بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Thursday, February 2, 2012

Puasa beri kekuatan kepada Teoh


Oleh SITI AINIZA KAMSARI

TEOH, engkau tak berpuasa, engkau buatlah kerja lebih sikit kerana kami ini berpuasa, jadi penatlah dan letihlah sikit nak buat kerja."

Begitulah setiap kali tibanya bulan Ramadan - bulan umat Islam berpuasa dan menjalani pelbagai ibadat untuk melipatkangandakan pahala dan ganjaran - pastinya pemuda Cina beragama Buddha ini, Teoh Gin Hoe akan menjadi mangsa!

"Rakan-rakan Muslim yang juga rakan sekerja saya akan meminta atau lebih tepat lagi menyuruh saya membuat kerja lebih, lebih berat dan lebih masa daripada mereka.

"Ketika itu kami merupakan anggota polis yang tanpa mengira masa dan keadaan akan ada sahaja kes berlaku selain pelbagai tugas lain yang perlu dibereskan," katanya.

Walaupun mereka tidak memberi contoh yang baik kerana ibadat puasa seharusnya bukan penghalang untuk orang Islam melakukan tugas seperti biasa, namun semua permintaan itu tidak menjadi masalah kepada Teoh.
Malah kata Teoh, semua itu hanyalah kata-kata gurauan kerana realitinya semua anggota polis tanpa mengira kaum dan agama, berpuasa atau tidak, tetap melakukan tugas berat tanpa mengira cuaca dan keadaan.

Panas terik mahupun hujan lebat, tugas tetap dijalankan walaupun berpuasa.

Itu yang menyebabkan Teoh begitu tertarik melihatkan 'kekuatan' yang dimiliki oleh rakan-rakan Islamnya.
Ramadan juga tidak ada bezanya kecuali mereka akan bertugas dengan penuh tanggungjawab tanpa mengeluh penat dan sebagainya.

"Bukan sahaja rakan-rakan sejawat, tetapi seluruh umat Islam yang berpuasa, tahan makan dan minum sepanjang hari tetapi masih mampu bertugas dengan baik.

"Sedangkan saya, lewat makan setengah jam sahaja, mulalah keluar peluh sejuk. Lewat sejam terus kepala pun pening dan rasa hendak pitam," katanya.

Lalu salah seorang rakan Muslimnya itu mencadangkan supaya Teoh berpuasa.

"Mungkin apabila puasa dan dengan berpuasa itu akan mengubah sistem badan engkau," kata rakan Teoh itu.
Bagai menyahut cabaran, pada satu tahun itu Teoh cuba berpuasa bagi berkongsi rasa dan ingin mengetahui keadaan sebenar ibadat puasa yang dilakukan oleh umat Islam.

Di samping itu, beliau berharap sistem badannya akan berubah dan turut mampu menahan lapar.

"Saya pun bangun awal subuh untuk 'bersahur' lalu berpuasa sepanjang hari dan benar-benar 'berbuka' puasa sebaik sahaja kedengaran azan Maghrib. Semua ini tanpa pengetahuan dan tanpa disedari oleh rakan-rakan sejawat yang lain.

"Tanpa disangka saya mampu 'berpuasa' walaupun ketika itu saya bukannya seorang Muslim. Malah hampir setiap petang saya tetap melakukan aktiviti kegemaran saya iaitu bermain skuasy.

"Tanpa disedari saya telah 'berpuasa penuh' hampir tiga minggu dan cukup menghairankan, walaupun dalam keadaan lapar tetapi saya tidak lagi berpeluh sejuk apatah lagi pening atau sakit kepala," katanya.

Teoh tetap menyimpan rahsia dia berpuasa itu di hadapan rakan-rakan sekerja malah kadang-kadang dia sempat mengusik mereka dengan kata-kata: "Tengoklah saya. Saya tidak letih atau mengantuk pun seperti kamu."

