06:57:23 AM Oleh
Hashim Ahmad
Meneliti perilaku dan corak hidup
sesetengah manusia yang menghuni alam fana ini, kita dapati ada antara mereka
bertindak seolah-olah tidak akan mati, akan kekal hidup buat selama-lamanya.
Ada antara mereka yang bebas melakukan apa saja sesuka hati. Mereka tidak
menghiraukan haram atau halal, baik atau buruk. Hidup mereka seolah-olah
berajakan nafsu dan bermenterikan syaitan.
Tak fikir soal dosa, pahala
Soal dosa, pahala, syurga, neraka serta pembalasan di hari akhirat sudah tidak
diambil pusing. Mereka sewenang-wenangnya meninggalkan ajaran Islam.
Keadaan ini menjadi lebih buruk lagi apabila mereka didedahkan dengan corak
hidup serba moden dan canggih. Pergaulan bebas lelaki dan perempuan menyebabkan
berlakunya kelahiran anak luar nikah.
Ini terjadi lantaran berpengaruhnya pendedahan fahaman kebendaan kepada
masyarakat kita. Saban hari kita dianjurkan supaya mengejar masa dan hidup
dengan berlumba-lumba untuk mengumpul harta kekayaan.
Masa untuk akhirat
Jika dianalisis, sumbangan masa untuk kerja akhirat berbanding kerja dunia
amatlah menyedihkan. Purata, setiap orang memerlukan enam jam sehari untuk
tidur dan jika seorang pegawai, ia akan menggunakan paling kurang lapan jam
sehari untuk bekerja.
Makan, mandi, masa ke pejabat, bersiar-siar dengan keluarga, membaca dan
berhibur paling kurang kita memerlukan empat jam lagi. Ini bermakna, telah
luput 18 jam kita menggunakan masa dalam sehari untuk kerja keduniaan.
Baki enam jam lagi itu tidak semuanya kita gunakan untuk beramal dan beribadah.
Paling banyak kita hanya menggunakan empat jam saja sehari untuk mendampingi
Allah SWT.
Jika kita hidup hingga 60 tahun, masa terluang untuk beribadat ialah 50 tahun.
Sepuluh tahun pertama hidup, kita dianggap belum baligh. Dalam masa 50 tahun
ini, kita hanya menggunakan empat jam atau satu perenam daripada masa sehari
untuk beribadah.
Bekalan akhirat
Jadi jumlah masa beribadah untuk tempoh 50 tahun, hanya lapan tahun setengah
saja. Yakinkah kita akan memperoleh lapan tahun setengah untuk beribadah?
Apakah dalam lapan tahun setengah itu hati kita dapat menumpukan seratus
peratus perhatian dan khusyuk.
Oleh itu, beramallah sedaya mungkin seolah-olah kita akan mati esok hari.
Tetapi janganlah kita abaikan tugas untuk dunia. Memastikan hidup senang dan
bahagia di akhirat, kita perlu menyediakan bekal amal soleh di dunia ini.
No comments:
Post a Comment