2011/09/21
Rukun nikah tidak boleh diambil mudah, penentu pernikahan sah atau sebalik
BARU-BARU ini akhbar melaporkan seorang anak sanggup membuat pengakuan dia anak luar nikah semata-mata ingin berkahwin sedangkan bapa kandungnya masih hidup. Perbuatan ini jelas salah, tidak beretika serta berlawanan hukum syarak.
Perbuatan itu dilakukan tanpa memikirkan akibat buruk kepada institusi kekeluargaan. Lebih mendukacitakan, dilaporkan ada waris terdekat yang sama-sama memberikan keterangan palsu untuk memudahkan proses perkahwinan pihak terbabit.
Perkara seumpama ini tidak sepatutnya berlaku hanya kerana marahkan bapa sehingga sanggup mengetepikan bapa sebagai wali pernikahannya serta memilih jalan keluar dengan mengisytiharkan diri sebagai anak luar nikah.
Jika dibenarkan, perkahwinan tidak sah apabila pihak terbabit tahu bahawa perempuan berkenaan mempunyai bapa kandung yang boleh mewalikan serta sengaja menyembunyikan fakta itu. Bukan saja pernikahan tidak sah, pihak terbabit boleh dikenakan tindakan undang-undang kerana memberikan pengakuan atau akuan sumpah bohong di mahkamah.
Perkahwinan mengikut hukum syarak perlu memenuhi lima rukun perkahwinan iaitu calon suami, calon isteri, wali, dua saksi serta sighah ijab kabul . Rukun nikah hendaklah dipenuhi dan jika salah satu tidak dipenuhi maka perkahwinan tidak sah dan wajar difaraqkan.
Setiap umat Islam harus mengetahui mengenai rukun nikah yang disepakati jumhur ulama. Rukun nikah bukan perkara yang boleh dimain-main serta diambil mudah kerana memenuhi rukun nikah menentukan sama ada sesebuah perkahwinan itu sah atau sebaliknya.
Jika perkahwinan tidak memenuhi rukun, maka pernikahan itu tidak sah serta boleh difaraqkan. Jika ini berlaku, ia bukan saja memberi kesan kepada pasangan terbabit, malah turut memberi kesan terhadap anak yang dilahirkan hasil perkahwinan itu.
Perkara penting dan sering menjadi persoalan di Mahkamah Syariah adalah berkaitan wali yang menjadi salah satu rukun perkahwinan.
Daripada Abi Musa, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada nikah melainkan dengan adanya wali.” (Hadis riwayat Al-Khamsah dan An-Nasa’i)
Bagaimanapun, bukan semua orang boleh menjadi wali. Syarat sah menjadi wali ialah Islam, baligh (sekurang-kurangnya sudah berumur 15 tahun), berakal (orang gila, mabuk dan orang yang sangat bodoh tidak sah menjadi wali), lelaki, adil serta merdeka.
Wali terbahagi kepada dua iaitu wali mujbir dan wali tidak mujbir atau wali ikhtiar atau wali biasa. Wali mujbir ialah bapa dan datuk sebelah bapa (bapa kepada bapa) saja. Manakala wali tidak mujbir seperti adik-beradik lelaki seibu sebapa dan adik-beradik lelaki sebapa. Jika wali yang sah tidak ada, walinya adalah wali sultan.
Kepentingan peranan wali dalam perkahwinan seperti diterangkan oleh Imam Syafie berdasarkan ayat 232, surah al-Baqarah yang bermaksud: “Maka janganlah kamu (wahai wali nikah) menahan mereka daripada berkahwin semula dengan (bekas) suami mereka.”
Ayat ini bukti berkenaan kedudukan wali yang mana jika kedudukan wali tidak diambil kira sudah tentu wali tidak mempunyai kuasa untuk menahan atau menghalang sesuatu perkahwinan.
Hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Aishah bermaksud: “Mana-mana perempuan yang berkahwin tanpa izin walinya maka perkahwinannya itu adalah batal, batal dan batal. Jika suami menyentubuhinya, maka dia berhak mendapat mahar dengan apa yang dihalalkan dari kemaluannya, jika mereka berbalah maka sultan menjadi wali bagi siapa yang tidak mempunyai wali.”
Apabila seorang wanita menikahkan dirinya sendiri, maka perkahwinannya dikira batal dan jika berlaku persetubuhan dalam tempoh pernikahan terbabit maka kedua pasangan ini wajib dipisahkan kerana akad nikah itu batal.
Berlaku dalam masyarakat kita keadaan tertentu di mana wali enggan mewalikan anak perempuan atau cucu perempuannya atas alasan tertentu seperti bakal suami tidak setaraf atau bakal suami tidak mempunyai pekerjaan tetap, jarak umur terlalu jauh dan alasan lain.
Mengikut hukum syarak, jika perempuan yang sudah baligh dan berakal ingin berkahwin dengan lelaki yang setaraf dengannya, wali harus menikahkannya. Jika wali enggan tanpa alasan, perempuan itu boleh dinikahkan dengan wali sultan atau wali hakim.
Seksyen 7, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 menyatakan sesuatu perkahwinan hendaklah mengikut undang-undang dan hukum syarak sama ada pernikahan itu diakad nikahkan sendiri oleh wali di hadapan pendaftar, wakil wali dengan kebenaran pendaftar atau pendaftar sebagai wakil wali.
Jika perkahwinan membabitkan perempuan yang tiada wali dari nasab, maka mengikut hukum syarak perkahwinan itu hendaklah dinikahkan oleh wali raja (wali hakim).
Kuasa wali penting dalam perkahwinan kerana ia menentukan sah atau tidak sesuatu perkahwinan. Oleh itu, ibu bapa dan pengantin perempuan sebelum melakukan perkahwinan hendaklah menyiasat terlebih dulu siapa yang berhak menjadi wali mengikut tertib dan susunan wali.
Apa pun masalah yang timbul antara individu terbabit dengan walinya, hukum syarak mesti dipatuhi. Jangan bertindak mengikut hawa nafsu dengan membelakangkan undang-undang serta hukum syarak.
Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM
No comments:
Post a Comment