Mahkamah adalah tempat manusia mendapat keadilan di dunia. |
Oleh KAMARIAH YUSOFF
ISLAM adalah agama persamaan dan keadilan. Allah SWT bersifat adil dan cintakan keadilan dan kasihkan orang yang bersifat adil. Antara asas yang sangat ditekankan dalam syariat Islam adalah prinsip keadilan kepada semua manusia.
Banyak ayat al-Quran yang menyeru kepada keadilan dan mencegah daripada bersifat zalim. Perkataan adil berasal dari perkataan Arab, cadala ataupun al-cadl yang berarti apa yang menetap di jiwa, ia sesuatu yang lurus, lawan kepada sifat menyeleweng.
Al-Imam Mawardi menyifatkan keadilan sebagai memiliki sifat benar, terjamin keimanan, terjauh dari sesuatu yang haram, tenang ketika reda dan marah serta berterusan menjaga maruah di dalam urusan agama dan dunia.
Keadilan merupakan salah satu daripada tiga asas pegangan hidup Islam, seiring dengan tauhid dan khilafah.
Oleh kerana Islam merangkumi kesemua aspek kehidupan, keadilan juga seharusnya mencakupi semua bidang termasuk ekonomi, sosial, politik, budaya dan lain-lain.
Menegakkan keadilan akan menciptakan kebaikan kepada sesiapapun, manakala pelanggaran terhadapnya akan mengakibatkan mala petaka.
Keadilan juga termasuk dalam akhlak Islam yang mesti diamalkan di dalam semua aspek kehidupan dan kepada semua manusia meliputi sahabat dan musuh. Sekiranya ia dipinggirkan, maka ia dianggap satu dosa dan kesalahan di sisi Allah SWT.
Tidak ada subjek yang lebih berkait rapat dengan konsep keadilan kecuali hak asasi manusia. Ini bermakna keadilan tidak akan menjadi kenyataan jika hak asasi manusia tidak diiktiraf oleh masyarakat. Ia juga adalah asas kepada kehidupan bermasyarakat dalam Islam.
Konsep keadilan ini perlu ditonjolkan di dalam setiap perhubungan, antara pemimpin dan rakyat, orang kaya dan miskin, suami dan isteri, mahupun ibu bapa dan anak-anak.
Apabila keadilan ditegakkan dalam semua aspek, maka terjaminlah keamanan dan ketenteraman di dalam keluarga, masyarakat dan negara. Sifat dan tabiat yang adil mencerminkan kesempurnaan akal dan akhlak yang menjanjikan kebahagiaan hakiki.
Kedudukan adil bagi seorang manusia menurut pandangan Islam ditentukan bukan oleh ketinggian darjat keturunan atau kekayaan mahupun kekuasaan, tetapi oleh ketakwaannya yang merupakan hasil dari ketinggian ilmu dan akhlaknya.
Keadilan yang diperkenalkan oleh Islam adalah keadilan yang pasti, ia tidak dapat digoncang oleh rasa cinta dan benci, tidak pula dipengaruhi oleh hubungan kekeluargaan individu dan kecenderungan peribadi.
Pengertian keadilan Islam dalam aspek kemasyarakatan tidak akan difahami dengan tepat kecuali apabila difahami tasawur Islam mengenai ketuhanan, alam sejagat, kehidupan dan manusia kerana keadilan sosial Islam adalah satu cabang kecil daripada komponen induk tersebut.
Keadilan berkait akidah
Ini bermakna keadilan mestilah diikat dan dikaitkan dengan konsep akidah dan keimanan yang mendalam kepada Allah SWT serta tugas manusia sebagai khalifah Allah SWT di bumi ini, iaitu tugas sebagai agen pembangunan jasmani dan rohani.
Keadilan menjadi matlamat kehidupan manusia, ia sangat dituntut dan tidak mungkin terhasil, kecuali dalam jiwa dan hati yang tulus murni.
Hasil daripada keimanan kepada Allah SWT, seorang Muslim akan bersifat adil, mencintai keadilan dan menyeru kepada norma-norma akhlak mulia, biarpun ketika bersama orang bukan Islam.
Mereka juga akan membenci kezaliman, membalas dengan seksaan kepada pelaku-pelaku zalim, biarpun kezaliman itu dilakukan oleh seorang Islam.
Al-Quran menyatakan dengan jelas akan kedudukan sifat orang-orang yang zalim dan balasan kepada orang-orang zalim ialah neraka. Justeru Allah SWT telah mengulang-ulang perkataan zalim sebanyak 226 kali di dalam al-Quran.
Ini menunjukkan kepada pentingnya sifat buruk dan keji ini dijauhi oleh seluruh umat Islam khususnya dan umat manusia amnya.
Al-Quran tidak hanya menghubungkan adil sebagai sesuatu yang hanya diperkatakan di mahkamah sahaja, tetapi ia lebih merujuk kepada integriti dan kejujuran di dalam semua urusan hidup manusia.
Keadilan dalam Islam sangat penting kerana ia akan menjamin kestabilan demi pembangunan umat Islam. Apabila Islam membawa idea tentang keadilan dalam masyarakat jahiliah, maka mereka yang dulunya berpecah belah dan saling bermusuhan menjadi bersatu padu dan saling berkasih sayang.
Justeru apabila undang-undang dan keadilan dalam Islam terpesong angkara segelintir umatnya, kegemilangan Islam mula merosot.
Keadilan juga menjadi unsur yang penting untuk membina masyarakat yang adil dan makmur, atau dengan kata lain, masyarakat yang adil dan makmur tidak akan dapat diwujudkan jika keadilan tidak ditegakkan.
Keadilan perlu ditegakkan kerana ia akan memberi ketenangan kepada manusia dan menyuburkan hubungan individu dengan orang lain.
Rasulullah SAW di dalam pemerintahan baginda tidak pernah menindas mana-mana pihak. Bahkan baginda SAW didekati dan dikasihi oleh semua pengikutnya tanpa mengira bangsa dan agama.
Ini kerana dalam memutuskan apa-apa hukuman, baginda SAW tidak sekali-kali terpengaruh oleh keadaan orang yang dihukumi, sama ada daripada kalangan keluarga, sahabat handai ataupun orang lain yang berbeza bangsa dan agama.
Ini amat bertepatan dengan perintah Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran, dan janganlah sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sifat adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah amat mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. (al-Maaidah: 8)
No comments:
Post a Comment