بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Friday, February 10, 2012

Jangan jadi Abu Lahab 'sambut' Maulid

Golongan muslimat menyiapkan juadah untuk jamuan di Masjid An-Nur, Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor, baru-baru ini.

Oleh MOHD. RADZI MOHD. ZIN


KEPUTERAAN bayi yang diberi nama, Muhammad bukan sahaja disambut dengan penuh kegembiraan oleh ibu bapanya, Abdullah bin Abdul Mutalib dan Aminah binti Wahb tetapi juga sanak saudara termasuk Abu Lahab.
Kegembiraan Abu Lahab iaitu bapa saudara Nabi Muhammad itu terbukti apabila dia memerdekakan hambanya, Suaibah.

Namun, semua itu tidak bermakna kerana Abu Lahab enggan menerima dan menyahut seruan Rasulullah SAW supaya memeluk Islam sehinggalah dia mati dalam kufur.

"Sebab itu, kita jangan jadi seperti Abu Lahab. Dia antara orang yang merai dan paling gembira dengan kelahiran nabi SAW tetapi dia mengingkari seruan baginda.

"Apabila nabi SAW menyeru penduduk Mekah memeluk Islam di atas Bukit Safa, maka Abu Lahablah yang mencela baginda sehingga Allah menurunkan surah al-Masad," kata Dr. Mohd. Sukki Othman.

Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia itu berkata demikian dalam ceramah Maulidur Rasul di Masjid An-Nur di Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor, Ahad lalu.
Mohd. Sukki berkata, menyambut maulid tidak cukup hanya dengan mengadakan perarakan atau berselawat ke atas junjungan nabi SAW.

"Tidak ada gunanya seseorang itu paling kuat suaranya semasa berselawat atau paling banyak keluar peluh semasa berarak tetapi tidak menunaikan solat zuhur.

"Sebaliknya, asas dalam memahami sunnah Rasulullah SAW adalah melalui ilmu. Malam ini kita menghidupkan sunnah baginda yang wajib iaitu menuntut ilmu," jelas beliau.

Mohd. Sukki menegaskan, untuk menjadi umat Islam yang mencontohi akhlak dan peribadi Rasulullah memerlukan kepada tiga syarat.

Ini dijelaskan menerusi firman Allah yang bermaksud: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). (al-Ahzaab: 21)

Syarat yang pertama, kata beliau adalah seseorang itu mesti sentiasa mengharapkan keredaan Allah iaitu beriman kepada Allah.

Syarat kedua, orang yang mengharapkan hari akhirat. Ia bermaksud perlu beriman kepada Rasulullah lalu melaksanakan sunnah baginda.

"Syarat ketiga adalah kena ingat Allah banyak-banyak pada setiap keadaan walau di mana kita berada.
"Sebab itu, ada hadis yang menyebut, seseorang Mukmin itu tidak melakukan zina jika dia beriman. Apabila ada iman, hati kita akan sentiasa mengingat Allah dan juga rasul-Nya," jelas beliau.

Pada masa yang sama, Mohd. Sukki juga mengajak para remaja agar menghayati sirah nabi SAW agar menjadi umat Islam yang berkualiti.

Katanya, pada zaman remaja baginda, hiburannya lebih dahsyat kerana ketika itu adalah zaman jahiliah.
Namun, jelas beliau, Rasulullah sentiasa menjauhi tempat-tempat hiburan sedemikian selain Allah memelihara diri baginda daripada menjejak kaki ke sana.

"Ringkas kata, di pusat-pusat hiburan yang melampaui batas ini banyak berlaku perkara mungkar.
"Sebab itu, kalau mahu menjadi remaja Muslim yang berkualiti jangan masuk ke pusat-pusat hiburan yang tersebut," katanya.

Untuk itu, menurut Mohd. Sukki, masjid dan surau perlu mengubah pendekatan agar bersikap mesra kepada semua golongan.

"Masjid tidak boleh hanya mesra kepada golongan orang pencen, sebaliknya perlu memikirkan cara bagaimana menarik minat golongan remaja dan anak-anak datang dan solat jemaah di masjid.

"Jangan pula apabila kanak-kanak datang mereka sentiasa dimarahi. Sepatutnya, masjid memberi peluang dan ruang untuk mereka agar mengimarahkan lagi program dan aktiviti di rumah Allah ini," tambahnya.

Ceramah kira-kira satu jam setengah itu dihadiri oleh lebih 300 jemaah. Turut hadir, Nazir masjid, Harun Abd. Rahman.

Para jemaah kemudiannya disajikan jamuan mee kari yang disediakan secara bergotong-royong oleh kaum muslimat.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...