Oleh IBRAHIM ABDULLAH
RASULULLAH SAW bersabda bermaksud: "Barang siapa yang berpuasa Ramadan kemudian berpuasa enam hari di bulan Syawal, maka dia berpuasa seperti setahun penuh (riwayat Muslim)".
Salah satu pintu kebaikan adalah berpuasa. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Mahukah aku tunjukkan padamu pintu-pintu kebaikan? Puasa adalah perisai (riwayat Tirmizi)."
Hadis ini menegaskan bahawa puasa merupakan perisai bagi Muslim baik di dunia mahu pun akhirat. Di dunia, puasa adalah perisai daripada perbuatan maksiat, sedangkan di akhirat adalah perisai daripada api neraka.
Justeru, untuk mendapatkan kecintaan Allah SWT, lakukanlah puasa sunat setelah melakukan yang wajib. Di antara puasa sunat yang Nabi anjurkan selepas melakukan puasa Ramadan adalah puasa enam hari di bulan Syawal.
Puasa ini mempunyai keutamaan sebagaimana sabda Rasulullah SAW, daripada Abu Ayyub al-Ansari mengatakan Nabi bersabda bermaksud: "Barang siapa yang berpuasa Ramadan kemudian berpuasa enam hari di bulan syawal, maka dia berpuasa seperti setahun penuh(riwayat Muslim)."
Pada hadis ini terdapat dalil tegas tentang dianjurkannya berpuasa enam hari di bulan Syawal dan pendapat inilah yang dipilih oleh mazhab Syafie, Imam Ahmad dan Abu Daud serta yang sependapat dengan mereka. Sedangkan Imam Malik dan Abu Hanifah menyatakan makruh.
Namun pendapat mereka ini lemah kerana bertentangan dengan hadis yang tegas di atas (rujuk Syarh an-Nawawi 'ala Muslim).
Puasa setahun penuh
Daripada Thauban, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Barang siapa berpuasa enam hari setelah hari raya Aidilfitri, maka dia seperti berpuasa setahun penuh. Barang siapa berbuat satu kebaikan, maka baginya sepuluh kebaikan semisal. (riwayat Ibnu Majah dan disahihkan oleh Sheikh al-Albani dalam Irwa'ul Ghalil)."
Orang yang melakukan satu kebaikan akan mendapatkan 10 kebaikan yang sama. Puasa Ramadan adalah selama sebulan bererti akan semisal dengan berpuasa 10 bulan. Puasa Syawal adalah enam hari bererti akan semisal dengan 60 hari yang sama dengan dua bulan.
Kerana itu seseorang yang berpuasa Ramadan kemudian berpuasa enam hari di bulan Syawal akan mendapatkan puasa seperti setahun penuh (rujuk Syarh an-Nawawi 'ala Muslim).
Cara melakukan puasa Syawal
Imam Nawawi dalam Syarh Muslim mengatakan: "Para ulama mazhab Syafie menyatakan bahawa paling afdal melakukan puasa Syawal secara berturut-turut (sehari) selepas solat Aidilfitri. Namun jika tidak berurutan atau diakhiri hingga akhir Syawal maka seseorang tetap mendapatkan keutamaan puasa Syawal setelah sebelumnya melakukan puasa Ramadan."
Sebab itu boleh berpuasa Syawal tiga hari selepas Aidilfitri misalnya, baik secara berturut-turut ataupun tidak, kerana dalam hal ini ada kelonggaran. Bagaimanapun, jika seseorang berpuasa Syawal hingga keluar waktu (bulan Syawal) kerana bermalas-malasan, ia tidak akan mendapatkan ganjaran puasa Syawal.
Jika seseorang itu ada keuzuran (halangan) seperti sakit, dalam keadaan nifas, sebagai musafir, sehingga tidak berpuasa enam hari di bulan Syawal, maka boleh mengqada (mengganti) puasa Syawal di bulan Zulkaedah (rujuk Syarh Riyadhul Salihin).
Tunaikan qada terlebih dahulu
Lebih baik bagi seseorang yang masih memiliki qada puasa Ramadan untuk menunaikannya terlebih dahulu sebelum melakukan puasa Syawal. Ini kerana tentu sahaja perkara wajib haruslah lebih dahulu diutamakan daripada perkara sunat.
Alasan lainnya kerana dalam hadis di atas Nabi SAW mengatakan bermaksud: "Barang siapa berpuasa Ramadan."
Jadi apabila puasa Ramadan belum sempurna kerana masih ada tanggungan puasa, maka tanggungan tersebut harus ditunaikan terlebih dahulu agar mendapatkan pahala seperti setahun penuh.
Apabila seseorang menunaikan puasa Syawal terlebih dahulu dan masih memiliki tanggungan puasa Ramadan, maka puasanya dianggap puasa sunat mutlaq (puasa sunat biasa) dan tidak mendapatkan ganjaran puasa Syawal kerana kembali kepada perkataan Nabi SAW tadi: "Barang siapa berpuasa Ramadan (rujuk Syarhul Mumthi')."
Untuk berpuasa sunat selain puasa Syawal, maka boleh mendahulukannya sebelum mengqada puasa yang wajib selama masih ada waktu lapang untuk menunaikan puasa sunat tersebut. Puasa sunatnya tetap sah dan tidak berdosa.
Perlu diingat, menunaikan qada puasa wajib tetap lebih utama daripada melakukan puasa sunat. Ini yang ditekankan oleh Sheikh Muhammad bin Salih al-Usaimin dalam kitab Syarhul Mumthi' kerana ada kekeliruan dalam permasalahan ini.
Niat dan membatalkan puasa
Mengenai soal niat dapat dilihat dalam hadis yang diriwayatkan Imam Muslim. Rasulullah pernah masuk menemui keluarganya lalu menanyakan: "Apakah kamu memiliki sesuatu (yang biasa dimakan?)." Mereka berkata: "Tidak." Kemudian Rasulullah mengatakan: "Kalau begitu sekarang saya berpuasa."
Daripada hadis ini bererti seseorang boleh berniat di siang hari ketika melakukan puasa sunat. Nabi SAW juga kadang-kadang berpuasa sunat tetapi kemudian membatalkannya sebagaimana dikatakan Saidatina Aisyah dan terdapat dalam riwayat an-Nasa'i (rujuk Zadul Ma'ad).
Semoga kaum Muslimin dapat menyempurnakan ibadah puasa Ramadan dengan menunaikan ibadah puasa sunat Syawal. Mudah-mudahan Allah SWT memberi kekuatan kepada kita agar mampu menjalankan ibadah ini secara sempurna.
No comments:
Post a Comment