10:00:15 AM Zamanuddin
Jusoh
Ramadan ini, dibuka pintu syurga dengan
seluas-luasnya serta ditutup pintu neraka dan dibelenggu syaitan daripada mengganggu
dan menggoda umat manusia.
Sabda Nabi Muhammad SAW dari Abu Hurairah yang bermaksud : “Apabila tibanya
Ramadan, dibuka pintu syurga dan dikunci pintu neraka serta dibelenggu makhluk
syaitan”. (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Namun, syaitan daripada kalangan manusia
masih diberi peluang untuk mengganggu manusia dengan program melalaikan
sehingga berlalunya Ramadan dengan menempah kerugian demi kerugian.
Mereka yang tidak melakukan ibadat puasa dianggap menyalahi fitrah keimanan
kepada Allah dan hari Kiamat kerana keunikan ciptaan manusia adalah rangkuman
antara genggaman tanah dan hembusan roh yang mesti dipelihara dan dibaja dengan
ibadat khususnya di bulan Ramadan.
Ada yang mendefinisikan puasa sebagai menggempur musuh Allah SWT iaitu hawa
nafsu yang juga satu jalan daripada cara syaitan menyesatkan umat manusia.
Ada yang menyebut ketika Allah menciptakan akal manusia, akal sentiasa tawaduk
menurut perintah Allah SWT.
Sifat nafsu amat keras
Adapun nafsu ketika diciptakan, ia amat keras sehingga dibakar dalam api
kepanasan selama seratus tahun dan ditambah dengan belenggu dalam penjara
kelaparan sehingga menjadi lembut.
Oleh yang demikian, bagi mengekang hawa nafsu yang mengganas, maka Allah SWT
menganjurkan manusia berpuasa selama sebulan.
Beberapa hari berpuasa yang ditentukan Allah SWT dalam surah Baqarah ayat 184
membawa maksud, antara 28 hingga 30 hari yang cukup untuk memberikan tarbiah
berguna untuk jiwa yang keras dan rakus supaya menjadi lembut dan bertakwa.
Peristiwa Nabi Adam
Syeikh Ahmad Syakir menyebut, antara hikmah diwajibkan puasa selama beberapa
hari yang disebutkan ialah kaitan peristiwa Nabi Adam yang makan buah terlarang
sehingga kesannya berkekalan pada pencernaan Adam selama 30 hari.
Selepas diterima taubat Adam AS, maka Allah SWT memerintahkan Adam berpuasa
selama 30 hari dan 30 malam supaya segala-galanya terhapus daripada pencernaan
Adam AS.
Namun demikian, Nabi Muhammad SAW dan umatnya diwajibkan berpuasa siang hari
saja kerana penghormatan Allah SWT.
Kelazatan dunia juga terbina di atas empat perkara iaitu makan, minum, tidur
dan seks. Semuanya akan menghalang hubungan manusia dengan Allah SWT jika tidak
diselenggarakan dengan baik dan bijaksana.
Jaga lima perkara
Lima perkara yang perlu dijaga bagi meningkatkan kualiti puasa iaitu pandangan,
lidah dan hati. Sabda Baginda SAW daripada Anas bin Malik: “Lima perkara yang
boleh merosakkan puasa iaitu bercakap dusta, mengeji, mengumpat, sumpah yang
mengelirukan serta pandangan yang penuh dengan syahwat.” (Al-Hadith)
Baginda sentiasa memberi peringatan bagi mereka yang berpuasa dengan maksud:
“Alangkah ramai umat yang berpuasa tetapi tiada mendapat apa-apa kecuali lapar
dan dahaga saja.”
Selain berpuasa, umat Islam mestilah menjaga tatasusila dan sikap mereka agar
cenderung kepada melakukan kebaikan, bermurah hati serta memberi makan kepada
mereka yang berpuasa ketika berbuka.
Doa yang baik dianjurkan kita membacanya oleh Baginda SAW ketika berbuka kerana
ketika itulah dikatakan antara waktu di mana doa kita dimakbulkan oleh Allah
SWT.
Sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA berkata bahawa Baginda SAW bersabda:
“Terdapat tiga golongan yang tidak dihampakan doa mereka oleh Allah SWT. Pemimpin
yang adil, orang yang berpuasa ketika berbuka dan orang yang dizalimi.” (Riwayat
Ahmad, Tirmizi dan Ibnu Majah)
Baginda pernah menyebut bahawa ada di kalangan Malaikat yang sentiasa sujud
kepada Allah SWT hingga hari kiamat dengan memandang Arasy Allah SWT seraya
berkata “Wahai Tuhan, kasihanilah dan jangan Engkau sakiti umat Muhammad yang
berpuasa pada Ramadan.”
Penulis ialah Eksekutif Agama The New Straits Times Press (NSTP)
No comments:
Post a Comment