بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Wednesday, February 1, 2012

Tiada keredaan Allah tanpa keredaan ibu bapa

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN 

UMAT Islam disuruh berbuat baik kepada ibu bapa terutama apabila mereka sudah lanjut usia. - Gambar hiasan

Dewasa ini, kita seringkali dipersembahkan dengan episod-episod sedih dan duka yang berlaku dalam masyarakat kita. Ada segelintir masyarakat yang sanggup mengabaikan ibu bapa mereka.

Bukan sahaja tidak pernah bertanya khabar, bahkan sanggup membiarkan kehidupan ibu bapa mereka melarat sehingga menagih simpati dari jiran-tetangga untuk meneruskan kehidupan.

Lebih malang, ada yang sanggup memukul, mencaci dan mengeji ibu bapa tanpa belas kasihan.
Ada pula yang tergamak menghantar ibu bapa mereka yang sudah tua dan uzur itu ke pusat-pusat penjagaan warga tua dan langsung tidak dipedulikan nasib mereka. Walhal ketika kecil, ibu bapa mereka tidak sampai hati menyerahkan mereka di bawah jagaan orang lain walau hidup dalam keadaan penuh kekurangan.
Islam meletakkan ibu bapa pada tempat yang tinggi dari segi kedudukannya. Seseorang itu wajib mentaati kedua ibu dan bapanya selagi ketaatan tersebut tidak bertentangan dengan Syariat Allah SWT. Bahkan, Allah SWT meletakkan keterikatan keredaannya bersama keredaan ibu bapa.

Dengan kata lain, seseorang itu tidak akan memperolehi keredaan Allah SWT, tanpa terlebih dahulu meraih keredaan kedua ibu bapanya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Keredaan Allah bergantung pada keredaan ibu bapa, dan kemurkaan Allah bergantung pada kemurkaan kedua-dua ibu bapa". (riwayat al-Hakim)

Kita diperintahkan oleh Allah SWT untuk berbuat baik kepada keduanya, bercakap dengan lemah-lembut dan sopan-santun. Kita dilarang mengucapkan perkataan yang dapat mengguris hati mereka walaupun sekadar mengucapkan "ah".

Di samping itu, hendaklah kita sentiasa mendoakan kebaikan sama ada ketika kedua-duanya masih hidup atau telah meninggal dunia.

Perintah berbuat baik kepada kedua ibu bapa ini adalah kerana Allah SWT mahu kita menghargai pengorbanan mereka untuk memelihara dan membesarkan kita dengan penuh kasih-sayang.

Maka, kita perlu berterima kasih kepada mereka dengan cara membalas jasa mereka sebaik mungkin walaupun ia tidak akan sekali-kali menyamai pengorbanan dan sumbangan mereka selama ini.

Kewajipan berterima kasih kepada ibu bapa ini dapat dilihat dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya ,ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan dari awal mengandung sehingga akhir menyusunya dan tempoh menceraikan susunya adalah dalam masa dua tahun. Dengan demikian bersyukurlah kepada ku dan kedua ibu bapamu dan ingatlah kepada Aku lah jua tempat dikembalikan untuk menerima balasan. (Luqman: 14)
Pengorbanan mereka adalah pengorbanan yang cukup besar. Maka atas dasar itulah Islam menggandingkan tanggungjawab mentaati ibu bapa mengiringi persoalan mentauhidkan Allah.

Firman Allah yang bermaksud: Dan hendaklah kamu beribadah kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua pun dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa kamu, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, rakan sejawat, orang yang bermusafir dalam kesusahan dan hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong, takbur dan suka membangga diri. (al-Nisa': 36)

Seksaan berat

Justeru, Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW telah memberi ancaman kepada mereka yang sanggup menderhaka kepada ibu bapa. Mereka bakal berhadapan dengan seksaan yang berat dalam api neraka beserta laknat yang tidak berkesudahan daripada Allah SWT.

Nabi SAW bersabda: "Semua dosa diakhirkan hukumannya sekehendak Allah SWT sehingga ke hari kiamat, kecuali dosa kerana derhaka kepada kedua orang tuanya, maka yang demikian diciptakan hukumannya bagi yang melakukannya". (riwayat Al-Hakim)

Imam Az-Zahabi dalam kitabnya Al-Kabair telah menyebutkan kata-kata Ka'ab bin Al-Ahbar tentang keburukan orang yang menderhaka kepada ibu bapa dan kebaikan orang yang menjaga hubungan dengan ibu bapanya.

Beliau menyatakan: "Sesungguhnya Allah SWT akan mempercepatkan kebinasaan dan kecelakaan seseorang apabila dia menderhakai kedua ibu bapanya, iaitu akan dipercepatkan seksaannya. Dan sesungguhnya Allah akan menambah umur seseorang, jika dia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, maka dia akan memberikan perbelanjaan kepada keduanya, jika mereka berdua memerlukannya".

Justeru, marilah kita sama-sama menjaga ibu bapa kita sebaik mungkin. Jangan lokek menghubungi mereka selalu, bertanya khabar dan memberikan penjagaan penuh kepada mereka.

Ambillah peluang berbakti kepada mereka sementara mereka masih hidup. Bagi mereka yang telah kehilangan ibu dan bapa, teruskan mendoakan mereka supaya diampuni dosa dan dimasukkan dalam golongan orang yang soleh.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...