بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Sunday, February 12, 2012

Hindar amalan bidaah Hari Kekasih lahirkan rasa cinta

Oleh Fadlan Mohd Othman


2012/02/12

ISLAM ialah agama yang menjaga fitrah dan naluri manusia. Segala amalan yang disyariatkan memenuhi tuntutan zahir dan batin manusia. Antara perkara yang ditekankan oleh Islam ialah cinta, sifat penting dalam kehidupan dan peradaban manusia. 


Cinta juga menjadi antara faktor kelangsungan generasi manusia. Apa yang pasti, ia berbeza tingkat dan lapisannya. Ada cinta terhadap Allah, Rasulullah, Islam, ibu dan bapa, anak dan cucu, pasangan suami atau isteri, sahabat, bahkan terhadap binatang dan alam sekitar.



Bagaimanapun, cinta orang beriman terhadap Allah adalah cinta suci yang tiada bersyarat. Allah berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 165, yang bermaksud: “Ada juga antara manusia yang mengambil selain Allah untuk menjadi sekutu Allah, mereka mencintainya, memuja dan mentaatinya seperti mereka mencintai Allah, sedang orang yang beriman itu lebih cinta dan taat kepada Allah.”


Cinta orang beriman terhadap Allah lebih hebat daripada cinta orang tidak beriman terhadap Allah. Cinta orang kafir dibahagi antara Tuhan dan berhala sembahannya, tidak seperti orang beriman yang semata-mata kepada Allah. 


Begitulah sepatutnya cinta mukmin terhadap penciptanya. Namun, Iblis penghulu segala syaitan menyatakan tekadnya di hadapan Allah akan mengganggu anak Adam. 


Ikrar Iblis dirakamkan al-Quran, Surah al-A’raf ayat 16 dan 17 bermaksud: “Iblis berkata, oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan aku tersesat, maka aku akan mengambil tempat menghalangi mereka daripada jalan-Mu yang lurus. Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur”. 


Kerja keras syaitan ini berhasil dengan dua bentuk kelemahan manusia. Pertama, lemah ilmu, manakala kedua kelemahan pegangan diri. Al-Imam Ibnul Qayyim menjelaskan dalam karya agungnya, Zadul Ma’ad bahawa setiap mukmin wajib memerangi syaitan yang menabur syubuhat dan syahwat. 


Syubuhat bererti ideologi 
terseleweng, maka caranya ialah menimba ilmu mengenai kebaikan untuk diamalkan, di samping menimba ilmu mengenai keburukan agar dapat ia dihindari. Syahwat pula bererti hawa nafsu. Caranya dengan menanam keyakinan terhadap segala janji baik Allah bagi hamba-Nya yang berjaya mengekang kebuasan nafsu. 
Melihat kepada kalendar Masihi, akan muncul Hari Kekasih pada 14 Februari. 



Berdasarkan penerangan ringkas sebentar tadi, dapatlah ditegaskan menyambut Hari Kekasih sesuatu yang menyalahi Islam, bidaah lagi mungkar. 


Dari sudut ilmu, kita dapati Hari Kekasih bukan perayaan umat Islam, tetapi untuk kaum Nasrani atau Kristian. Seorang paderi bernama Valentine dibunuh lalu hari pembunuhannya itu dijadikan Hari Kekasih. Ia dijadikan hari untuk melahirkan cinta pasangan kekasih dengan pemberian hadiah dan seumpamanya. 


Apabila kita mengetahui Hari Kekasih bukan untuk umat Islam, adalah wajar kita menjauhinya. Jika ada yang pernah menyambutnya, mohon keampunan daripada Allah dan bertekadlah untuk tidak mengulanginya pada tahun ini. Semoga dengan taubat nasuha, keburukan dan maksiat yang pernah kita buat diampunkan Allah, bahkan diubah menjadi ganjaran kebaikan. 


Kedua, dari sudut hawa nafsu. Jika benar seseorang cinta kekasihnya, maka lihatlah adakah ekspresi cinta itu menepati keredaan Allah atau hanya mengundang kemurkaan-Nya? Jika pasangan belum berkahwin, cara terbaik melahirkan cinta ialah dengan berkahwin. Jika pasangan sudah berkahwin, cara terbaik ialah saling memberi hadiah dari semasa ke semasa. Mengapa perlu dikhususkan 14 Februari, sedangkan kita mempunyai hari lain yang tiada keraguan padanya. Janganlah perbuatan manusia yang diutamakan, akan tetapi utamakanlah firman Allah dan sabda Rasulullah SAW. 


Ingatlah wahai saudaraku ketinggian cinta terhadap Allah akan diuji dengan melihat tahap ikutan seseorang mukmin terhadap Rasulullah. Allah berfirman dalam Surah Ali Imran ayat 31 bermaksud: “Katakanlah wahai Muhammad: Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa kamu.” 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...