بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Monday, February 6, 2012

Usah persenda sunnah - Kalam Imam Muda


SEDAR atau tidak, kita memasuki bulan Rabiulawal, iaitu bulan kelahiran baginda Rasulullah SAW. Bulan di mana bermulanya limpahan rahmat dan cahaya untuk seluruh alam.


Pada bulan ini ramai orang akan berbicara mengenai penghayatan sunnah dan sirah baginda. Pelbagai unjuran serta nasihat akan didengar penceramah jika kita menghadiri majlis ilmu.


Mungkin sebelum ini kita mengamalkan sunnah Rasulullah. Mungkin juga kita mengamalkan sebahagian daripada prinsip amalan dianjurkan Islam, tetapi pada masa sama kurang penghayatan mengenai sunnah itu sendiri.



Tidak syak lagi al-Quran dan sunnah adalah benar serta menjadi panduan bagi umat Islam akhir zaman.


Ketika menyampaikan khutbah terakhir di padang Arafah, baginda bersabda: “Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang jika kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah al-Quran dan sunnahku.” Begitu besar jaminan dijanjikan baginda kepada sesiapa yang mengikuti ajaran al-Quran dan sunnah. Mereka yang menghayati maksud hadis ini pasti meniti jalan keredaan Allah.



Namun bagi yang berpaling, mereka menempah jalan berduri membawa kepada kemurkaan Allah.

Apa yang saya maksudkan mengenai kurang penghayatan sunnah atau prinsip Islam boleh dilihat menerusi amalan harian kita yang mungkin tidak disedari.


Contohnya, ada yang solat menepati sifat solat nabi daripada takbiratul ihram hingga ke salam, tetapi bekerja di pejabat menepati sifat orang malas dari jam lapan pagi hingga lima petang. Selalu saja mencari ruang untuk mencuri tulang dalam memikul amanah sebagai pekerja.



Ada juga yang tegas dengan hanya menerima hadis daripada perawi yang jujur lagi dipercayai, tetapi dia sendiri tidak jujur dan tidak boleh dipercayai apabila berinteraksi dengan orang lain.


Ada juga yang selalu sibuk menghadiri majlis ilmu untuk menghayati perintah agama menuntut ilmu, tetapi sayangnya tidak pandai menjaga hati dan hak jiran di sekitar kediamannya hingga sentiasa menjadi bahan umpatan komuniti setempat.



Tidak kurang juga kebanyakan umat Islam pada hari ini ‘memilih’ untuk mengamalkan sunnah serta ajaran Islam yang dirasakan sesuai untuk diamalkan.



Namun dalam masa sama, sengaja meninggalkan sebahagian sunnah serta prinsip Islam apabila terkena batang hidung sendiri.



Pengembaraan ke bumi Arab beberapa tahun lalu banyak memberi pengajaran kepada saya. Begitu juga hasil pengamatan saya sepanjang di Tanah Suci untuk mengerjakan haji, baru-baru ini.



Banyak tempat yang menyimpan sejarah peristiwa berlaku pada zaman Nabi SAW dihapuskan dengan alasan tidak mahu umat Islam yang datang ke Tanah Suci melakukan perkara bida’ah dan sesat.



Hal seperti ini sangat dititik beratkan kerana tidak mahu ada orang melakukan perkara yang menyalahi sunnah Rasulullah. Namun apabila tiba bab pernikahan, lain pula jadinya.



Jika anda lelaki tetapi tidak mempunyai harta, lupakan saja niat mendirikan rumah tangga pada usia muda. Saya pernah berbual dengan seorang Arab dan bertanyakan apakah yang perlu ada bagi seorang lelaki untuk mengahwini wanita? Dia menjawab, kebiasaannya keluarga wanita mahu lelaki menyediakan rumah, kereta, wang yang banyak serta lain-lain dan itu kebiasaan bagi masyarakat Arab.



Jadi tidak hairan lelaki Arab berkahwin pada usia lanjut setelah memenuhi syarat ini. Walhal, bukankah Islam itu mudah dan mahu perkara membabitkan perkahwinan dipermudahkan? Allah berfirman di dalam surah An-Nur ayat 32, bermaksud: “Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka daripada limpah kurniaan-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmat dan limpah kurnia-nya).” Masalah ini bukan saja berlaku di negara Arab tetapi juga negara kita hingga ada yang berkata, “Berzina lebih mudah daripada berkahwin.” Ini yang terjadi apabila kita tidak mengambil serta menghayati ajaran Islam secara keseluruhannya.



Tidak kurang juga golongan yang mempersendakan sunnah serta Islam kerana bagi mereka, sebahagian daripada ajaran Islam adalah kolot untuk dilaksanakan pada zaman moden ini.



Lebih sedih lagi, ada yang terang-terangan mempertikaikan tafsir al-Quran serta kitab ulama terdahulu. Bagi yang lebih berani, mereka memperjuangkan perkara terlarang yang diwahyukan Allah.



Contohnya, mereka mengamalkan perintah Allah dalam bab solat dan puasa tetapi melakukan perkara ditegah Islam seperti memakan harta anak yatim.



Perkara itu berlaku kerana mereka meragui kebenaran yang dibawa oleh Islam. Mereka melihat setiap sesuatu itu menggunakan pandangan akal dan seterusnya membuat pertimbangan menggunakan akal yang terbatas.



Bukankah setiap apa yang diwahyukan Allah, baik melalui al-Quran atau as-sunnah, dijamin kebenarannya? Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 2, bermaksud: “Kitab al-Quran ini, tidak ada sebarang keraguan padanya (mengenai datangnya daripada Allah dan kesempurnaannya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.” Marilah kita bersama mengamalkan keseluruhan sunnah dan ajaran Islam dalam kehidupan dengan tidak hanya mengamalkan sebahagiannya sahaja.



Itulah syarat utama dalam perjalanan kita menjadi Muslim yang tidak mencampurkan antara yang hak dan batil.



Firman Allah ( Al-Baqarah ayat 208) bermaksud: “Wahai orang-orang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan. Sesungguhnya Syaitan itu musuh kamu yang terang dan nyata.”

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...