بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Friday, February 17, 2012

Allah tenggelamkan kaum Nabi Nuh

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Banjir di queensland, Australia adalah kecil berbanding bah yang diturunkan oleh Allah ke atas umat Nabi Nuh yang menderhaka kepada Allah dan rasul-Nya. - Gambar hiasan

FIRMAN Allah SWT: Disebabkan kesalahan-kesalahan mereka, mereka ditenggelamkan lalu dimasukkan ke neraka, maka mereka tidak mendapat penolong-penolong bagi mereka selain dari Allah.

Nuh berkata: Ya Tuhanku, janganlah Engkau biarkan seorangpun di antara orang-orang kafir itu tinggal di atas bumi. Sesungguhnya jika Engkau biarkan mereka tinggal, nescaya mereka akan menyesatkan hamba-hamba-Mu, dan mereka tidak akan melahirkan selain anak yang berbuat maksiat lagi sangat kafir. Ya Tuhanku! ampunilah aku, ibu bapaku, orang yang masuk ke rumahKu dengan beriman dan semua orang yang beriman laki-laki dan perempuan. dan janganlah Engkau tambahkan bagi orang-orang yang zalim itu selain kebinasaan. (Nuh: 25-28)

Mukadimah
Sesudah Allah SWT menerima laporan dan pengaduan Nabi Nuh a.s, Allah menimpakan mereka dengan peristiwa banjir besar dan azab sebagai balasan. Ketika itu mereka tidak menemui sesiapa pun yang mampu mencegah kedua-duanya itu daripada mereka.

Kemudian, Allah SWT memberitahu doa Nabi Nuh a.s terhadap kaumnya dan memberi alasan terhadap doa ini bahawa mereka telah menyesatkan manusia dan jika mereka berketurunan tentu mereka akan melahirkan orang yang kafir dan derhaka.

Lalu Nabi Nuh a.s berdoa untuk dirinya, untuk ibu bapanya dan juga untuk orang mukmin lelaki dan perempuan yang menaiki kapalnya supaya diberi keampunan. Baginda kemudiannya mendoakan kaumnya agar ditimpa celaka dan kebinasaan.

Firman Allah SWT: Disebabkan kesalahan-kesalahan mereka, mereka ditenggelamkan lalu dimasukkan ke neraka, maka mereka tidak mendapat penolong-penolong bagi mereka selain daripada Allah.

Ibn Kathir berkata: Disebabkan banyaknya dosa yang mereka lakukan, penolakan, serta sikap kekufuran yang berterusan dan juga penentangan mereka terhadap rasul mereka, maka mereka dipindahkan daripada aliran laut ke api neraka yang sangat panas. Dan tiada siapa pun yang dapat menolong mereka daripada azab Allah SWT.

Syed Qutub berkata: Dengan sebab kesalahan, dosa dan maksiat mereka ditenggelamkan dalam banjir dan kemudian dimasukkan ke dalam neraka.

Kata-kata kemudian di sini ada tujuannya kerana masuknya mereka ke dalam neraka adalah bersambung dengan tenggelamnya mereka di dunia hanya dipisahkan oleh satu masa yang pendek dan tidak wujud dalam perhitungan Allah SWT.

Ia juga memberi maksud azab kubur dalam tempoh pendek antara dunia dan akhirat.

Firman Allah SWT: Nuh berkata: Ya Tuhanku, janganlah Engkau biarkan seorangpun di antara orang-orang kafir itu tinggal di atas bumi.

Ad-Dahak berkata: Ia suatu tempat tinggal.

As-Suddi berkata: Beberapa tempat tinggal.

Al-Mawardi berkata: Ulama berselisih pendapat berkenaan dengan sebab kenapa Nabi Nuh berdoa terhadap kaumnya sendiri kepada dua pendapat:

l Tatkala turunnya ayat kepadanya firman Allah yang bermaksud: Tidak beriman dari kaummu kecuali mereka yang telah ditakdirkan beriman menyebabkan beliau berdoa ke atas mereka. Inilah pendapat Qatadah.

l Seorang lelaki daripada kaumnya mendukung anak kecilnya dan lalu berhampiran Nabi Nuh, kemudian mewasiatkan kepada anaknya seraya berkata: Jaga-jaga kamu dari lelaki ini kerana ia menyesatkan kamu. Sebaliknya budak tersebut berkata: Wahai ayahku, turunkanku di sini.

Selepas itu ia membaling batu kepada Nabi Nuh sehingga luka mukanya. Ini menyebabkan Nabi Nuh cukup marah dan berdoa terhadap mereka.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya jika Engkau biarkan mereka tinggal, nescaya mereka akan menyesatkan hamba-hamba-Mu dan mereka tidak akan melahirkan selain anak yang berbuat maksiat lagi sangat kafir.

