بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Saturday, September 10, 2011

Untuk kalahkan syaitan perlu ada ilmu



KITA sebenarnya kuat dan boleh mengalahkan syaitan. 

Nak kalahkan syaitan bukan sekadar sebut sahaja, tapi kena ada ilmu dan tahu ‘sepak terajang’ syaitan kerana syaitan adalah musuh yang pelik.

Mereka tidak pernah berputus asa daripada rancangannya untuk menyesatkan manusia. 

Walaupun hanya sedetik; mereka sentiasa mencari kesempatan untuk menunaikan tugasnya. 

Syaitan boleh melihat kita daripada sudut yang kita tidak dapat melihatnya dan mencuba pelbagai cara untuk memerangkap kita. 

Salah satu daripada sifatnya ialah secara bersembunyi. 


Taktik dan perangkap mungkin berbeza kepada seseorang kerana taktik yang digunakan bergantung kepada masa, tempat dan situasi. 

Makhluk yang dihalau daripada pandangan Allah itu berlawanan daripada apa yang majoriti manusia fikir.



Syaitan bukanlah makhluk khayalan. Setiap orang perlu berjaga-jaga dengan sebahagian ujian yang berlaku di atas muka bumi ini yang berpunca daripada syaitan.



Ini kerana, selepas menderhaka kepada Allah syaitan bersumpah untuk menyesatkan hamba Allah. Kedegilan syaitan itu dinyatakan di dalam al-Quran. 

Perkara penting untuk diingati ialah syaitan tidak mempunyai kuasa bebas tanpa Allah Mereka diciptakan Allah dan berada di bawah kuasa Allah sepenuhnya. 

Syaitan adalah makhluk Allah juga dan hanya boleh melakukan sesuatu dengan keizinan daripada Allah. Mereka ditugaskan untuk membezakan manusia yang benar-benar beriman daripada mereka yang tidak beriman. 

Syaitan hanya boleh bertindak dengan izin Allah dan apabila masa yang diberikan kepadanya tamat, mereka akan dihumban ke dalam neraka bersama golongan yang disesatkan. 

Allah berfirman yang bermaksud: 

“Sesungguhnya Aku pasti akan memenuhi neraka jahanam dengan jenis kamu dan dengan orang yang mengikuti kamu di antara mereka kesemuanya.” (Surah Sad ayat 85). 

Maka ingatlah syaitan sebenarnya tidak mempunyai kuasa ke atas orang-orang yang beriman. Sebagaimana yang dinyatakan di dalam ayat berikutnya, syaitan hanya mempunyai kuasa ke atas mereka yang tidak beriman dengan ikhlas dan sebenarnya. 

Iblis berkata: “Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau memutuskan aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya. Kecuali hamba-hamba Engkau yang mukhlis di antara mereka.” (Surah al-Hijr ayat 39-40). 

Syaitan tidak boleh menyesatkan manusia yang beriman kepada Allah Memang benar, orang-orang beriman cenderung melakukan kesalahan tetapi mereka tidak pernah putus asa daripada mengharapkan rahmat daripada Allah dan segera memohon perlindu�ngan kepada Allah dan bertaubat dengan seikhlasnya. 

Kita diberitahu di dalam al-Quran mengenai mereka yang boleh disesatkan syaitan: Sesungguhnya syaitan itu tidak ada kekuasaannya atas orang-orang yang beriman dan bertawakal kepada Tuhannya. 

Sesungguhnya kekuasaannya (syaitan) hanyalah atas orang-orang yang mengambilnya menjadi pemimpin dan atas orang-orang yang mempersekutukannya dengan Allah. (Surah an-Nahl ayat 99-100). 

Ingatlah, syaitan hendak kita menjadi angkuh, sombong dan derhaka kepada Allah seperti dirinya. Mereka mengarahkan kita melakukan kejahatan dan perkara yang dimurkai Allah dan berkata sesuatu mengenai Allah tanpa ilmu. 

Mereka akan cuba menghalang kita daripada memahami kebesaran dan kekuasaan Allah yang sebenarnya. Allah menerangkan bahaya ini di dalam al-Quran: 

Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu. Sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu berbuat jahat dan keji, dan mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui. (Surah al-Baqarah ayat 168-169). 

Usaha utamanya ialah untuk menakutkan manusia dengan kemiskinan iaitu matlamat yang boleh dicapai sekiranya mereka boleh membuatkan manusia lupa hari kiamat. 

Tidak sedar bahawa semuanya di bawah kawalan Allah dan tiada siapa yang boleh menghalang sebarang kebaikan yang Allah kehendaki, orang-orang ini hidup tanpa sebarang perasaan bertanggungjawab dan mereka melakukan segala kesalahan kepada Allah. 

Syaitan menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan (kikir), sedang Allah menjanjikan untukmu keampunan daripada-Nya dan kurnia. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui. (Surah al-Baqarah ayat 268). 

Taktik utama syaitan ialah melalui tipu daya. Allah menerangkan tipu daya ini 

“... dari kejahatan (bisikan) syaitan yang biasa bersembunyi, yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia.” (Surah an-Nas ayat 4-5). 

Sebagaimana diterangkan ayat di atas, syaitan mendekati manusia secara senyap-senyap, melalaikan manusia dengan perkara remeh dan tidak penting dan menampakkan kesalahan yang dilakukan seolah-olah baik kepada mereka: 

“Maka mengapa mereka tidak memohon (kepada Allah) dengan tunduk merendahkan diri ketika datang seksaan Kami kepada mereka, bahkan hati mereka menjadi keras dan syaitan pun menampakkan kepada mereka kebagusan apa yang selalu mereka kerjakan.” (Surah al-An’am ayat 43). 

Lebih penting lagi, hati mereka mereka dan berasa dirinya berada dalam kebenaran walaupun sebenarnya mereka sudah terpesong dan membawa diri mereka jauh daripada Al-Quran. 

Dengan membelakangkan Allah mereka lebih dekat dengan syaitan, mengikuti caranya dan menjadi semakin biadab.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...