بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Saturday, September 10, 2011

Menangis dalam solat

SOALAN:

SEMASA Ramadan lalu, saya ada mengikuti solat tarawih yang disiarkan secara langsung di televisyen. Dalam keadaan tertentu saya dapati imamnya akan menangis semasa membaca ayat-ayat al-Quran yang berkaitan azab Allah. Keadaan yang sama juga kadang kala berlaku di negara kita.

Persoalannya, adakah perbuatan menangis itu membatalkan solat dan jika tidak, setakat mana kita dibolehkan menangis dalam solat.

JAWAPAN:

Diharuskan menangis dalam solat kerana takutkan Allah SWT, takut akan seksanya serta takut amalan tidak diterima oleh-Nya. Ia merupakan sifat ahli takwa, yang sentiasa mendambakan keredaan dah kasih sayang-Nya yang Maha Agung.

Tidak semua kita yang mampu mengalirkan air mata dalam solat. Malahan hanya sedikit yang menangis dalam solat. Tangisan dalam solat sangat bermakna di hadapan Allah SWT.

Menangis dalam solat adalah antara ciri orang yang beriman kepada Allah swt, firman-Nya yang bermaksud:


...apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat (Allah) Ar-Rahman, mereka segera sujud serta menangis. (Maryam: 58)

Abdullah bin Syirkhir berkata yang bermaksud: "Aku melihat Rasulullah SAW mendirikan solat mendirikan solat sambil baginda teresak-esak bagaikan dadanya terdapat air yang sedang mendidih di dalam cerek". (riwayat Ahmad, Abu Daud, Nasaie, dan al-Tirmidzi)

Begitulah apa yang digambarkan oleh para sahabat nabi SAW dalam memperakui sikap baginda dalam solat. Pernah juga diriwayatkan dalam beberapa athar bahawa tempat sujud baginda akan basah dek tangisan baginda dalam sujud. Baginda berpesan agar pembaca al-Quran itu menangis, kalau tidak boleh menangis buat-buatlah menangis.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Bacalah al-Quran serta menangis ketika membacanya, jika kamu tidak dapat menangis maka buat-buatlah menangis. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dalam banyak keadaan para sahabat menangis bersama Rasulullah SAW sama ada dalam solat, membaca al-Quran mahupun dalam keadaan umat Islam terhimpit dalam kesusahan. Ringkasnya, air mata, Rasulullah SAW dan para sahabat tidak dapat dipisahkan daripada al-Quran.

Firman Allah SWT yang bermaksud: 

Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu kitab suci al-Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), Yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); Yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah. Kitab suci itulah hidayah petunjuk Allah; Allah memberi hidayah petunjuk dengan Al-Quran itu kepada sesiapa Yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya); dan (ingatlah) sesiapa Yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepada-Nya. (al-Zumar: 23)

Ibn Kathir ketika mentafsirkan ayat ini menjelaskan bahawa di antara sifat-sifat al-abrar adalah mereka yang memiliki sifat-sifat yang dimiliki oleh para sahabat antaranya; apabila dibacakan ayat-ayat Allah (al-Quran) kulit badan mereka bergementar, kemudian menjadi luluh bersama kalbunya untuk berzikir kepada Allah SWT.

Mereka tidaklah berteriak seperti kena hasutan dan menangis yang dibuat-buat, akan tetapi mereka memiliki ketegaran, keteguhan dan kesopanan dan rasa takut yang tidak akan ada menyamai sifat seperti itu.

Oleh sebab itulah mereka beroleh kepujian yang sangat tinggi di sisi Allah SWT. (Ibn Kathir,Tafsir al-Quran al-'Azim, jld: 4, hlm: 51)

Tidak semudah yang disangka bagi air mata mengalir di dalam mengenang nasibnya di hadapan Rabbul Jalil. Seseorang yang menangis di dalam solat kerana Allah SWT maka solatnya tidak batal selagi mana tangisannya tidak mengeluarkan suara yang kuat, seperti meraung sehingga mengganggu orang lain atau didengari oleh orang lain.

Sebab itu dalam banyak keadaan kita akan dapati imam-imam di Masjid Haram mahupun masjid-masjid yang lain apabila mereka mula menangis mereka akan cuba mengawal suara supaya tidak terkeluar suara tangisan yang kuat.

Bagi mengelakkan suara mereka tidak terkawal biasanya mereka akan berhenti bagi menenangkan perasaan sebelum menyambung bacaan ayat-ayat suci al-Quran. Maksudnya tangisan dalam solat harus dikawal supaya tidak melampuai keharusan.

Kadang-kadang saya hairan melihat jemaah yang solat bersama imam-imam di masjid al-Haram, bila imam menangis mereka pun turut menangis, kalau yang menangis itu jemaah dari kalangan orang arab mungkin kerana mereka turut faham sebab itulah mereka menangis, tapi kalau jemaah yang bukan berbangsa arab, yang tidak mempelajari bahasa arab juga turut menangis, kenapa?

Jawapannya ialah mukjizat al-Quran, nur al-Quran, ayat-ayat yang menembusi telinga manusia dan singgah di sanubari yang memang secocok dan rindukan al-Quran.

Itulah antara sebab kenapa yang tidak faham al-Quran juga turut menangis. Mata yang menangis di dalam solat dan ketika membaca al-Quran hanya kerana takutkan Allah SWT akan menjadi hujah di hadapan Allah SWT.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...