بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Sunday, February 5, 2012

Hubungan istighfar dengan rezeki

TRAGEDI tsunami seringkali dilihat sebagai satu malapetaka alam. Tetapi ia adalah petanda supaya umat manusia kembali beistighfar. - Gambar hiasan

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI 



FIRMAN Allah SWT: Nescaya dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat. Dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai. (Nuh: 11-12)


Ibnu Kathir berkata: "Jika kamu bertaubat kepada Allah SWT serta mentaati-Nya nescaya Dia akan mencurahkan rezeki kepada kamu serta menurunkan hujan daripada langit dan menumbuhkan tumbuhan, menggandakan susu ternakan serta melimpahkan harta kekayaan dan juga anak."


Al-Maraghi berkata: "Allah SWT akan menurunkan hujan kepadamu secara berterusan, sehingga kamu dapat menanam sesuatu yang kamu sukai. Oleh itu, kesuburan dan penghasilan yang bermanfaat dalam kehidupanmu akan bertambah sama ada dalam bentuk biji-bijian atau buah-buahan dan akan diberikan pula ketenteraman, keamanan dan kesenangan kerana memperoleh apa yang dihajati oleh kamu serta sumber yang membawa kepada puncak kebahagiaan dan petunjuk."


Allah SWT juga akan menambahkan anak. Pakar sosiologi berpendapat, kelahiran sesuatu bangsa hanya akan berkembang biak apabila sesuatu tempat itu berada dalam keadaankeamanan. Tidak berlaku kezaliman, keadilan pula tersebar kepada seluruh individu.


Bukti kukuh yang membenarkan kenyataan itu ialah bangsa Mesir. Pada masa pemerintahan Mamalik iaitu abad ke 17 Masihi yang merupakan saat-saat berlakunya kezaliman, penindasan dan kekerasan, kemiskinan dan kelemahan, rampasan dan rompakan, susut sehingga jumlah penduduk mencapai anak tiga juta orang.
Menurut al-Hasan, seorang lelaki telah mengadu kepadanya tentang kawasan tanah yang gersang. Lalu al-Hasan mengatakan kepadanya: "Pohonlah keampunan daripada Allah SWT. Lelaki kedua datang mengadukan kepadanya tentang kemiskinan dan keturunan yang tidak berkembang biak."
Lalu al-Hasan berkata kepadanya: "Pohonlah keampunan daripada Allah SWT."


Lelaki ketiga pula datang mengadukan kepadanya. dia menjawab: "Pohonlah keampunan daripada Allah SWT." Kemudian orang ramai bertanya kepada al-Hasan. Beberapa orang telah datang mengadukan pelbagai keperluan kepadamu, lalu kamu menyuruh mereka semua agar beristighfar.


Menurut al-Hasan: "Aku tidak akan mengatakan semua itu menurut hawa nafsuku sendiri. Akan tetapi, aku mengambil pengajaran daripada firman Allah SWT yang menceritakan tentang nabi-Nya iaitu Nabi Nuh AS yang telah berkata kepada kaumnya sebagaimana dalam ayat ke-10."


Selepas Allah SWT memberi pengajaran akhlak kepada mereka dengan menuntut pembersihan jiwa dan akhlak yang terpuji. Seterusnya, Allah SWT mengajar mereka dengan ilmu yang berkaitan keilmuan dengan ilmu anatomi, psikologi dan kajian tentang alam atas dan alam bawah.


Syed Qutub berkata: "Dalam ayat ini Allah menghubungkan di antara istighfar dengan pemberian rezeki yang mewah. Dalam al-Quran terdapat ayat-ayat yang menerangkan pertalian di antara kebaikan dan istiqamah hati yang mematuhi hidayah Allah SWT dengan kemurahan rezeki dan kemewahan hidup."


Firman Allah SWT: Mengapa kamu tidak percaya akan kebesaran Allah? Padahal dia sesungguhnya telah menciptakan kamu dalam beberapa tingkatan kejadian. (Nuh: 13-14)


Tahap ini banyak disebut dalam surah seperti dalam surah ali-Imran, al-Mukminun dan surah-surah lain. Allah SWT telah menyebut keprihatinan mereka tentang jiwa, kemudian Allah mengikutnya dengan perhatian mereka terhadap alam yang di atas dan alam yang di bawah.


