Oleh Mohd. Ashrof Zaki Yaakob
PROSES penyampaian dan penyebaran ilmu merupakan tradisi turun temurun bagi seluruh umat Islam sejak dahulu lagi. Ia selaras dengan saranan daripada Rasulullah kepada seluruh umatnya agar menyampaikan segala ilmu yang disampaikan oleh baginda walaupun hanya sekadar satu ayat.
Galakan yang diungkapkan oleh nabi tersebut menunjukkan betapa pentingnya proses penyebaran ilmu perlu dilakukan oleh seluruh umat Islam, sehinggakan sekiranya sekadar satu ayat sahaja maka ia juga perlu disebarkan.
Selain proses penyebaran ilmu, perkara terpenting dalam proses ini ialah ketelusan dalam penyampaian segala ilmu dan maklumat yang ada. Menyebarkan ilmu, fakta, maklumat dan keterangan yang palsu merupakan perbuatan yang keji lagi terkutuk.
Lebih-lebih lagi sekiranya ia dilakukan dengan secara sedar atau sengaja bagi mengelirukan orang ramai berkaitan sesuatu perkara. Kesan daripada perbuatan tersebut pastinya sangat buruk tetapi tetap juga dilakukan demi kepentingan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab.
Dalam menilai ilmu atau maklumat yang disampaikan, wajar bagi kita menelitinya menurut neraca al-Quran sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman. Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. (al-Hujurat: 6)
Menerima secara bulat-bulat sesuatu perkara tanpa menyelidiknya terlebih dahulu merupakan tindakan yang bakal mengundang penyesalan di kemudian hari.
Tidak rugi sekiranya siasatan dan penelitian yang mendalam dilakukan terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan untuk mempercayai sesuatu perkara apatah lagi menyebarkannya.
Namun apa yang membimbangkan, terdapat sesetengah pihak yang dengan sengaja memutarbelit dan memalsukan sesuatu kenyataan atau fakta sejarah yang sedia ada. Tindakan tersebut amat bertentangan dengan ajaran agama Islam dan pastinya akan mengundang kerosakan di masa hadapan. Kekeliruan yang timbul hasil dari penyelewengan ilmu dan fakta tersebut akan memberi kesan jangka panjang sehingga sukar untuk menentukan kebenaran yang hakiki, dan akhirnya akan merugikan semua pihak.
Allah SWT melaknat golongan yang menyembunyikan fakta yang sebenar walaupun jelas baginya kebenaran yang sepatutnya disebarkan. Ia merupakan tabiat pendeta-pendeta Yahudi dan Nasrani yang suka menyembunyikan fakta sebenar demi kepentingan peribadi mereka.
Ini ditegaskan oleh Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud:
Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekelian makhluk. (al-Baqarah: 159)
Ayat ini jelas menunjukkan larangan Allah SWT tentang sikap suka menyembunyikan ilmu dan fakta yang sebenar. Ia bukan sahaja dilaknat oleh Allah SWT malah turut dilaknat dan dibenci oleh sekelian makhluk yang ada di muka bumi.
Sebagai umat Islam, perbuatan yang keji dan tidak bertanggungjawab ini wajib dihindari. Menyampaikan ilmu dan fakta yang benar merupakan suatu kefarduan manakala memutarbelit dan memalsukan fakta merupakan dosa yang besar.
Keuntungan yang diperolehi hanyalah sedikit dan untuk kepentingan peribadi manakala kerosakan dan kerugian yang bakal ditanggung adalah lebih besar dan melibatkan banyak pihak.
Ia dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud:
Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia dari orang-orang yang telah diberikan Kitab (iaitu): "Demi sesungguhnya! hendaklah kamu menerangkan isi Kitab itu kepada umat manusia, dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya". Kemudian mereka membuang (perjanjian setia) itu ke belakang mereka, serta mereka menukarnya dengan mengambil faedah dunia yang sedikit. maka amatlah buruknya apa yang mereka dapati dari penukaran (Kalamullah dan janji-Nya) itu. (Ali-'Imran: 187).
Utusan
No comments:
Post a Comment