بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Monday, September 19, 2011

Umat Islam tidak boleh putus asa mohon rahmat

Oleh Ahmad Sabki Mohd Tahir

SYEIKH Muhammad Mutawalli Al-Sya’rawi, seorang ulama dan pendakwah tersohor dari Mesir menulis dalam bukunya: “Allah SWT menyebut mengenai hikmah di sebalik Dia menciptakan makhluk-Nya. Diberitahu-Nya bahawa hidup ini adalah tempat untuk ujian kepada kita supaya kita membuktikan yang kita melakukan ketaatan, ibadat dan beriltizam dengan peraturan Allah sebaik-baiknya.” 


Tidak dinafikan kita dihidupkan atas dunia ini untuk diuji Allah. Pelbagai ujian akan kita hadapi sepanjang hayat dalam bentuk nikmat, penderitaan seperti bencana, kemalangan, kematian atau musibah lain yang menyayat hati.

Umat Islam harus menerima semua ujian dengan hati terbuka, tabah dan sabar. Semuanya adalah qada dan qadar Allah. Lebih daripada itu, kita tidak boleh mengeluh dan yang penting jangan berputus asa daripada rahmat Allah yang amat luas.
Imam al-Ghazali berkata, jika kita menyatakan beriman, bererti yakin adanya Allah SWT serta sifat-Nya, maka kita yakin Allah Maha Pemberi Rahmat. Oleh sebab itu, dalam berikhtiar hendaklah kita sandarkan harapan baik kepada-Nya dengan sepenuh hati. 

Katanya, di samping berikhtiar hendaklah berdoa sebagai tanda mempunyai harapan baik kepada Allah SWT. Orang yang berputus asa dari rahmat Allah bererti tidak percaya kepada kemurahan-Nya. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Tidak ada yang putus asa dari rahmat Tuhannya melainkan orang yang sesat.” (Surah Al-Hijr, ayat 56) 

Allah SWT tidak pernah memberhentikan rahmat untuk dikurniakan kepada hamba-Nya. Allah SWT mengurniakan kepada sesiapa saja yang mengharapkan rahmat-Nya. 
Diriwayatkan oleh Abul-Laits dengan sanadnya dari Al-Hasan, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mempunyai seratus rahmat, diturunkan ke bumi hanya satu rahmat untuk penduduk dunia, maka mencukupi hingga habis ajal mereka, dan Allah akan mencabut rahmat yang satu pada hari kiamat untuk digenapkan pada yang sembilan puluh sembilan, dan diberikan-Nya kepada para wali dan ahli yang taat kepada-Nya.” 

Kita diingatkan bahawa amal yang dikerjakan selama hidup di dunia ini belum tentu dapat membantu untuk masuk syurga. Kita akan masuk syurga kerana rahmat Allah SWT. 

Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak seorang pun di antara kalian yang akan dibebaskan oleh amalnya. Sahabat bertanya: Tidak juga anda Rasulullah? Jawab Rasulullah: Tidak juga aku, kecuali bila Allah melimpahkan ampunan dan rahmat-Nya kepadaku.” (Hadis riwayat Muslim) 

Allah SWT tidak membeza-bezakan hamba-Nya untuk mendapatkan rahmat-Nya. Baik orang beriman atau berdosa, Allah SWT tetap akan memberi rahmat-Nya, kecuali syaitan dan orang kafir. Syaitan dan orang kafir tidak akan mendapat rahmat Allah sampai bila-bila. 

Mereka yang tidak membuat amal soleh tidak akan mendapat rahmat Allah seperti dinyatakan dalam firman-Nya yang bermaksud: “Maka siapa yang mengharap mendapat rahmat dan bertemu dengan Tuhan-Nya, maka hendaklah beramal soleh.” (Surah Al-Kahfi, ayat 110). 

Antara rahmat Allah pada hamba-Nya ialah dikurniakan syafaat dan syafaat Nabi Muhammad SAW adalah syafaat yang terbesar. Para rasul, nabi dan orang soleh lain hanya boleh memberi syafaat yang kecil saja. 




Orang beriman seharusnya tidak berputus asa terhadap rahmat Allah SWT kerana Allah akan makbulkan hajat mereka yang tidak berputus asa memohon kepada-Nya. Selama kita mahu memohon kepada-Nya dengan keyakinan dan harapan kuat, Dia akan memakbulkan. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kami telah memperkenankan doanya dan menyelamatkannya dari kedukaan. Dan demikianlah Kami selamatkan orang yang beriman.” (Surah al-Anbiya, ayat 88). 


Berita Harian2011/09/19

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...