08:50:18 AM
Umat Islam diseru ganti sikap boros dengan
amalan bersedekah
Amalan boros tidak dapat dielakkan setiap kali menjelang Ramadan. Boros dalam
aspek makanan dan minuman, terutama sekali ketika membuat persiapan berbuka
puasa, sama ada ketika membeli atau menyediakan makanan dan minuman melebihi
keperluan hingga tidak mampu dihabiskan.
Seperti biasa, ketika berbuka dapat
disaksikan ramai yang menikmati juadah seperti berpesta makanan dengan pelbagai
macam hidangan. Tidak keterlaluan jika dikatakan majlis berbuka sering
dijadikan acara ‘membalas dendam.’
Akibat makan terlalu banyak ketika berbuka, apabila hendak melaksanakan ibadah,
mata mulai berat akhirnya menggagalkan mereka melaksanakan ibadah sunat yang
amat dituntut pada Ramadan ini.
Meskipun berbelanja itu menjadi hak seseorang, tetapi hakikatnya Islam
memandang perkara ini sebagai pemborosan melampau yang membawa kepada pembaziran.
Bahkan ia telah melebihi had kecukupan atau keperluan seseorang.
Membeli pelbagai jenis makanan dan minuman kadangkala agak keterlaluan dan
melampaui batas. Bagaimana ruang perut manusia yang begitu sempit dapat
dimasukkan semua jenis makanan dan minuman, sekali gus akan berbaki atau
lebihan makanan dibuang.
Untuk bersederhana ketika berbelanja untuk majlis berbuka puasa atau membuat
persiapan untuk menyambut Aidilfitri, kita perlu berusaha mengehad dan mengawal
kemahuan diri yang tidak terhad terlebih dulu.
Caranya ialah dengan berusaha menghapuskan nafsu jahat seperti nafsu ammarah,
lawwamah atau mulhamah dan menggantikannya dengan nafsu baik (mahmudah),
seperti nafsu mutmainnah, radhiyah, mardhiyah dan kamilah.
Hal ini boleh dilakukan dengan membersihkan hati (tazkiyah al-nafs). Apabila
kemahuan mampu dihadkan, kepenggunaan pun dapat dihadkan. Akhirnya hal ini
membawa kepada sikap berjimat cermat dan mengguna sekadar keperluan untuk
memenuhi kemudahan hidup.
Justeru, mereka tidak lagi berbelanja atau mengguna secara berlebih-lebihan
(boros) sehingga membawa kepada pembaziran. Amat mendukacitakan apabila
pembaziran dilakukan ketika ada segelintir ahli masyarakat terlalu memerlukan
bantuan.
Kedua, sentiasa mengingati dan mengenangkan nasib saudara seagama yang berbuka
puasa atau menyambut Aidilfitri dalam keadaan serba kedaifan.
Mereka juga ingin menjamah makanan yang lazat dan pakaian baru seperti orang
lain.
Namun, kedaifan mereka membuatkan mereka berbuka dan beraya dengan makan dan
pakai apa saja yang ada. Oleh itu, alangkah baiknya jika kita menghapuskan
amalan pemborosan dan pembaziran dengan menggalakkan amalan kebajikan seperti
bersedekah. Sedikit bantuan atau sumbangan dihulurkan, Allah SWT akan
menyediakan ganjaran pahala berlipat kali ganda.
Amalan sebegini secara tidak langsung akan menggambarkan tujuan sebenar Allah
SWT mensyariatkan puasa Ramadan, seterusnya melahirkan masyarakat penyayang dan
berwawasan.
Allah SWT berfirman bermaksud: “Dan berikanlah kepada keluarga yang dekat akan
haknya, kepada orang Muslim dan orang yang dalam perjalanan; dan janganlah kamu
membelanjakan (hartamu) secara membazir (boros).” (Surah al-Isra’, ayat 26)
Allah SWT menggalakkan amalan bersedekah dan melarang amalan berbelanja secara
berlebihan sehingga membawa kepada pembaziran. Oleh itu, marilah bersama
meninggalkan sesuatu yang keji dan mengamalkan yang baik lagi terpuji.
No comments:
Post a Comment