Norazian Anidin (kiri) bersama-sama dua remaja Palestin ketika mereka bersiar-siar di pesisir pantai di |
SELAMA tempoh di Gaza, saya asyik menangis sahaja, sampai bengkak-bengkak mata dibuatnya," kata Noorazian Anidin, salah seorang anggota sukarelawan yang menjayakan Misi A2G2.
Beliau adalah seorang daripada tiga wanita yang menganggotai misi tersebut.
Dua lagi rakannya ialah Noorhasyimah Ismail dan Siti Ramlah Ibrahim. Semua mereka adalah sukarelawan sepenuh masa dengan Aqsa Syarif Malaysia.
Beliau sebelum ini hanya sampai di sempadan Israel iaitu di selatan Beirut iaitu ketika mengikuti lawatan Viva Palestina International pada Julai 2010.
"Dahulu kita hanya dapat melihat tanah Palestin dari jauh. Saya berazam untuk ke sana walaupun bunyinya seperti mustahil dan hanya dapat melawat kem-kem pelarian Palestin termasuk Sabra Shatilla di selatan Lebanon itu.
"Apabila berpeluang ke Gaza, seolah-olah doa saya dimakbulkan Allah, sudah cukup membuatkan saya menangis gembira," katanya.
Walaupun menangis gembira tetapi beliau berjanji untuk tabah dan kuat sebaik sahaja memasuki Gaza, tidak mahu menangis di hadapan rakyat Palestin bagi menunjukkan kekuatan.
"Tetapi di pintu sempadan sahaja saya mula menahan sebak. Sebaik sahaja masuk ke Gaza, terus bercucuran air mata" katanya.
Bukan sahaja sedih melihat kemusnahan akibat perang, tetapi yang jelas Norazian merasakan dirinya kerdil berbanding rakyat Palestin yang begitu kuat dan tabah menghadapi kekejaman Israel.
"Mereka jauh sekali meminta-minta. Istilah pengemis yang seperti ditemui di sesetengah negara Islam yang kaya tidak ada di Gaza.
"Begitu juga dengan kanak-kanak. Mereka mengerumuni kita bukan untuk meminta-minta. Tetapi gembira dan mahu mengambil gambar bersama-sama walaupun mereka sebenarnya tidak berpeluang menyimpan sebarang gambar sebagai kenangan," katanya.
Namun Norazian, dia makin sebak melihat mereka yang miskin tidak mahu menerima bantuan selagi belum dipastikan tidak seorang pun golongan fakir ketinggalan menerima bantuan.
"Sumbangan yang diberikan melalui pek Ramadan antaranya mengandungi roti dari kilang yang kita bina hasil usahasama dan seekor ikan talapia dari kolam ternakan.
"Tetapi dengan seekor ikan itu mereka makan seisi keluarga," katanya.
Antara kenangan manis adalah dolat berjemaah yang diimamkan oleh Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyah yang bersuara merdu dan mendayu.
Namun di akhir misi, Norazian terus terkedu dan air mata semakin mengalir laju apabila mendengar satu amanat seorang pejuang Palestin yang kudung kedua-dua belah kaki dan tangannya.
Kata pejuang itu: "Aku nak cakap sesuatu, aku lihat dua, tiga dari kalian yang sedang menangis!
"Kami sebenarnya tidak mahu air mata kamu tumpah di sini. Tetapi kita perlu sedar Zionis Israel adalah musuh kita bersama dan kami di sini akan terus berjuang untuk masjid kamu.
"Namun air mata kamu sebenarnya adalah pembakar semangat untuk kami terus berjuang dan sampaikan salam kami kepada saudara mara kami di Malaysia dan yakinlah terhadap perjuangan ini untuk kita sama-sama mempertahankan hak dan masjid yang sangat kita cintai."
No comments:
Post a Comment