بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Friday, September 23, 2011

Tina Stylianidou - Berhijrah untuk amal Islam




Susunan SITI AINIZA KAMSARI

DAHULU walaupun sebagai golongan minoriti, keluarga Tina Stylianidou terkenal sebagai keluarga bangsa Yunani (Greek) yang dihormati dan dipandang tinggi di Turki.

Sehinggalah pada suatu hari pemerintah Turki mengambil tindakan keras menghalau bangsa Yunani keluar dari Turki yang turut menyaksikan harta kekayaan milik mereka turut dirampas.

Ia menyebabkan keluarga Tina kembali semula Athens, Greek dengan tangan kosong atau lebih tepat sehelai sepinggang. Maka bermulalah era baru keluarga beliau. Kebanyakan mereka yang dihalau itu benci Islam atau anti-Islam.

Mengikut sejarah, nenek moyang keluarga Tina pernah menetap di sebuah pulau yang terletak berdekatan dengan sempadan Turki. Apabila berlakunya Perang Turki-Greek, Turki berjaya menjajah pulau tersebut dan membakar seluruh rumah penduduk.

Ia menyebabkan para penduduk yang terselamat melarikan diri ke daratan untuk meneruskan kehidupan.

"Sejak itu, mereka bukan sahaja membenci Turki, malah turut benci terhadap Islam," kata Tina.

Penjajahan Turki selama 400 tahun menyebabkan para penduduk Greek menganggap setiap kejahatan terhadap penduduk Yunani dilakukan oleh Islam.

Ini apabila mereka ditanamkan ideologi Turki itu adalah lambang Islam dan kejahatan yang dilakukan oleh Turki mencerminkan keyakinan agama mereka.

"Jadi selama ratusan tahun kami diajar dalam sejarah kami dan buku-buku agama untuk membenci dan mempersendakan Islam," jelasnya.

Malah, di sekolah ada diajar bahawa Islam sebenarnya bukan sebuah agama dan nabi Muhammad itu sendiri bukannya seorang pesuruh Allah atau nabi.

"Baginda hanya seorang pemimpin yang sangat cerdas dan ahli politik yang berjaya mengumpulkan sejumlah aturan dan hukum hakam dari agama Yahudi dan Kristian. Kemudian di tokok tambah dengan beberapa ideanya sendiri dan kemudiannya berjaya menakluk dunia," kata Tina.

Beliau masih ingat salah satu tugasan oleh guru sekolah, iaitu membuat lakaran atau lukisan mengenai Nabi Muhammad, isteri baginda dan para sahabat baginda.

Lalu Tina pun melaksanakan tugas tersebut sehingga beliau berjaya melukis karikatur yang mempersenda dan menghina Rasulullah serta mendapat pujian oleh para gurunya.

"Semua karikatur dan fitnah terhadap diri baginda yang diterbitkan di media hari ini sebenarnya merupakan kesan daripada sebahagian kurikulum pelajaran yang kami terima," katanya.

Namun itu hanya pada luarannya, sedangkan Allah rupa-rupanya masih memelihara dan melindungi Tina daripada terus-terusan membenci terhadap Islam.

Kebencian itu tidak terus meresap dalam hatinya sementelah sebagai remaja, Tina seorang yang sangat suka membaca. Kebetulan beliau sendiri tidak begitu yakin dengan ajaran agama Kristian yang dianuti sejak kecil. Ditambah ibu bapanya sendiri hanya beragama Kristian pada nama sahaja.

Katanya, mereka jarang mengamalkan ajaran Kristian dan hanya membawa beliau ke gereja untuk upacara perkahwinan dan kematian sahaja.

"Mereka jadi begitu apabila mendapati kalangan paderi sendiri adalah golongan yang korup yang menyebabkan ibu bapa saya memilih untuk menjadi ateis.

"Tetapi saya memiliki kepercayaan kepada Tuhan, rasa takut dan mencintai Dia, tetapi dalam beberapa hal-hal yang lain, saya jadi bingung," katanya.

Tina mula tercari-cari tuhan untuk dipercayai tetapi tidak pernah mencari-Nya melalui Islam mungkin kerana latar belakang beliau yang dahulunya menentang Islam.

Ternyata Allah mengasihinya dan memimpin Tina dari kegelapan menuju ke cahaya kebenaran Islam, tunduk hanya kepada Allah yang satu.

Di tengah-tengah pencarian itu, beliau dipertemukan dengan pemuda yang sebangsa dengannya tetapi telah bergelar Muslim.

Daripada pemuda ini, Tina banyak belajar mengenai Islam termasuk membaca secara lengkap sirah Rasulullah SAW.

Seterusnya, menemukan jodoh antara Tina dan pemuda itu. Begitupun sebenarnya selepas tiga tahun mereka berkahwin barulah Tina memeluk Islam setelah berpuas hati dan kejayaan dakwah yang dilakukan oleh suaminya itu.

"Tidak mudah sebenarnya menjadi seorang Muslim apabila saya terpaksa merahsiakan pengislaman saya itu daripada keluarga dan teman-teman bertahun-tahun lamanya.

"Saya dan suami tinggal bersama di Greek berusaha mempraktikkan Islam sebagai satu cara hidup tetapi sangat sukar, hampir-hampir mustahil," katanya.

Sebabnya, di Greek tidak ada masjid, tidak ada akses mempelajari Islam, tidak ada mereka yang solat dan berdoa, berpuasa, atau perempuan memakai tudung atau menutup aurat.

Yang ada hanya beberapa imigran Muslim yang dengan tujuan ekonomi semata-mata dan tidak begitu peduli dengan kehidupan spiritual mereka.

"Bahkan, kehidupan mereka kelihatannya lebih Barat berbanding kami yang orang Barat," katanya.

Tergesa-gesa solat
Tina dan suaminya harus melakukan solat secara tergesa-gesa agar tak diketahui orang. Mereka menandakan kalendar Masihi dengan tanda-tanda tertentu, agar sesuai dengan kalendar hijrah, terutama bulan Ramadan dan Zulhijjah.

"Akhirnya ketika puteri kami lahir, kami memutuskan untuk berhijrah semula ke Turki. Kami tidak ingin membesarkannya di lingkungan di mana dia akan berjuang untuk mempertahankan identiti Muslimnya," kata beliau yang sudah empat tahun menetap di Turki.

Tina amat merindui kampung halaman selain sering tertanya-tanya apakah sudah sampai waktunya untuk mereka kembali semula ke Greek, negara yang indah tempat tumpah darahnya.

Seterusnya, cuba untuk menggabungkan identiti indah dan budaya nenek moyang Yunani dengan identiti Islam yang dianuti.

"Begitupun saya sungguh bangga dan bersyukur kepada Allah bahawa saya akhirnya dapat menjadi warga atau bangsa Yunani dan Muslim yang baik," katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...