بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Sunday, February 5, 2012

Ilmu dan Islam teras peradaban

PENGHAYATAN al-Quran merupakan teras utama dalam pembinaan ketamadunan Islam. - Gambar hiasan

Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD

SEJARAH membuktikan, kedatangan Islam telah merubah dunia daripada dibelenggu kejahilan kepada zaman kegemilangan dan kemunduran kepada era kemodenan.


Tanah Arab yang asalnya bagaikan tanah gersang bertukar menjadi lokasi perdagangan strategik yang dilengkapi segala kemudahan moden serta pembangunan yang pesat dan drastik sehingga ke hari ini.
Kelahiran Rasulullah SAW dengan membawa ajaran Islam umpama cahaya yang menyinari kegelapan masyarakat Arab pada masa itu. Bermula dengan pembentukan akhlak, sehingga menjadikan penduduk Arab sebuah masyarakat madani yang bersatu padu.


Begitu juga kejayaan para sahabat dan ulama yang membawa syiar Islam sehingga agama Allah SWT itu berkembang hampir ke sepertiga dunia dengan berpaksikan peradaban Islam yang setia diamalkan oleh pemerintah pada masa itu.


Beberapa kajian mendapati peradaban Islam dijadikan contoh oleh masyarakat barat sehingga melahirkan ramai tokoh pemikir terkemuka yang mendakwa mereka sebagai pencetus kepada revolusi peradaban dunia.


Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Datuk Nik Mustapha Nik Hassan berkata, mengambil pengajaran daripada kejayaan tersebut, Malaysia perlu memartabatkan konsep peradaban yang berlandaskan Islam bagi membina masyarakat maju dan negara yang membangun.


"Ajaran Islam bersifat syumul dan menyeluruh dalam segala aspek kehidupan. Ia bukan sahaja memfokuskan kepada amalan agama, tetapi merangkumi sudut ekonomi, sosial dan juga politik.


"Tidak adil bagi kita jika memandang remeh terhadap konsep peradaban Islam yang berlandaskan ajaran al-Quran dan sunnah ini, jika tidak dilaksanakan dalam kehidupan harian," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pelancaran Program Kerja IKIM 2012 dan sempena ulang tahun penubuhan IKIM yang ke-20 di Dewan Theatrette IKIM, baru-baru ini.


Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah IKIM, Profesor Datin Dr. Azizan Baharuddin.


Nik Mustapha berkata, ilmu merupakan teras yang terpenting dalam melaksanakan dan membina peradaban Islam yang kukuh di negara ini.


"Peradaban hanya terbina dengan ilmu pengetahuan. Tiada jalan singkat untuk membina peradaban. Kita perlu memahami Islam sebagai agama yang mendokong kebenaran, keadilan dan kasih sayang yang akan menjadikan masyarakat maju dalam semua bidang.


"Sehubungan itu, IKIM terus komited menyampaikan ilmu pengetahuan melalui perbincangan ilmiah dari semasa ke semasa untuk merealisasikan misi penyusunan masyarakat tersebut," katanya.


Tambahnya, jika diperhatikan pendidikan dan peradaban barat, tidak dapat dinafikan berada di tahap yang membanggakan khususnya dari segi kemajuan ekonomi. Bagaimanapun, ia tidak mendatangkan natijah yang baik malah akan menimbulkan pelbagai permasalahan lain.


"Ekonomi dan pendidikan di Malaysia juga serba sedikit dipengaruhi oleh peradaban barat. Jika tidak diperbaiki dengan ilmu berlandaskan Islam, ia boleh mendatangkan pelbagai kepincangan terhadap masyarakat dan negara.


"IKIM akan terus berusaha menjadi sebuah institusi penyelidikan dan pemikir bagi meningkatkan ilmu pengetahuan dan fahaman Islam dalam usaha menyedarkan masyarakat terhadap kepentingan peradaban Islam. Ia bersesuaian dengan tema program kerja IKIM pada tahun ini iaitu 'Memahami Islam Islam Membina Peradaban," kata Nik Mustapha.


Program kerja IKIM yang dirangka sepanjang tahun ini meliputi semua aspek kehidupan iaitu termasuk sosio budaya, ekonomi, politik. institusi keluarga, remaja, undang-undang dan media.


Beberapa program seperti seminar dan bengkel di peringkat kebangsaan dan antarabangsa telah dirangka oleh IKIM dalam menjayakan misi tersebut.


Antara program peringkat kebangsaan adalah seminar bertajuk, Pencapaian Umat Islam Pasca Merdeka: Pengajaran dan Langkah Hadapan yang akan diadakan pada 21 dan 22 Februari ini di Dewan Besar IKIM.


Seminar tersebut bertujuan untuk menjejaki pencapaian umat Islam di Malaysia selepas kemerdekaan negara dalam usaha melakar langkah yang lebih baik pada masa depan.


Lima lapangan utama yang akan diteliti dan dinilai iaitu aspek pendidikan, bahasa dan kebudayaan, sains dan teknologi, sosio ekonomi dan politik dan pemerintahan.


Manakala di peringkat antarabangsa, IKIM akan mengumpulkan para ilmuan dan pemikir yang berpengaruh dari seluruh dunia bagi membincangkan hal keadaan pemikiran Islam semasa dalam persidangan antarabangsa bertajuk Pemikiran Islam Kontemporari: Cabaran dan Prospek.


Selain itu, IKIM turut melancarkan E-Kiosk IKIM. Ia membolehkan orang ramai mendapatkan buku terbitan IKIM, himpunan kertas kerja, video dan audio rancangan di IKIM.fm dengan melayari 
www.e-kiosk.ikim.gov.my


UtusanARKIB : 03/02/2012

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...