بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Monday, February 6, 2012

Jaga batasan bergurau senda elak guris perasaan




2012/02/06
RASULULLAH SAW w bersabda, maksudnya: “Celakalah orang yang berbicara lalu mengarang cerita dusta agar orang lain tertawa. Celakalah!” (Riwayat Abu Daud)

Gurau senda, berlawak atau jenaka amat digemari manusia. Ia boleh membuat orang ketawa, tersenyum dan rasa gembira walaupun hanya untuk seketika.


Gurau senda dan jenaka boleh menyenangkan hati kerana sifat manusia itu sendiri yang suka kegembiraan dan lapang dada.


Membuat orang lain senang hati adalah termasuk dalam amal kebajikan dan Rasulullah SAW juga selalu berjenaka dengan ahli keluarga dan sahabat baginda. Namun begitu bergurau mempunyai adab-adab tertentu yang digariskan oleh Islam seperti tidak menjadikan aspek agama sebagai bahan jenaka terutama mempersenda sunnah Rasulullah SAW.


Gurauan itu juga bukan satu cacian atau cemuhan seperti memperlekehkan orang lain dengan menyebut kekurangannya, gurauan juga bukan mengumpat seperti memburukkan seseorang individu dengan niat hendak merendahkan maruahnya.


Islam juga mengingatkan umatnya supaya tidak menjadikan jenaka dan gurauan itu sebagai kebiasaan kerana dibimbangi akan melalaikan hati dan fikiran untuk mengingati Allah SWT.



Islam turut menekan yang isi jenaka itu perlu benar dan tidak direka-reka, bersesuaian dengan masa, tempat dan khalayak kerana tidak manis bergurau ketika seseorang berada dalam kesedihan atau mengikut majlis.
Sementara itu, jenaka yang boleh membuatkan orang lain ketawa secara berlebihan (ketawa terbahak-bahak) perlu dijauhi kerana banyak ketawa akan memadamkan cahaya hati.



Bagi umat Islam boleh mencontohi sifat Rasulullah SAW apabila ketawa kerana baginda hanya menampakkan barisan gigi hadapannya saja, bukan ketawa berdekah-dekah, mengilai atau terkekeh-kekeh. Ia membawa maksud bahawa selaku seorang muslim, kita hendaklah sentiasa menjaga batas kesopanan walaupun berjenaka dan bergurau senda.



Paling utama, umat Islam diharamkan bergurau senda dalam perkara lucah atau menjadikan perlakuan seks sebagai bahan berjenaka kerana ia akan menyebabkan dosa bagi orang yang berjenaka dan mendengarnya.


Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) 


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...