بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Thursday, September 8, 2011

Tarik Preston

Hikmah di sebalik nama

Susunan ZUARIDA MOHYIN

KISAH hidayah anak muda bernama Tarik Preston boleh dikategorikan sebagai satu yang unik. Semuanya berpunca daripada nama Tarik yang diberikan oleh ibu bapanya sebaik dia dilahirkan.

Ini kerana nama Tarik itu adalah nama yang kebiasaannya jarang menjadi pilihan rakyat Amerika, berbanding dengan rakyat Amerika Afrika dek kerana ketara nilai keislamannya.

Sepanjang membawa nama tersebut, banyak kali juga dia bertemu dengan mereka yang memiliki nama serupa ataupun mereka yang mengetahui makna nama tersebut.

Ada juga yang ditemui menanyakan Tarik: "Kamu tahu ke erti nama kamu itu?" Dengan selamba dan berbangga dia membalas spontan: "Tahu, bintang yang menyebarkan cahaya terang."

Ada ketikanya Tarik akan menokok tambah dengan kisah sejarah Islam mengenai ketokohan Tariq bin Ziyad yang terkenal dengan kisah penaklukan beliau ke atas kota Sepanyol pada 711 sebelum Masihi.

Cerita pemuda yang memeluk Islam ini pada tahun 1988 dalam usia yang dikira muda iaitu 19 tahun itu lagi, ironinya walaupun dia mengakui akan fakta penting daripada makna namanya itu, dia masih belum mengetahui akan signifikan nama Islamnya itu sehinggalah dia bergelar pelajar kolej.

"Saya mula menjejakkan kaki ke kolej pada usia 16 tahun dengan mengambil pengkhususan dalam bidang praperubatan/biologi dengan harapan untuk menjadi doktor.

"Saya tahu untuk bergelar seorang doktor ia memerlukan kepada bebanan tanggungjawab yang cukup berat dan besar. Lantas itu, sudah tentulah saya perlukan kaedah yang baik untuk dijadikan ikutan di dalam hidup ini.

"Pada tahun pertama pengajian, saya cuba membaca kitab Bible, sayangnya ajaran Kristian sukar diterima dek akal," akui Tarik.

Tambah Tarik, ketika belajar berkaitan kerumitan sel biologi dalam tubuh manusia yang begitu menakjubkan pada tahun itu, dia dan juga sebahagian teman sekuliah mula mengakui akan kepercayaan kepada kewujudan satu kuasa hebat atau dipanggil Pencipta. Jika melihat kepada fakta kejadian itu, memanglah mustahil ia berlaku secara kebetulan sebagaimana yang dispekulasi oleh para saintis moden.

Sementelah pula pada cuti musim bunga, Tarik ada berbincang dengan neneknya berkenaan dengan aspek teologi. Pengakuan neneknya seorang yang beragama Kristian, sedikit sebanyak telah menarik minat Tarik.
Kata neneknya: "Saya menyembah Tuhan tetapi saya tidak menyembah kepada Nabi Isa kerana saya lebih rasa selamat dengan menyembah Tuhan!" Malah dia menasihati saya supaya tidak beribadat atas nama Nabi Isa, sebaliknya beribadat kerana Tuhan.

"Sebaik kembali ke kolej seusai bicara itu, saya mula bersembahyang pada setiap malam sebelum melelapkan mata sebagaimana yang diajarkan nenek. Tetapi sebagaimana nasihat nenek, saya tidak lagi berdoa atas nama Nabi tetapi sembahyang saya itu adalah kerana Tuhan semata-mata.

"Sebaik saya mengambil keputusan, muncul rasa bersalah kerana melakukan ritual sembahyang dengan cara berbaring di atas katil. Jadi, saya mula bersembahyang dengan melutut di birai katil, yang mana ia jauh lebih selesa buat saya.

"Dalam situasi sedang mencari sesuatu yang dapat membimbing saya dalam hidup ini, pada suatu hari ketika sedang melintasi kampus, saya telah memohon bimbingan daripada Tuhan," katanya.

Semasa tahun pertama di kolej, seorang teman yang baru memeluk Islam telah menyapa Tarik lantas memberikan salam kepadanya sebaik melihat kelibat Tarik yang sedang berjalan melintasi kawasan kampus.

Oleh kerana membesar di Chicago sejak pada tahun 1970-an, ucapan salam yang seringkali diucapkan oleh seorang yang beragama Islam bukanlah sesuatu yang asing didengar. Lantas dia terus membalas salam temannya itu dengan kebiasaan salam seorang saudara Muslim.

Rupa-rupanya balasan salam itu telah menimbulkan keraguan dan rasa ingin tahu temannya itu sehinggalah terpacul soalan berbunyi: "Adakah anda sudah Islam?" Pantas balas Tarik: "Saya adalah United Methodist." Angguk temannya seraya menjawab, "Oh... saya ingatkan awak sudah Islam kerana nama awak itu."

Tidak lama selepas pertemuan itu, mereka bertemu sekali lagi pada satu sesi kelas pengajian. Temannya telah cuba menjelaskan tentang Islam kepada Tarik dan teman-temannya yang lain. Memandangkan usianya yang masih muda serta baru berjinak-jinak dengan agama Islam, jadi tidak banyak maklumat berkaitan Islam yang dapat dikongsi.

"Apabila pulang bercuti pada musim panas, saya mengambil kerja sambilan sebagai telemarketer. Di situ saya bertemu dengan seorang Muslim bernama Ahmed. Selain seorang mualaf dengan kerakyatan Puerto Rico namun air mukanya sama seperti raut wajah seorang teman Muslim di kolej. Lantas, saya bertanya kepada Ahmed adakah dia seorang Muslim.

Sambil tersenyum dia membalas: "Ya Tarik. Agak juga Islam?"

Saya menjawab: "Tidak. Saya seorang United Methodist."

Ahmed tersenyum sinis lalu berkata: "Dengan nama Tarik, awak sepatutnya seorang Muslim."

Mereka mula berbicara mengenai tauhid. Tarik begitu tertarik dengan konsep monoteisme dalam Islam.

Akhirnya, Ahmed telah mempelawa Tarik ke rumahnya dan ketika di situ, Tarik telah ditunjukkan sebuah kitab terjemahan al-Quran dalam bahasa Inggeris.

"Saya begitu tertarik dengan cara dia memberi penghormatan kepada kitab sucinya itu dan saya meminta kebenaran daripada Ahmed meminjamnya.

"Dia bersetuju dengan syarat saya juga perlu menjaga dan menghormati kitab tersebut sebagaimana dia memelihara kesucian kitab suci itu dengan meletakkannya di tempat yang bersih dan selamat.

"Hati saya tidak sabar untuk mula membacanya," jelas Tarik.

Dua minggu kemudian, dia mengajak Ahmed ke rumah dan mereka bercerita mengenai Islam. Tarik memberitahu akan kepercayaannya pada apa yang tertulis di dalam kitab al-Quran itu dan hasratnya untuk memeluk Islam.

Pada keesokkan harinya, mereka ke Pusat Islam di Washington D.C dan Tarik melakukan syahadah.

"Beberapa tahun selepas pengislaman, Allah SWT menganugerahkan saya dengan rezeki untuk melanjutkan pengajian di Universiti Islam Madinah di mana saya memperoleh ijazah dalam bahasa Arab dan sarjana muda sains hadis," katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...