بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Saturday, February 25, 2012

Pembahagian harta secara adil dapat imbangi kehidupan manusia


Oleh Ustaz Zaman


KEMATIAN adalah kepastian yang tidak dapat disangkal sesiapa. Begitu juga mereka yang kembali kepada Allah SWT semestinya meninggalkan sesuatu untuk diwarisi oleh generasi keluarga yang masih hidup. Hanya Nabi dan Rasul saja yang tidak mewarisi apa-apa selain ilmu daripada Allah SWT. 


Sebuah hadis daripada Talhah menyebut beliau bertanya kepada seorang sahabat bernama Abdullah Bin Abi Aufa adakah Baginda SAW meninggalkan apa-apa wasiat? Lalu Abdullah menjawab: Tidak. Maka mengapa Baginda memerintahkan kita berwasiat? Jawab Abdullah: “Sebenarnya Baginda meninggalkan al-Quran sebagai wasiat”. (Riwayat Bukhari).



Adalah menjadi tuntutan agar kita dapat meneliti semua harta yang dimiliki dan menulis wasiat tertentu agar menjadi rujukan kepada mereka yang ditinggalkan. Baginda Nabi SAW juga menyarankan umatnya menulis wasiat. Sabda Baginda SAW: “Adalah menjadi hak seseorang Muslim apabila tiba waktu tidur, maka wasiatnya ditulis dan diletakkan di sisinya”. (HR Ibnu Majah).


Dalam dunia umat Islam hari ini, kita melihat ibu bapa kurang mengambil perhatian terhadap harta yang peroleh atau yang dikumpul sepanjang hidup mereka. Dengan kata lain mereka tidak pernah memikirkan mengenai harta mereka jika mereka dijemput oleh Allah SWT apabila tiba masanya kelak.


Apakah harta mereka akan dibahagikan kepada pewaris dengan seadil-adilnya atau mengundang mudarat kepada keluarga akibat pertikaian harta ditinggalkan. 


Kita melihat fenomena sekarang menyedihkan kerana tercetus perbalahan antara waris ditinggalkan. Malah kadangkala menyebabkan pembunuhan sesama keluarga akibat perselisihan pendapat mengenai harta peninggalan si mati. Apa yang lebih mendukacitakan perselisihan berlaku ketika ibu bapa masih hidup dan terlantar menunggu saat-saat kematian.


Inilah contoh sikap buruk jika berlaku dalam masyarakat Islam menunjukkan akhlak tidak baik seorang anak terhadap ibu bapa. Malah mereka diharamkan terus daripada menerima apa-apa bahagian jika berlaku pembunuhan untuk mendapat warisan dengan cepat.


Namun, berlaku juga perkara sebaliknya yang ibu bapa mewakafkan harta mereka ketika hidup kepada agensi lain sama ada dengan tujuan baik iaitu untuk mengelakkan pergaduhan sesama keluarga atau menghalang mana-mana anak daripada mewarisi harta mereka atas sebab tertentu.


Ini adalah perkara yang tidak digalakkan dalam Islam kerana keluarga si mati atau pewaris yang masih hidup memerlukan harta berkenaan bagi meneruskan kesinambungan kehidupan mereka. 


Firman Allah SWT: “Dan hendaklah takut kepada Allah sekiranya mereka meninggalkan keturunan yang daif yang dikhuatiri akan kesejahteraan dan keselesaan mereka.” (Surah an-Nisa ayat 9).


Ini menunjukkan seseorang mesti memikirkan mengenai keluarga yang ditinggalkan supaya mereka hidup dalam keadaan baik tanpa meminta-minta kepada orang lain.


Namun demikian, mewakafkan sesuatu atas dasar kemanusiaan atau keperluan seperti mewakafkan kepada anak angkat atau mereka yang memerlukan diharuskan dengan kadar tertentu supaya tidak membebankan keluarga si mati atau pewaris selepas berlaku kematian. 


Anak angkat dan orang luar tidak akan mendapat bahagian daripada harta si mati kerana mereka bukanlah pewaris sebenar sedangkan mereka pernah berkhidmat kepada si mati ketika hidupnya. Ini dilakukan kerana membalas jasa atau tanda terima kasih terhadap pengorbanan dicurahkan.


Sebuah hadis daripada Abu Mus’ab menyebut beliau diziarahi oleh Baginda SAW ketika sedang sakit dan berkata beliau akan mewasiatkan semua hartanya pada jalan Allah. Baginda menjawab “Jangan”. Separuh? Baginda menjawab: “Jangan”. Satu pertiga? Baginda menjawab: “Boleh tetapi itupun dikira sudah banyak.” (Riwayat Bukhari)


Ada juga berwasiat, tetapi dengan cara tidak adil sehingga mengetepikan keluarga tidak sebulu dengannya. Inilah antara perkara dilarang Islam. Sabda Baginda SAW: “Takutlah kamu kepada Allah SWT dan berlaku adillah dengan anak-anak kamu”. (Al-Hadith).


Syeikh Abdul Rahman As-Sa’di pernah menyebut: “Antara perkara paling keji dan mungkar adalah apabila seseorang ingin membahagikan harta mengikut hawa nafsunya. Ia adalah daripada dosa besar yang diharamkan. Ini adalah antara kezaliman dilakukan sesama manusia.”


Ingatlah meninggalkan hukum Allah dalam kehidupan ini adalah satu dosa besar yang dilaknat Allah SWT. Firman Allah SWT: “Apakah mereka meyakini selain dari hukum Allah? Hukum siapakah yang lebih baik dari Allah?”. (Surah al-Maidah ayat 50).


Islam meletakkan pembahagian secara adil untuk mengimbangi kehidupan manusia dalam pembahagian harta pusaka. Lahirnya ilmu faraid dalam Islam agar kita tahu siapakah pemilik harta sebenar (Ashabul Furudz) selepas kematian seseorang. Ayat di dalam al-Quran dalam surah an-Nisa sudah cukup untuk menjelaskan bahawa segala-galanya ditetapkan oleh Allah SWT untuk dijadikan panduan.



2012/02/25

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...