بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Wednesday, September 21, 2011

Wabak organisasi: Ego dan sombong

OLEH WAN JEMIZAN W. DERAMAN DAN AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN

EGO dan sombong adalah sifat mazmumah yang amat dimurkai oleh Allah SWT. Ia terlindung dan terhijab jauh dalam hati kecil. Namun, kesannya amat besar sehingga boleh memberikan kesan kepada tingkah-laku, gaya dan tutur-kata seseorang.

Ego dan sombong adalah sifat yang berakar umbi dari perasaan merasa diri lebih baik dari orang lain. Ia wujud apabila sikap tawaduk dan merendah diri tidak disemai dalam diri.

Akibatnya, seseorang yang mempunyai sifat ego dan sombong boleh membawa kepada kesesatan kerana biasanya dia akan menolak sesuatu kebenaran walaupun hati kecil mengakui akan kebenaran itu.

Demikianlah yang berlaku kepada golongan kafir Quraisy yang tetap berada dalam keadaan jahiliah kerana menafikan kerasulan Nabi SAW walaupun mereka sebenarnya mengakui bahawa baginda adalah orang yang amanah dan boleh dipercayai (al-amin).

Cuba kita perhatikan juga sikap iblis yang diarahkan Allah SWT untuk sujud kepada Nabi Adam. Namun, ia enggan sujud kerana sifat ego dan juga sombong. Lalu Iblis menjadi golongan yang ingkar dan kufur kepada Allah SWT.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam. Lalu mereka sekeliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; dia enggan dan takbur dan menjadilah dia dari golongan yang kafir(al-Baqarah: 34).

Mengapa timbul rasa ego dalam diri iblis? Sebabnya, iblis merasa dirinya lebih baik daripada Adam yang dicipta daripada tanah. Sedangkan iblis dicipta daripada api.

Bagi menghuraikan lebih lanjut sikap ego iblis, Allah berfirman yang bermaksud: Iblis menjawab: "Aku lebih baik daripadanya; Engkau (wahai Tuhanku) ciptakan daku dari api, sedang dia Engkau ciptakan dari tanah". (Saad: 76)

Sifat ego dan sombong mungkin boleh berlaku kepada sesiapa sahaja sama ada kaya atau miskin, tua atau muda, lelaki atau perempuan. Kadang-kadang kita hampir tidak menyedari dalam diri kita mempunyai sikap ego dan sombong.

Justeru, kita perlu melihat jauh ke dalam diri dan melakukan muhasabah agar ia dapat dirawat secepat mungkin supaya tidak membarah.

Dalam organisasi, sifat ego dan sombong akan berlaku kepada kedua-dua belah pihak sama ada majikan atau pekerja.

Tanda seseorang itu ego

Antara petanda mereka yang mempunyai ego dan sombong adalah sukar menerima pandangan dan teguran dari orang lain. Ataupun, mungkin menerima pandangan tersebut tetapi secara terpaksa tanpa hati yang sejahtera.

Seorang majikan yang ego merasa dirinya seorang sudah cukup untuk membuat keputusan dan menentukan hala tuju organisasinya. Dia tidak akan menghiraukan pandangan, keluhan, idea serta teguran yang dibuat oleh orang bawahan.

Pekerja yang ego pula adalah yang tidak mahu menuruti arahan majikan dan tidak mahu berkongsi ilmu serta kemahiran dengan rakan sejawat.

Pekerja yang ego sentiasa merasa dirinya betul dan orang lain salah. Walaupun, hakikat yang kita perlu akui bersama ialah pandangan semua manusia boleh diterima dan ditolak kecuali Rasulullah. Kita semua tidak sunyi dari melakukan kesalahan.

Rasulullah mempunyai sifat rendah diri yang sangat hebat. Walaupun baginda terpelihara dari melakukan dosa serta dibimbing terus daripada Allah, namun baginda menunjukkan akhlak yang tinggi apabila meminta pandangan dari para sahabat khususnya dalam perkara yang melibatkan urusan keduniaan.

Sebagai contoh, dalam peperangan Badar, Rasulullah meminta pandangan para sahabat tentang strategi peperangan dan mengenai langkah yang sepatutnya dilakukan terhadap tawanan-tawanan perang Badar.

Demikian juga, semasa peperangan Khandak, Rasulullah telah menerima pandangan Salman al-Farisi supaya menggali parit untuk berhadapan dengan musuh.

Mengambil pedoman melalui beberapa contoh ini, sebenarnya tiada alasan untuk kita mempunyai ego dan sombong sehingga langsung tidak mengendahkan pandangan serta teguran orang lain.

Antara ciri-ciri lain orang yang ego adalah suka memandang rendah kepada orang lain. Mereka anggap orang di sekelilingnya sebagai saingan dan musuh dalam kehidupannya. Dia tidak akan senang dan tenang setiap kali melihat kejayaan orang lain.

Setiap kelebihan yang ada kepada orang lain akan diperlekehkan dan setiap keburukan yang ada pada orang lain akan ditonjol dan diuar-uarkannya.

Semuanya semata-mata untuk melihat orang lain jatuh dan dirinya naik, dipuja dan dipuji. Kegagalan orang lain adalah kepuasan bagi dirinya, sementara kejayaan orang lain adalah kesedihan bagi dirinya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...