Ibnu Kathir berkata: Sesungguhnya jika Engkau membiarkan seseorang daripada mereka hidup, nescaya dia akan menyesatkan hamba-hamba-Mu pada generasi yang akan datang.

Menurut sebuah hadis yang telah diriwayatkan, seorang lelaki dari mereka berjalan bersama anaknya menuju Nabi Nuh a.s. Lalu dia mengatakan kepada anaknya: "Hati-hatilah dengan orang ini, kerana dia seorang pendusta. Dan ayahku pun pernah memberikan wasiat seperti ini kepadaku."

Kemudian yang tua mati dan digantikan oleh yang muda yang juga hidup dalam keadaan seperti itu.

Selepas Nabi Nuh a.s mendoakan terhadap orang kafir itu, kemudian dia pun berdoa untuk dirinya, ibu bapanya dan untuk orang yang beriman lelaki dan perempuan agar mereka dikurniakan pengampunan.

Firman Allah SWT: Ya Tuhanku! ampunilah aku, ibu bapaku, orang yang masuk ke rumahku dengan beriman dan semua orang yang beriman laki-laki dan perempuan. dan janganlah Engkau tambahkan bagi orang yang zalim itu selain kebinasaan.

Ad-Dahak berkata: Iaitu Nabi Nuh a.s. selalu mendoakan setiap orang yang masuk ke dalam rumahnya.
As-Suddi berkata: Iaitu hancur dan binasa.

Mujahid berkata: Benar-benar rugi dunia dan akhirat.

Syed Qutub berkata: Doa Nabi Nuh a.s. memohon Allah SWT mengampunkan dosanya merupakan adab sopan kenabian yang mulia di hadapan Allah SWT.

Seorang hamba atau manusia tidak sempurna dan selalu melakukan kesilapan.

Kesedaran yang tidak memungkinkan masuk ke syurga kecuali jika mendapat limpah kurnia-Nya seperti yang ditegaskan oleh Nabi SAW.

Itulah istighfar Nabi Nuh a.s. yang telah berdakwah kepada kaumnya yang derhaka dan berdosa dan menolak ajarannya dengan penuh keangkuhan.

Baginda memohon keampunan setelah beliau berjuang dan menempuh kesulitan sekian lama.

Beliau memohon keampunan untuk ibu bapanya yang merupakan kebaktian kepada orang tuanya yang mukmin mengikut apa yang kami faham daripada doa tersebut.

Ini kerana andainya kedua orang tua itu bukan orang mukmin tentulah Allah SWT menegurnya ketika Allah menegur saat ia merayu tentang anaknya yang kafir tenggelam bersama keegoannya sewaktu peristiwa banjir besar seperti yang telah diperjelaskan (dalam surah Hud).

Doanya memohon keampunan kepada mereka yang masuk ke dalam rumahnya dalam keadaan beriman merupakan kebaktian seorang mukmin terhadap mukmin yang lain.

Tujuan mengkhususkan pengampunan itu kepada orang-orang yang masuk ke dalam rumah baginda dengan keadaan beriman supaya mereka bersama dalam bahtera yang dibina oleh baginda.

Doa baginda yang meliputi sekalian orang mukmin lelaki dan perempuan merupakan kebaktian seorang mukmin terhadap seluruhnya meliputi semua zaman dan tempat.

Inilah rahsia yang mengkagumkan terdapat dalam akidah Islam iaitu ikatan kukuh walaupun mereka dipisahkan oleh zaman dan tempat. Inilah rahsia yang disampaikan Allah dalam akidah hati seorang muslim.

Penutup

Seruan Nabi Nuh a.s terhadap kaumnya agar beriman dan merangkumi:

n Mereka diminta agar meninggalkan dosa. Jika mereka melakukan yang demikian, sudah tentu Allah SWT akan memperbanyakkan harta dan anak-anak mereka.

n Memerhatikan penciptaan langit, bumi, sungai dan lautan.

n Memerhatikan penciptaan manusia bahawa dia diciptakan di bumi sebagaimana diciptakannya tumbuh-tumbuhan dan bumi itu ditundukkannya sehingga dia boleh bertindak di bumi ini apa yang dia sukai.

n Kekafiran kaum Nabi Nuh a.s dan hukuman yang dikenakan kepada mereka semasa di dunia dan di akhirat.

Marilah kita mengambil suri teladan kisah Nabi Nuh dan perjuangannya dalam menyebarkan risalah Allah SWT walaupun dipukul badai kemarahan dan kemurkaan kaumnya tetapi beliau tetap istiqamah dalam menjunjung titah perintah Allah SWT.

Semoga semangat Nabi Nuh dapat dijelmakan dalam jiwa pendakwah Islam untuk menyebarkan agamanya. Amin.


Sumber

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...