بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Friday, July 29, 2011

Tugas menyucikan Ramadan



Oleh ZAINUL RIJAL ABU BAKAR

Beberapa hari lagi umat Islam akan menyambut Ramadan. Dalam bulan ini umat Islam digalakkan mengawal diri, melaksanakan amalan puasa dan ibadat lain sebaik mungkin.

Rasulullah SAW juga menganjurkan kita memperbanyakkan sembahyang sunat terutama sembahyang tarawih pada waktu malam sepanjang bulan itu.

Tidak perlulah rasanya saya menulis tentang nas-nas mengenai kewajipan berpuasa di ruangan ini tetapi mengambil pendekatan melihat bulan mulia ini dari perspektif perundangan.

Ramadan bukan pesta makanan. Ia juga bukan bulan pembaziran tetapi merupakan institusi tarbiah bagi umat Islam dalam pengabdian diri kepada Pencipta.

Namun apabila muncul bulan yang mulia ini timbullah beberapa persoalan yang saban tahun menjadi buah mulut di kalangan masyarakat Islam.

Umpamanya kita selalu berdepan dengan perbezaan pendapat antara melakukan lapan rakaat atau 20 rakaat di dalam solat tarawih. Kadang kala perbincangan berlanjutan hingga kita banyak menghabiskan masa berhujah mengenai isu ini.

Bahkan boleh menyebabkan kita bermasam muka dan tidak puas hati sedangkan masih banyak isu lain patut difikirkan bersama. Lebih menyedihkan lagi orang yang membahaskan isu rakaat sembahyang tarawih ini pula ada yang meninggalkan langsung ibadat tersebut.

Berdebat perkara furu' (cabang) sebegini sehingga mencetus perbalahan perlulah dihindarkan.

Kita perlu lebih berhikmah mengajak umat beribadat dengan memilih bilangan terbanyak jika mempunyai kemampuan, kesihatan baik dan masa mencukupi tetapi tidak menjadi kesalahan sekiranya memilih bilangan rakaat yang sedikit. Apa yang penting menghidupkan bulan itu sebaik mungkin dengan kapasiti masing-masing.

Sepanjang Ramadan setiap tahun juga, kita kerap didedahkan dengan penangkapan orang Islam yang makan di khalayak ramai. Begitu juga wujudnya kedai makanan yang membuka premis dan menjual makanan kepada orang Islam tidak berpuasa secara terang-terangan.

Para peniaga makanan beragama Islam perlu menutup kedai makanan mereka di siang hari melainkan persiapan untuk berbuka puasa. Amat menyedihkan banyak peniaga Islam yang masih beroperasi pada siang hari tersebut.

Sementara itu, program berbuka puasa pula dibuat di hotel-hotel mewah dengan penuh pembaziran. Mereka berlumba-lumba berbuka puasa di tempat-tempat mewah seolah-olah Allah mengira amalan mereka melalui kemewahan berbuka puasa tersebut. Halal haram makanan semasa berbuka puasa pula tidak menjadi keutamaan.

Hiburan yang terlalu berleluasa sehingga menghilangkan keghairahan bulan Ramadan dan menjejaskan ciri Islam sebagai 'Agama Negara' juga sering menongkah arus usaha memuliakan bulan Ramadan.

Daripada sudut perundangannya pula Seksyen 19 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 2003 (EJSS 2003) memperuntukkan mana-mana orang yang pada waktu berpuasa dalam bulan Ramadan:

(a) menjual kepada mana-mana orang Islam atau membeli apa-apa makanan atau minuman atau rokok atau benda lain yang seumpamanya untuk dimakan, diminum atau dihisap dalam waktu itu;

(b) secara terbuka atau di tempat awam didapati makan, minum atau menghisap rokok atau apa-apa benda lain yang seumpamanya, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya.
Seksyen 19 ini menyatakan kesalahan mengenai tidak menghormati bulan Ramadan bukan hanya tidak berpuasa di bulan Ramadan. Oleh yang demikian peniaga makanan yang bersekongkol dengan orang yang tidak berpuasa juga boleh dihadapkan ke mahkamah.

Malah orang yang secara hukumnya dibenarkan meninggalkan puasa juga boleh dihadapkan ke mahkamah jika makan di khalayak awam.

Dalam hal ini, Pegawai Penguatkuasa Agama (PKA) di tempat berkenaan atau mana-mana pegawai diberi tauliah dan mempunyai kad kuasa boleh mengambil tindakan ke atas pelaku berkenaan.

Soalnya, bagaimana PKA boleh bertindak jika tiada memaklumkan kepada mereka. Jumlah PKA sangat terhad dan sudah tentu tidak mampu membuat pemeriksaan dan rondaan ke semua premis.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...