: “Adalah Rasulullah SAW keluar ke
tempat solat Hari Raya dengan berjalan dan baginda pulang darinya juga dengan
berjalan.” [Sahih Ibnu Majah “Hasan”]
Kata Ibnu al-Munzir: “Orang yang berjalan kaki ke hari raya (tempat solat hari
raya) adalah lebih baik dan lebih hampir kepada maksud tawaduk dan tidak
mengapa bagi sesiapa yang berkenderaan.”
Bagi mereka yang uzur atau rumahnya jauh dari musalla / masjid tidak mengapa
naik kenderaan.
10. Wanita yang uzur juga keluar menyaksikan solat hari raya. Para wanita
keluar untuk menunaikan solat hari raya adalah termasuk di dalam sunnah Nabi
SAW. Untuk menyaksikan perhimpunan umat Islam dan mendengar nasihat (khutbah).
Daripada Umm Atiyyah katanya: “Kami disuruh oleh Nabi SAW untuk mengeluarkan
mereka (semua wanita) pada hari raya al-Fitri dan al-Adha; wanita yang baru
baligh atau hampir baligh, wanita haid dan anak dara. Adapun wanita haid
diasingkan daripada tempat sembahyang.”
11. Zakat Fitrah. Nabi SAW menyuruh membayar zakat al-Fitr sebelum solat hari
raya. Harus mengeluarkannya sehari atau dua hari lebih awal. Imam al-Bukhari
meriwayatkan: “Adalah mereka (sahabat Nabi SAW) mengeluarkan (zakat al-Fitr)
sebelum hari raya sehari atau dua hari.”
Kesalahan yang dilakukan pada hari raya
Pergaulan/ikhtilat yang bebas pada Hari Raya. Ramai dalam kalangan kita telah
mengambil mudah akan hal ini. Apabila hari raya datang, mereka menganggap hari
raya adalah “hari kebebasan” iaitu hari yang terlepas daripada ikatan agama
(agama asing, kita asing). Mereka menganggap hari raya ini merupakn lesen bagi
mereka untuk bebas bercampur gaul, bersalaman lelaki dan perempuan yang bukan
mahram (Ajnabi: yang halal dinikahi), berpakaian dan berhias sebebasnya bagi
perempuan dan rumah-rumah pula dipenuhi dengan alunan muzik dan filem-filem
yang melalaikan.
Semoga ‘Eidil-Fitri yang kita sambut pada tahun ini dipenuhi dengan keberkatan
dan kebajikan.
No comments:
Post a Comment