Lalu kata Teoh kawan-kawannya akan membalas: "Memanglah sebab kamu tidak berpuasa sedangkan kami ini berpuasa."

Beliau hanya tersenyum mendengar kata-kata kawannya itu sedangkan mereka tidak tahu hakikatnya dia juga turut berpuasa.

Pada suatu petang katanya, selepas bermain skuasy dalam keadaan berpuasa beliau masih tidak terasa penat.
"Lalu saya pun terus terjun kolam dan berenang tanpa henti selama satu jam. Sehingga saya benar-benar letih barulah saya berhenti dan bersiap-siap untuk berbuka puasa.

"Saya berbuka seperti biasa. Tetapi pada pukul 9 malam tanpa diketahui punca, secara tiba-tiba saya muntah teruk sehingga badan jadi lembik.

"Ketika itulah saya rasa sangat letih dan lesu dan buat pertama kali saya tertidur dengan begitu nyenyak," katanya.

Mimpi berdiri depan Kaabah

Pada malam itu dalam tidurnya, Teoh bermimpi berada di Mekah atau lebih tepat lagi di hadapan Kaabah.
"Saya berdiri betul-betul di hadapan Kaabah dengan jarak hanya sejengkal sahaja yang memisahkan antara saya dengan Kaabah itu. Lalu saya luruskan tangan dan terus dapat menyentuh dinding Kaabah.

"Ia merupakan mimpi yang sangat indah. Berada di tempat yang sangat tenang dan rasa sangat dirahmati. Sebaik sahaja terjaga dari tidur, saya sedar bahawa mimpi tersebut merupakan satu petunjuk dari tuhan dan terus memberikan saya kekuatan berpuasa penuh 30 hari.

"Sehinggalah tidak lama kemudian saya terus memeluk Islam dengan penuh ketulusan kepada Allah tanpa perlu pengaruh dan paksaan dari mana-mana pihak.

"Yang penting kali ini, jika berpuasa saya akan mendapat pahala dari Allah. Tidak lagi hanya sekadar menahan lapar dan dahaga sahaja," katanya yang kini merupakan seorang ahli perniagaan.

Sudah tentu ibunya terkejut besar apabila mengetahui anak lelakinya memeluk Islam.

Apatah lagi apabila Teoh kini mahu dikenali sebagai Effendy Teoh Abdullah sebagai tanda pengenalan baru setelah memeluk Islam.

"Sebenarnya memeluk Islam itu bukan isunya. Tetapi isunya lebih kononnya saya akan 'masuk' Melayu.

"Kononnya ini akan menyebabkan cara hidup saya adalah seorang Melayu dengan membuang semua segala-gala adat budaya kami sebagai orang Cina. Maka ibu merasa dia akan kehilangan seorang anak Cinanya ini," katanya.

Kini si ibu, Lim Soh Guat, 83, walaupun kekal dengan agamanya namun dijaga dengan baik oleh Teoh dan isterinya.

Ibunya itu tinggal serumah dengan mereka suami isteri.

"Mujur isteri saya Aeda Zainal, seorang yang sangat memahami dan sesekali tidak pernah merungut.

"Malah beliau menjaga makan minum ibu saya dengan amat sempurna," kata ayah kepada dua orang puteri itu.

Aeda adalah anak kepada guru agama Teoh yang telah dibekalkan dengan pelbagai didikan agama dan sentiasa menggalakkan suaminya supaya tidak sesekali meninggalkan adat budaya Cina selagi ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

Teoh yang kini Timbalan Presiden Persatuan Cina Muslim Cawangan Negeri Selangor amat berhajat menunaikan haji.

"Ibadat haji adalah keinginan yang tidak terkata bagi setiap umat Islam, baik yang mampu mahupun tidak mampu.

"Saya sendiri akan berasa sedih sehingga berlinang air mata setiap kali melihat saudara mara dan sahabat handai yang menunaikan haji.

"Tetapi insya-Allah, saya tidak pernah putus doa dan sedang giat berusaha untuk ke sana," katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...