Oleh Sharifah Hayaati
Mukmin digalak doakan kesejahteraan untuk insan lain
MELIHAT suasana kemeriahan Syawal yang masih ada, sewajarnya kita terus bersyukur nikmat kehidupan yang banyak di sekeliling. Semoga ia terus menyinarkan cahaya pada mata hati dan mata akal untuk mengambil sebanyak-banyak pengajaran serta manfaat terhadap nikmat itu.
Tidak kira sekecil manapun atau sama ada tersirat mahupun tersurat faedahnya supaya dapat menyuntik nilai baik dalam diri dan hasil kerja. Dengan itu, dapat meletakkan manusia pada kedudukan tinggi nilai harga dirinya.
Matlamat persaudaraan dalam Islam sangat tinggi dan luhur sehingga mereka saling bergantungan, memerlukan serta merasai nikmat kegembiraan dan kesedihan secara bersama
Nikmat kehidupan adalah modal yang dianugerahkan. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan kalau kamu hitung nikmat Allah, nescaya tidak dapat kamu menghitungnya.” (Surah Ibrahim, ayat 34 dan Surah al-nahl, ayat 18)
Salah satu nikmat itu ialah persaudaraan dan mudah dirasai khasnya dalam bulan Syawal ini. Sudah tentu akan lenyaplah kegembiraan dan ketenangan dalam hati jika tiada persaudaraan di hari raya.
Firman-Nya yang bermaksud:
“Dan berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah dan janganlah berpecah-belah dan ingatlah nikmat Allah ke atas kamu ketika kamu bermusuhan, maka Tuhan melunakkan hati kamu supaya kamu berbaik-baik, maka kamu pun bersaudara dengan nikmatnya.” (Surah Ali-Imran, ayat 102-104)
Mengeratkan persaudaraan ini, masyarakat Islam melakukan pelbagai amalan murni antaranya memenuhi atau menyempurnakan hajat orang lain. Amalan ini menyuntik kegembiraan dan keseronokan dalam pelbagai bentuk yang amat digalakkan ajaran Islam.
Usaha seperti menyediakan juadah, pakaian dan keperluan hari raya untuk ibu bapa serta keluarga, memberi duit raya walaupun kepada bukan sanak saudara, meraikan golongan kurang bernasib baik, menunaikan zakat fitrah, bermaaf-maafan, ziarah-menziarahi, semuanya bertujuan menunaikan hajat, memberi kegembiraan atau menyukakan hati orang lain.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang menunaikan hajat saudaranya, nescaya Allah akan menunaikan hajatnya.” (Hadis riwayat Imam Ahmad, Tirmizi dan Abu Daud)
Malah, di sebalik hukum sunat untuk menjamah makanan sebelum ke masjid dan haram berpuasa pada 1 Syawal juga adalah tanda kasih sayang Allah untuk menggembirakan hamba-Nya yang berjaya dalam ibadat puasa.
Selain menjalinkan hubungan baik dengan amalan murni, usaha mendoakan kebaikan bagi saudara yang lain juga adalah usaha tersirat untuk menyuntik kegembiraan kepada yang lain.
Sering kali kita mendengar pelbagai ucapan berbentuk doa disampaikan mereka yang bertemu ketika majlis hari raya seperti, ‘semoga dimurahkan rezeki, tahun depan jemputlah lagi.
Amalan terpuji ini akan mendapat perhatian doa daripada malaikat seperti kata Abu al-Darda’, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Jika seseorang hamba Allah yang Muslim mendoakan untuk saudaranya secara rahsia, malaikat akan berkata, ‘dan untukmu perkara yang serupa’.” (Hadis riwayat Imam Muslim dan Ahmad)
Matlamat persaudaraan yang ingin dicapai dalam Islam sangat tinggi dan luhur apabila dihayati sehingga masyarakat merasakan kehidupan mereka saling bergantungan, memerlukan serta merasai nikmat kegembiraan dan kesedihan secara bersama.
Matlamat ini disampaikan Baginda Rasulullah SAW dalam bentuk perumpamaan yang indah dan mudah untuk difahami hingga diibaratkan seperti satu jasad, apabila ada anggota tubuh itu sakit, maka seluruh jasad turut merasai kesakitan.
Itulah antara strategi utama Rasulullah SAW mengeratkan hubungan, perpaduan serta menguatkan iman masyarakat. Rasulullah SAW bersabda dengan uslub yang tegas dan bersumpah maksudnya: “Demi Tuhan yang rohku dalam tanganNya, tidak beriman sesiapapun antara kamu hinggalah dia inginkan kebaikan bagi saudaranya seperti mana dia inginkan kebaikan itu untuk dirinya sendiri.” (Hadis riwayat Imam Bukhari)
Oleh itu, interaksi Syawal juga perlu dijadikan latihan praktikal untuk mengoptimumkan modal dan daya insan seseorang pekerja. Ia latihan tanpa bayaran, sebaliknya ganjaran apabila diaplikasikan. Semua nilai murni dalam interaksi Syawal tidak boleh dihalang oleh faktor masa dan tempat.
Justeru, janganlah nilai dan amalan itu hanya dibudayakan dalam suasana hari raya saja, sebaliknya di mana-mana dan pada bila-bila masa. Ia hanya perlu disesuaikan dengan suasana di tempat kerja.
Usaha seperti mengutamakan pelanggan, melaksanakan tugasan dalam tempoh ditetapkan, mesra dan bermanis wajah ketika memberikan perkhidmatan, menjaga tutur bicara dengan sopan, menghulurkan bantuan, adalah usaha mewujudkan kegembiraan dalam usaha mengeratkan persaudaraan dalam kalangan warga organisasi.
Usaha memenuhi hajat dengan saling menggembirakan hati serta saling mendoakan rakan sejawat dan pelanggan akan menyatukan masyarakat, meningkatkan kualiti dan produktiviti tentu sekali mengundang kasih sayang Allah SWT.
Baginda Rasulullah SAW dalam riwayat yang disepakati bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT mengasihi hamba-Nya yang mengasihi orang lain.”
Penulis ialah Ketua Jabatan Siasah Syar’iyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)
Berita Harian2011/09/17
No comments:
Post a Comment