بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Tuesday, February 14, 2012

Zina, bunuh bayi amalan jahiliah patut dibanteras


Oleh Amru Alhaz Adnan

2012/02/14

POLIS memeriksa mayat bayi yang ditemui dibuang oleh orang yang
tidak bertanggungjawab.
POLIS memeriksa mayat bayi yang ditemui dibuang oleh orang yang tidak bertanggungjawab.
Didikan kerohanian boleh jadi perisai diri

ALLAH SWT menciptakan manusia dengan sebaik-baik ciptaan dan menjadikan manusia semulia-mulia makhluk ciptaan-Nya. Keunikan ciptaan manusia banyak disebut dalam al-Quran bertujuan mengajak manusia berfikir mengenai kehebatan dan keagungan Allah. Namun ciptaan Allah yang hebat ini disia-siakan, sehingga kelahiran manusia yang cukup sempurna segala sifat ini sanggup dibiar, dibuang dan dibunuh tanpa pertimbangan yang waras disebabkan malu kepada manusia di atas keterlanjuran perbuatan terkutuknya.

Peristiwa hitam yang berlaku ribuan tahun dulu kini berulang cuma dalam bentuk dan skrip yang berbeza. Jika pada zaman kegelapan, iaitu zaman Jahiliah masyarakat ketika itu hilang sifat kemanusiaan sehingga sanggup menanam anak perempuan mereka hidup-hidup kerana malu dan kononnya bagi mempertahankan maruah diri dan keluarga.

Peristiwa ini difikirkan logik berlaku kerana masyarakat pada ketika itu belum menerima cahaya Islam, sedangkan pada zaman moden ini, ketika Islam sudah tersebar meluas dan dihayati, peristiwa ini masih berlaku bahkan lebih dahsyat lagi.

Islam meletakkan tanggungjawab mencegah kemungkaran pada bahu setiap individu. Justeru sekarang ialah masanya untuk kita duduk bersama, bermuhasabah mengambil tindakan untuk menangani keruntuhan akhlak dan moral yang semakin meruncing. Umat Islam perlu memikul peranan bersama kerana ia isu umat sejagat. Tidaklah dikira bijak seseorang itu apabila menuding jari dan menyalahkan pihak-pihak tertentu. Mungkin ada yang menuding jari pada pemerintah yang dikatakan gagal melaksanakan tanggungjawab, tidak kurang juga yang menyalahkan agensi agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri yang turut sama dikatakan gagal membanteras aktiviti maksiat dan amalan tidak bermoral.

Sebenarnya gejala pembuangan bayi ini berpunca daripada perlakuan terkutuk zina. Zina ialah hubungan kelamin antara lelaki dan perempuan yang dilakukan tanpa akad pernikahan yang sah. Ini termasuk kegiatan pelacuran atau apa juga perbuatan lain yang membawa keseronokan nafsu dan syahwat. Zina termasuk antara dosa besar. Oleh sebab itulah Islam bukan setakat melarang bahkan menyuruh umatnya menjauhi jalan-jalan yang boleh membawa kepada zina. 

Firman Allah SWT dalam surah al-Nahl bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. dan suatu jalan yang buruk”. 
Selaku umat Islam kita wajib menjauhi perbuatan zina kerana ia merapuhkan institusi keluarga dan masyarakat di samping merosakkan salasilah keturunan dan zuriat. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda bermaksud: “Tiada dosa yang lebih besar selepas syirik kepada Allah melainkan orang yang meletakkan air maninya di dalam rahim wanita yang tidak halal untuknya.” 

Ibn Hajar al-Haithami menyebut dalam kitab al-Zawajir ‘an iktiraf al-Kabair: “Zina mempunyai beberapa peringkat, zina dengan perempuan yang tidak bersuami dosa besar. Lebih besar daripada itu ialah zina dengan perempuan yang bersuami. Lebih besar daripada itu ialah zina dengan perempuan mempunyai hubungan mahram. Zina orang yang telah berkahwin lebih besar dosanya daripada zina orang yang belum berkahwin dan zina orang tua lebih besar dosanya daripada zina orang muda.”

Perkembangan teknologi dan komunikasi yang gagal dikawal sepenuhnya juga mengundang berlakunya salah laku zina. Sebagai contoh pelbagai jenis gambar lucah termasuk video terlalu mudah diakses hanya di hujung jari. Ditambah pula dengan tayangan dan rancangan televisyen yang banyak menyajikan kisah percintaan yang boleh menambahkan rasa ghairah penonton. Kebanjiran DVD lucah pula sukar disekat dan berleluasa. Kecanggihan perisian telefon bimbit juga telah disalah guna. Gejala bertukar-tukar kiriman gambar dan video lucah di kalangan remaja dan pelajar sekolah tidak dapat disembunyikan lagi. 

Kesemua faktor ini mendorong kepada berlakunya perzinaan. Gejala buang bayi ini seperti tidak akan ada penghujungnya tanpa timbulnya kesedaran di kalangan masyarakat . Justeru beberapa langkah patut kita laksanakan:

  • Peranan institusi keluarga dalam menerapkan budaya dan cara hidup Islam bermula di rumah. Ibu bapa hendaklah sentiasa memberi didikan agama yang secukupnya di samping mengawasi pergerakan anak-anak mereka dari semasa ke semasa.


  • Menghidupkan budaya ilmu di kalangan umat Islam. Peranan institusi pendidikan hendaklah ditingkatkan. Dicadangkan agar jumlah jam bagi mata pelajaran agama Islam ditambah dan menjadi salah satu syarat utama untuk lulus dalam peperiksaan. 


  • Aktiviti dan program mendidik jiwa dan berunsur kerohanian hendaklah diperbanyakkan sama ada dianjurkan di peringkat Parlimen, DUN, kampung dan masjid.


  • Mempertingkatkan penguatkuasaan undang-undang berlandaskan Islam untuk membanteras kegiatan tidak bermoral termasuk pelacuran. Di samping hukuman yang lebih berat dikenakan ke atas segala bentuk jenayah syariah bagi menimbulkan kegerunan si pelaku.


  • Menggalakkan pasangan belia yang telah cukup syarat untuk segera berkahwin tanpa bertangguh kerana hanya sistem perkahwinan dapat membendung perlakuan zina. Sekiranya masalah kewangan yang menjadi penghalang, bantuan dan sumbangan zakat mungkin boleh membantu.

    Kita Umat Islam di Malaysia cukup bersyukur kerana dapat hidup di negara yang aman, harmoni, cukup dari segi kemewahan dan keselesaan menjalankan aktiviti seharian. Kita hendaklah sentiasa berwaspada dan sentiasa berpegang dengan ajaran Islam dalam segenap aspek kehidupan kita. Apa yang dikhuatiri, apabila banyak berlaku kemungkaran dan ramai umat Islam melampaui batas dalam agama, maka azab Allah pasti akan turun. Marilah sama-sama kita merenung sabda baginda Nabi Muhammad SAW:

    “Daripada Maimunah R.A berkata : Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Umatku akan terus berada dalam kebaikan selama tidak tersebar luas anak zina di kalangan mereka. Apabila anak zina tersebar luas di kalangan mereka, maka hampir saja Allah ‘Azza wajalla akan menurunkan azab seksa kepada mereka seluruhnya.” Riwayat Ahmad)

  • No comments:

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...