بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Saturday, July 9, 2011

Talam dua muka penyakit bahaya musnahkan ummah



SATU penyakit yang melanda masyarakat pada hari ini ialah sifat mengadu domba serta menyebarkan berita palsu. Dua perkara ini boleh memporak perandakan masyarakat, meruntuhkan rumah tangga, memutuskan hubungan persaudaraan serta menanam bibit kebencian antara satu sama lain. Pada masa sama teknologi juga digunakan seperti e-mel dan facebook bagi merealisasikan tujuan buruk ini. Perkara ini dijelaskan Allah SWT bermaksud: “Dan janganlah engkau ikut sekalian orang yang suka bersumpah, menghina dan ke sana ke mari menyebarkan fitnah. Menghalang kebaikan, memperbanyakkan dosa maksiat, melampaui batas dan bersikap kasar”. (Surah al-Qalam, ayat 10-13)

Rangkaian sifat di atas dipisahkan Allah SWT antara satu sama lain kerana masing-masing mempunyai darjat kejahatan tersendiri. Ini termasuk bersikap talam dua muka seperti lalang yang ditiup angin mengikut suasana dan keadaan setempat. Di samping itu, ada juga yang sibuk mencari kelemahan orang lain serta mendiamkan diri dengan kebaikan dilakukan. Jika tiada berita hendak dibawa, maka diciptakan pendustaan yang seburuk-buruk perangai. Ada yang mulut semanis madu ketika berhadapan seseorang, tetapi sepahit hempedu apabila berjauhan. Inilah antara sifat sampingan yang dimaksudkan ayat di atas.

Ulama bersepakat semua sifat ini antara dosa besar diharamkan Allah SWT. Ini dijelaskan Baginda SAW di dalam hadisnya bermaksud: “Sejahat-jahat makhluk di atas muka bumi ini ialah mereka yang suka menyebarkan fitnah, memutuskan hubungan kasih sayang serta mencipta permusuhan antara masyarakat”. (Hadis Riwayat Ahmad).

Semua sifat ini dicetuskan perasaan irihati di samping menunjukkan betapa sifat amanah semakin menipis. Rasulullah SAW melintasi dua kubur lalu bersabda: “Sesungguhnya mereka berdua sedang diazab kerana menyebarkan fitnah dan tidak menjaga kebersihan ketika membuang air kecil.” (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim).

Imam Muslim meriwayatkan hadis dari Ibnu Masud RA bahawa Baginda SAW bersabda bermaksud: “Tidakkah kamu ingin aku khabarkan kepada kamu sifat merosakkan iaitu mereka yang suka menyebarkan fitnah di kalangan masyarakat”. (Al-Hadis).
Hadis lain menyebut: “Kamu akan mendapati sejahat-jahat manusia di hari kiamat ialah mereka yang bersifat talam dua muka.” Sahabat Nabi SAW, Abu Hurairah menyebut ia adalah seburuk buruk perangai dalam komuniti umat.

Bagi Muslim tidak berburuk sangka terhadap saudara seagama dan berusaha menutup kelemahan orang lain kerana mereka menutup keaiban orang lain ketika di dunia, Allah SWT akan menutup keaibannya pada hari kiamat. Berita yang didengar tidak perlu dihebahkan kepada orang lain kerana ia mungkin mencetuskan permusuhan antara saudara seagama. Janganlah kita terlalu cepat menghukum disebabkan berita yang kita dengar.

Ulama feqah terkenal iaitu Imam Laith Bin Saad pernah didatangi seorang lalu berkata: “Wahai Imam, seseorang menyebut mengenaimu begitu dan begini...lalu dijawab Imam: “Mohonlah keampunan daripada Allah SWT untuknya.”

Seorang ulama sufi bernama Abd Wahab Munabbih mendengar berita daripada pemuda lalu beliau
menjawab: “Apakah tiada syaitan lain yang menjadi posmen selain kamu”? Berapa ramai mereka yang tidak bersalah dihukum. Mereka yang baik telah dizalimi. Harta dirampas. Terputus hubungan ibu dan anaknya. Pasangan ideal dengan tunangnya. Semuanya gara-gara penyebar berita palsu.

Oleh itu, jalan selamat ialah bersikap mendiamkan diri dan jangan mudah menerima berita yang didengar serta menyebarkannya. Marilah kita sama-sama menggunakan segala nikmat yang dianugerahkan ke jalan yang diredai Allah SWT. 

Oleh Ustaz Zamanuddin Jusoh
Berita Harian
2011/06/25

Penulis ialah Eksekutif Agama di The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...