بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Monday, August 6, 2012

Ramadan dorong tingkat jihad perkukuh iman



07:38:45 AM Oleh Hasliza Hassan

Kekuatan sukarelawan Mavi Marmara menghadapi serangan komando Israel adalah  kerana keyakinan kepada Allah.
Kekuatan sukarelawan Mavi Marmara menghadapi serangan komando Israel adalah kerana keyakinan kepada Allah.

Kehadiran bulan mulia cara dekatkan diri kepada Ilahi

Kagum dan kagum, itulah perkataan dapat diucapkan apabila menonton tayangan video suasana di atas kapal Mavi Marmara ketika tentera Israel me-ngepung kapal yang membawa bantuan kemanusiaan untuk penduduk Gaza itu. 


Kagum kerana walaupun tahu bahaya menanti, mereka yang di dek paling atas kapal yang ketika itu berada 68 batu di luar perairan Israel jam 4.20 pagi tetap tenang seakan-akan tiada apa yang berlaku. 


“Sesungguhnya bulan ini (Ramadan) telah datang kepada kamu, dalamnya ada malam di mana amalan ibadat yang dilakukan pada malam itu lebih baik dan lebih besar ganjarannya daripada amalan selama seribu bulan. Sesiapa yang terlepas malam itu, sesungguhnya dia kehilangan semua kebaikan. Dan tidak akan kehilangan semua perkara kecuali mereka yang diharamkan (tidak mendapat petunjuk) dari Allah SWT.” (Hadis riwayat Nasa'i
Kebanyakan mereka yang baru saja selesai menunaikan solat Subuh ada yang sedang mengambil al-Quran, melipat tikar dan sesetengahnya masih bersolat. Malah, mereka ke tepi kapal untuk melihat bot laju membawa tentera Israel mendekati kapal mereka.

Berbeza dengan adegan biasa kita lihat dalam drama atau filem, apabila musuh menyerang, keadaan jadi kelam-kabut dengan jeritan serta cubaan menyelamatkan diri. Namun, bukan itu pemandangan dapat dilihat di atas kapal Mavi Marmara.

Walaupun tembakan dilepaskan bot komando Israel yang menghampiri Mavi Marmara, keadaan masih terkawal. Kekecohan mula berlaku apabila pasukan komando diturunkan dari helikopter sambil melepaskan hujan peluru.

Selepas ada sukarelawan terkena tembakan dan syahid, barulah yang lain mula memberi reaksi menentang untuk mempertahankan diri.

Ketenangan dimiliki sukarelawan itu mungkin disebabkan keyakinan bahawa mereka tidak akan diapa-apakan kerana niat mereka jelas, membawa bantuan kemanusiaan untuk penduduk Gaza dan mereka berada di kedudukan lautan antarabangsa.

Bagaimanapun, Pengerusi Life Line for GAZA, Noorazman Mohd Samsuddin (gambar), berkata ketenangan itu hasil keyakinan mereka kepada Allah SWT, kuasa besar yang tiada tandingannya dan hanya mereka yang ada hubungan kuat dengan Allah akan merasainya.

“Selepas dekati Allah dengan kualiti ibadat, kita dapat ketenangan yang memberi kekuatan. Serangan berlaku selepas sebahagian kami selesai menunaikan solat Subuh, mendekatkan diri serta berdoa kepada Allah.

“Oleh itu, mari bersama gunakan Ramadan ini untuk mendekatkan diri dengan Allah kerana kematian memang hampir dengan kita. Jadi, jika ada keyakinan dalam hidup, Alhamdulillah,” katanya pada majlis tazkirah Ramadan di Fakulti Alam Bina Universiti Malaya (UM). 

Beliau yang berkongsi pengalaman dalam tazkirah bertajuk Misi Bantuan Kemanusiaan ke Gaza: Satu Pengalaman Terindah, turut menekankan kewajipan umat Islam untuk berjihad pada jalan Allah melalui cara masing-masing supaya tidak mati dalam keadaan Jahiliah.

Penulis buku 69 Jam di Neraka Zionis itu merakamkan pengalaman berdarah sukarelawan negara yang menyertai misi flotila bantuan kemanusiaan ke Gaza yang dimuatkan gambar eksklusif sepanjang perjalanan maut itu untuk dikongsi umum.

Mengaitkan pengalaman dilalui dengan peluang sepatutnya direbut umat Islam khususnya di Malaysia sepanjang Ramadan yang menjanjikan rahmat, keampunan dan pembebasan daripada api neraka, beliau mencadangkan masyarakat berjihad.

“Ramadan bukan sekadar untuk beramal tetapi membina kekuatan dan mendekatkan diri dengan Allah. Ramadan juga kesempatan terbaik untuk menanamkan semangat jihad melawan nafsu untuk taat kepada Allah,” katanya.

Noorazman berkata, cara untuk meningkatkan kekuatan diri dan semangat jihad bermula dengan latihan mendekatkan diri kepada Allah, sentiasa mengingati serta memperbanyakkan zikir. Katanya, apa guna solat jika seseorang Muslim itu masih jauh daripada Penciptanya.

Memetik kata-kata Imam al-Ghazali, “Sesungguhnya manusia sujud (solat) pada Allah tetapi mereka sujud bersama dosa. Jika dosa itu hendak diberi kepada semua dalam negara, maka satu negara akan berdosa”.

Justeru katanya, pertolongan Allah dapat dirasakan sepanjang mereka melalui pengalaman ngeri itu kerana kebanyakan mereka sudah mempunyai hubungan yang rapat dengan Allah.

“Kita juga perlu berasakan Allah bersama kita kerana jika tidak ada ketenangan bersama Allah, maknanya kita sudah kehilangan sesuatu dalam hidup. Ini saya belajar dalam penjara kerana tanpa merasakan Allah bersama, rasanya saya boleh jadi gila,” katanya.

Satu lagi maklumat yang dikongsi petang itu ialah cerita oleh sukarelawan Turki, Mehmet Ali Zeybek, yang diberitahu kepada Noorazman sebelum beliau menyiapkan buku 69 Jam di Neraka Zionis.

Menurut Zeybek, komando Israel ada bertanyakan kepadanya siapa enam tentera berpakaian putih dengan ketinggian dua meter yang menjadi penghadang dalam tiga jam percubaan mereka untuk menawan Mavi Marmara.

Pastinya kebingungan, Zeybek menafikan kehadiran pihak dimaksudkan kerana yang ada di atas kapal hanya mereka, sukarelawan daripada kalangan orang awam yang tidak langsung bersenjata.

Merujuk pengalaman diserang, diculik dan dipenjara, Noorazman menyifatkan ia sebagai pengalaman yang terindah kerana walaupun hasrat mereka untuk ke Gaza tidak tercapai secara realiti tetapi simboliknya, keadaan di Gaza sudah dibawa ke Mavi Marmara.

“Apabila ada niat untuk membantu saudara Islam dan agama Allah, langkah seterusnya ialah melaksanakan niat itu. Allah akan bagi kekuatan kepada kita. Walaupun kami diikat dan tidak boleh hendak bergerak, ketika itu saya rasa ada satu kekuatan,” katanya.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...