Maksudnya asal daripada setitis mani, kemudian menjadi segumpal darah dan membentuk segumpal daging. Demikian dikemukakan oleh Ibn Abbas, Ikrimah, Qatadah, Yahya bin Rafi', al-Suddi dan Ibn Zaid.
Firman Allah SWT: Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah menciptakan tujuh langit bertingkat-tingkat? Dan Allah menciptakan padanya bulan sebagai cahaya dan menjadikan matahari sebagai pelita? (Nuh: 15-16)


Ibnu Kathir berkata: "Dia menjadikan masing-masing daripada keduanya sesuai mengikut ketentuannya untuk mengetahui malam dan siang dengan terbit dan terbenamnya matahari. Dan Dia juga menetapkan bagi bulan beberapa perhentian dan bintang yang keduanya ada perbezaan cahaya yang kadang-kadang bertambah sampai ke puncak kemudian cahayanya mulai surut dan tidak nampak. Demikian itu untuk menunjukkan tentang perjalanan bulan dan tahun."


Al-Maraghi berkata: "Tidakkah kamu melihat bagaimana penciptaan langit yang berlapis-lapis dan sebahagiannya di atas sebahagian yang lain. Tidakkah kamu melihat bagaimana dijadikannya buruj dan manazil bagi bulan, dan sinarnya pula dijadikan bertambah dan membesar. Kemudian sinar itu berkurangan hingga akhirnya tidak nampak bagi menunjukkan perjalanan bulan dan tahun? Tidakkah kamu melihat bagaimana matahari dijadikan sebagai pelita yang menerangi kegelapan malam?"


Firman Allah SWT: Dan Allah menumbuhkan kamu dari tanah dengan sebaik-baiknya, Kemudian dia mengembalikan kamu ke dalam tanah dan mengeluarkan kamu (daripadanya pada hari kiamat) dengan sebenar-benarnya. (Nuh: 17-18)


Al-Mawardi berkata: Terdapat tiga pandangan:

l Iaitu Adam a.s. diciptakan daripada tanah seperti kata Ibnu Juraij dan juga Khalid bin Ma'dan.

l Allah membesarkan mereka di bumi daripada kecil lagi. Begitu juga menjadikan mereka besar dan tinggi yang pada asalnya rendah. Inilah pendapat Ibn Bahr.

l Semua makhluk diciptakan dengan pembesaran yang berhajatkan makanan berasal daripada tumbuhan bumi.


Ibn Kathir berkata: "Pada hari Kiamat, Allah SWT akan mengembalikan kamu seperti mana Dia menciptakan kamu dahulu."


Firman Allah SWT: Dan Allah menjadikan bumi untukmu sebagai hamparan, Supaya kamu menjalani jalan-jalan yang luas di bumi itu. (Nuh: 19-20)


Al-Mawardi berkata: Terdapat tiga pandangan:

1. Jalan yang pelbagai seperti pendapat Ibn Abbas.

2. Jalan-jalan yang luas seperti pendapat Ibn Kamil.

3. Jalan-jalan yang mempunyai tanda seperti pendapat Qatadah.

Ibnu Kathir berkata: Allah SWT menciptakan bumi untuk kamu supaya dapat menetap dan berjalan di atasnya ke mana sahaja yang kamu kehendaki.


Hamka berkata: Bumi yang dihamparkan sebagai tempat kehidupan, mencari rezeki dan penyediaan segala kelengkapan. Juga telah dipasakkan untuk kekal utuh dari lautan ke daratan sehinggalah lengkap segalanya.
Berdasarkan ayat-ayat yang dibincangkan di atas jelas menunjukkan betapa gigihnya Nabi Nuh a.s. menyampaikan risalah Allah SWT.


Saat yang sama beliau mengajak umatnya supaya beristighfar kepada tuhan kerana natijahnya cukup banyak dan lumayan tetapi malangnya mereka kebanyakannya mengingkari dan tidak mahu beriman kepada Allah SWT.


Natijahnya seperti yang diketahui dilanda dengan taufan yang besar sehingga menenggelamkan golongan yang ingkar kepada perintah Allah SWT.


Semoga kita dapat mengambil iktibar dan pengajaran dari kisah ini untuk mentaati perintah Allah dalam apa jua keadaan sekalipun. Amin.


Utusan ARKIB : 03/02/2012

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...